Akhirnya! Aku dapat menonton Magika, filem terbitan KRU Productions kedua yang aku tulis skripnya.
Aku tak boleh mengulas filem ini dalam suratkhabar, pasal aku tulis skripnya. Jadi aku cuma ulas dalam blog sahaja lah ya?
Apa yang boleh aku katakan adalah, filem ini filem hiburan ringan yang menggunakan mitos-mitos dan cerita rakyat Melayu.
Kalau aku ingin memasarkan Magika, aku akan cakap, "Filem ini akan mencetuskan perbualan antara ibubapa dan anak-anak."
Macamana? Sesetengah anak kecil akan bertanya berkenaan watak-watak dongeng yang diketengahkan, seperti Naga Tasik Cini (Seri Gumum yang ingin membalas dendam kematian Seri Pahang kerana dibunuh Seri Kemboja), Pak Pandir, Nenek Kebayan, dan lain-lain.
Aku juga akan berkata, "Filem ini dibintangi pelakon-pelakon yang gah namanya di Malaysia."
Aku berasa amat puas hati dengan lakonan Diana Danielle, yang cantik dan juga berbakat, membawa watak Ayu.
AKu fikir, kalau ditulis watak yang lebih rumit untuknya, dia akan mampu membawanya dengan baik.
Juga, Ziana Zain yang memberikan persembahan yang amat baik dalam Magika. Watak Nenek Kebayan yang didokongnya memang hidup dan berkarisma.
Mawi juga memberi persembahan yang bagus, sebagai Bad.
Tidak dilupakan juga, semua bintang jemputan yang lain, yang tak berani aku senaraikan di sini, pasal takut tertinggal sesiapa.
Edry KRU sememangnya pemuzik yang handal, berjaya menerapkan lagu-lagu dengan lirik yang kena dalam Magika. Aku nak tengok apa lagi filem yang bakal diarahnya selepas ini.
Tidak dilupakan, semua krew Magika dan kakitangan KRU. Terima kasih sahaja tak cukup, tapi aku bukannya kaya nak belanja semua orang makan. Hahaha. Hanya setakat, jutaan terima kasih kerana menjadi sebahagian produksi ini. Aku sebagai orang pinggiran hanya boleh bertepuk sorak di luar gelanggang.
Rata-rata, aku puas hati dengan Magika. Aku mengimpikan untuk membuat banyak lagi filem lain selepas ini, mungkin sebagai penulis skrip, dan mungkin juga memikul beberapa tanggungjawab yang lain.
Pengalaman dan peluang ini tidak akan aku lupakan. Sekali lagi, jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan kepada semua yang telah atau bakal menonton.
Semua kekurangan daripada pihak aku sendiri dan juga kami produksi filem ini, aku mohon maaf dan seribu keampunan.
Magika keluar di pawagam tanahair Sept 23 ini! Jangan jeles! Muahahahaha!