Friday, July 27, 2018

Ulasan Filem: Pulang (2018)

Sejujurnya, saya masuk ke pawagam untuk menonton Pulang dengan harapan yang amat rendah. Walaupun pengarahnya (Kabir Bhatia) ialah seorang yang berkebolehan dan pendokong watak utama Remy Ishak ialah seorang pelakon berbakat, saya amat tidak yakin dengan premis filem - kisah benar pasal orang ke laut yang mungkin hilang. Namun, saya akhirnya lega, selepas dua jam, bahawa filem ini jauh lebih baik daripada sangkaan saya.

Permulaan filem ini sedikit lemah sebab saya fikir watak nenek tua dan cucu tidak diperkenalkan dengan lancar. Tiba-tiba sahaja nenek tua yang sedang sakit membuka cerita, dan saya terfikir, "Siapa dia ni dan kenapa saya mahu mendengar ceritanya?"

Narrator (nenek tua) agak menjengkelkan sebab asyik memberitahu apa yang terjadi pada skrin, ditambah pula dengan muzik latar di awal filem yang sedikit 'keras'. Ini agak malang, sebab lakonan dan reka bentuk produksi sudah agak baik untuk menyampaikan intipati cerita, tanpa diganggu narrator.

Malah, saya memuji production design sepanjang filem sebab saya fikir ini antara kerja terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan. Bilik dan ruang dalam kapal nampak realistik, dan pakaian serta lokasi tempatan dan antarabangsa pada zaman tersebut jauh lebih baik daripada kualiti yang sudah biasa dalam filem Malaysia lain.

Cerita Pulang ialah pasal Othman dan Thom yang bercinta dan berkahwin sebelum Perang Dunia Kedua. Plot sebenar hanya bermula selepas perang tamat, dengan Othman memutuskan mahu menjadi kelasi kapal demi memberikan kehdupan yang lebih baik untuk isteri dan anaknya.

Saya fikir butiran plot ini juga tidak di 'establish' dengan jelas, sebab tiada penanda yang Othman mahukan itu pada asalnya. Saya juga fikir semua yang terjadi sebelum Othman berkelana seperti kurang penting atau tidak relevan sebab tidak dikaitkan sangat dengan keputusannya mahu menjadi kelasi dan berjauhan dengan keluarganya.

Ini satu kontras jelas dengan beberapa elemen yang mendapat perhatian lebih - Othman ditunjukkan memang sukar berkomunikasi perasaannya, terutama menerusi tulisan, sejak awal filem, contohnya.

Pengembaraan Othman pada mulanya amat menarik tetapi dengan senang menjadi sedikit bosan pada saya sebab tidak terasa relevan dengan plot.

Hubungan cinta antara Othman dan Thom juga saya fikir kurang menarik berbanding hubungan Othman dengan seorang kelasi Cina bernama Lum (Alvin Wong) yang nampak seperti hubungan persahabatan/romantik yang lebih kukuh. Lum ialah seorang yang menerima pertolongan Othman semasa Perang Dunia Kedua dan membantu Othman pulang ke kampung selepas dikejar askar Jepun.

Persahabatn dan babak antara mereka menunjukkan hubungan yang amat mendalam, dan Othman tampak lebih gembira semasa bertemu Lum berbanding mana-mana watak lain.

Antara misteri filem ini ialah kenapa Othman tidak pulang selepas bertahun-tahun bekerja sebagai kelasi. Saya tidak ingin memberi 'spoiler' sebab misteri ini hanya terungkai di akhir filem, dengan satu pendedahan yang saya fikir terlebih melodramatik. Mungkin ianya benar terjadi, atau mungkin tidak.

Saya fikir Pulang sedikit membazir dengan memberi tumpuan kepada watak lain yang cuba merungkai misteri-misteri filem. Saya berpendapat yang filem ini akan lebih kemas sekiranya tumpuan diberikan kepada perspektif tiga watak sahaja - Othman, Thom dan anak mereka, Omar. Watak lain tidak perlu diberikan tumpuan sangat. Ini sahaja saya kira akan menjimatkan dalam 20 minit masa dan menjadikan jalan cerita lebih kukuh.

Walaupun saya membuat beberapa kritikan ini, saya tidak rasa Pulang ialah filem yang buruk, malah ini antara filem Malaysia terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan. Ya, ianya melodramatik dan berlaku banyak kelewahan, tetapi ceritanya agak menarik, production designnya cantik dan beberapa keputusan naratif patut dipuji keberaniannya,

Lakonan Remy Ishak bagus, dan begitu juga para pelakon lain seperti Jalaludin Hassan dan Alvin Wong.

Saya juga terpanggil untuk menyatakan pendapat yang walaupun dibuat dengan bajet yang jauh lebih rendah (anggaran: RM6 juta) daripada filem seperti Hanyut (anggaran: RM18 juta), nilai rekaan produksi dan kualiti keseluruhan filem ini jauh lebih baik.

Pulang bukanlah filem tempatan paling baik dalam 5 tahun kebelakangan, tetapi mungkin antara 20 filem terbaik dalam jangkamasa sama.

Jika anda ada duit lebih dan ingin menyokong filem Malaysia yang berada di landasan yang betul, walaupun belum sampai ke destinasi, silalah tonton Pulang sebelum tayangan berakhir dalam seminggu dua lagi (harapnya lebih lama di pawagam).

Pulang: 2.5/5 bintang.