Sunday, March 11, 2018

Ulasan Filem: Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak

Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak ialah filem Asia Tenggara terbaik tahun ini. Saya berasa amat beruntung dapat hidup sampai ke hari ini dan berpeluang menonton sebuah filem yang amat cantik dan wajar digelar 'visually stunning'. Filem lain yang 'acah visually stunning' patut malu dan pulang ke kampung halaman sambil termenung dan memikirkan masa depan.

Namun, kecantikan sinematografi Marlina bukan hanya pada imej yang cantik. Cerita dan temanya juga amat kemas.

Bayangkan, cerita bermula dengan seorang perompak naik motosikal ke rumah seorang janda yang baru kematian suami dan memberitahu janda itu, Marlina, yang dia akan dirompak dan kemudian dirogol oleh tujuh orang rakan sekerja perompak itu. Babak perompak itu naik motosikal kelihatan seperti filem koboi atau Western apabila kenderaannya merentas bukit-bukau Pulau Sumba yang perang kekuningan dengan rumput yang seolah kering.

Perbualan antara perompak dan Marlina juga dibuat dengan kemas sekali. Tiada jeritan atau suara yang ditinggikan, hanya penyampaian dialog yang tenang dan mimik muka yang menggambarkan betapa kacaunya situasi itu. Babak ini dibingkaikan dalam satu ruang tamu yang ada mayat - suami Marlina yang belum mampu dia kebumikan, mengikut adat di Pulau Sumba.

Kalau dihayati dan dibincangkan, setiap babak Marlina perlukan satu artikel penuh. Daripada penyusunan latar, penyampaian dialog, lakonan, mimik muka, penataan cahaya, rekaan ruang, ruang antara pelakon, susunan elemen dalam babak, penataan bunyi, simbolisme dan pelbagai aspek lain - filem ini seolah-olah satu buku teks pembikinan filem yang saya rekomen kepada penuntut perfileman dan penggemar filem.

Ceritanya amat ringkas. Marlina dirogol dan membunuh perogolnya, beserta rakan-rakan mereka yang menunggu giliran merogol. Kemudian dia membawa kepala perogol yang dipancungnya ke balai polis yang terletak beberapa jam dari pondoknya, dengan menaiki bas. Dia bertemu teman perjalanan yang amat menarik sambil dikejar oleh prompak lain.

Antara teman perjalanannya ialah seorang perempuan yang mengandung lebih daripada sembilan bulan, dan seorang 'makcik bawang' yang membawa lembu sebagai hantaran kahwin anak saudaranya.

Makcik bawang itu amat lucu sambil bercakap pasal bagaimana wanita mengandung dahagakan seks dan kadang-kadang wanita mengandung tidak akan melahirkan anak sampailah dia bersetubuh dengan suaminya. Perbualan tentang seksualiti wanita ini dibuat dengan bersahaja dalam bas yang diubahsuai daripada sebuah lori, yang merentasi landskap Pulau Sumba.

Filem ini amat feminis, dengan watak utamanya seorang mangsa rogol yang tidak sekalipun merengek-rengek kepada orang ramai pasal bagaimana dia ialah mangsa, tetapi bertindak mengikut kemampuan dan lumrah masyarakat di situ.

Dalam Bahasa Pahang, Marlina ialah seorang 'bad-ass'. Jauh lebih kuat daripada Wonder Woman, mahupun Supergirl. Daripada filem ini, kita dapat hayati bagaimana keganasan terhadap wanita amat menggerunkan dan ketiadaan sistem untuk mereka dibela juga satu realiti yang menakutkan, walaupun seorang wanita bersemangat kental seperti Marlina akan bolayan dan akan meneruskan misinya tanpa mengambil kisah pandangan orang.

Jadi, saya tidak langsung berasa kasihan kepada Marlina, tetapi mengaguminya dan menghormati kemanusiaan dan usahanya. Filem ini membawa agenda feminis dengan lebih berkesan daripada kebanyakan filem feminis lain.

Kepincangan sistem perundangan, ketidakadilan dan persepsi masyarakat ditonjolkan tanpa syarahan mahupun penghakiman. Babak polis bermain pingpong di balai polis, bagi saya, ialah salah satu demonstrasi undang-undang pertama penceritaan fiksyen - "show, don't tell".

Hasilnya, ialah cerita yang amat-amat menuntut perhatian dari mula sampai habis. Saya sakit tengkuk sedikit sebab duduk hampir mencangkung, secara harfiahnya di hujung tempat duduk. Saya dapati keganasan kehidupan Marlina dengan latar belakang yang begitu indah menjadikan setiap babak filem ini seolah-olah poskad dengan cerita yang seram serta ganas.

Memang setiap babak difilemkan dengan cantik, seperti poskad. Pembikin filem ini sedar yang lokasi mereka amat sinematik, maka tidak perlu pakai pelbagai jenis sudut untuk menangkap kecantikannya - cukup sekadar komposisi kamera yang bijak untuk menyampaikan keindahan dan cerita yang padat, tanpa satu drone shot atau CGI shot pun.

Selepas segan dengan Bidong yang menonjolkan lelaki Melayu sebagai makhluk yang murni (dalam satu usaha masuk bakul angkat sendiri), dan ditampar dengan tahap testosterone decibel tinggi dalam KL Special Force, saya dapati kekuatan sunyi watak seperti Marlina sebagai sesuatu yang amat menyegarkan.

Ditambah lagi dengan genre baru rekaan pengarahnya, Mouly Surya, yang digelar Satay Western, saya berasa filem ini jauh melampaui jangkaan saya.

Filem ini memang menggunakan templat Western, melalui visual dan tema. Secara visualnya, kita dapat lihat jalan-jalan lengang dan berdebu yang dilalui oleh Marlina yang menunggang seekor kuda. Semua kedai, rumah dan kelengkapan pun nampak seperti sebuah Western, walaupun wujudnya alat-alat moden seperti telefon bimbit. Penggredan warna banyak membantu dalam hal ini.

Tema membalas dendam dan menuntut keadilan juga amat sinonim dengan genre Western. Idea menukarkan genre yang amat jantan ini untuk menceritakan pasal kekentalan seorang wanita adalah satu idea bernas.

Dalam cerita misteri, biasanya racun dikatakan senjata tradisional seorang wanita. Dalam Marlina, senjata seorang wanita ialah kecekalan hati dan ketajaman mindanya. Saya juga mengangkat topi (sekiranya saya memakai topi) kepada pengarahnya, juga seorang wanita, yang menggunakan senjata-senjata sama untuk menghasilkan filem ini.

Saya fikir filem ini tiada kelemahan, tetapi nasihat saya kepada penonton yang membaca ulasan ini ialah filem ini bukan untuk semua orang. Kalau mahukan babak-babak aksi orang menembak dan kereta meletup setelah terkena tembakan, sila tonton KL Special Force. Kalau mahukan filem adiwira dengan sumber kuasa buluh, boleh tunggu Badang keluar di mana-mana saluran halal.

Saya cadangkan penuntut ilmu perfileman di UiTM, yang sekarang saya dengar merungut pasal tempat makan yang sempit, atau penuntut dan pekerja filem di serata pelusuk Malaysia agar menonton filem ini di pawagam sebelum habis tayangannya.

Saya harap, selepas Apprentice (Singapura), Bad Genius (Thailand) dan Marlina (Indonesia), mungkin Malaysia juga akan hasilkan filem sebaik ini, mungkin dalam masa 20 tahun lagi.

Marlina: 4/5 bintang. Tambah 500 bintang kalau anda penuntut atau pembikin filem. Tolak 4 bintang kalau anda Dato' Sri Aliff Syukri.

Saturday, March 10, 2018

Ulasan Filem: KL Special Force

Semasa menonton filem KL Special Force, saya terfikir yang tajuk Pekak lebih sesuai untuknya, sebab semua watak dalam filem ini terjerit-jerit, mungkin selepas cacat pendengaran akibat tembakan senjata api yang terlalu banyak dan kuat. Maka, filem Pekak, atau Pek4k, sepatutnya berjudul KL Special Force.

Apapun, selain masalah pendengaran, filem ini sebenarnya dibuat dengan amat baik untuk tujuannya (menghiburkan penonton wayang tempatan).

Saya fikir, pengarah muda tempatan yang main menjadi pengarah tempatan kegemaran saya, Syafiq Yusof, mengilhamkan sebuah filem aksi tanpa elemen-elemen yang penonton Melayu selalu keluhkan, iaitu dips in the narrative.

Yang saya maksudkan ialah babak-babak hero berehat dengan keluarga, berbual dengan rakan, makan ataupun pergi sembahyang. Biasanya, saya perhatikan penonton filem, seperti ayah saya, akan memberi komen sebegini bila watak di skrin tidak menembak atau membunuh orang, "Bercaaaakaaaaap je." Mereka semua mahukan aksi, pembunuhan, tembakan dan letupan - inilah yang disajikan oleh KL Sepcial Force dengan banyak, seolah-olah semua watak ialah pemain permainan video Doom dengan cheat code IDKFA (unlimited ammo) dan IDDQD (invincible/God mode) untuk Syamsul Yusof yang nampak seperti tidak lut peluru pada kebanyakan filem ini.

Filem ini telah meminimakan sebanyak mungkin apa-apa babak yang bukan menembak, membunuh atau menjerit antara satu sama lain.

"Kenapa kau ada kat sini? KENAPA KAU ADA KAT SINI?!!"

"Aku mintak maaf. Aku salah dalam hal ni.""KAU NI MEMANG SIAL LAH!"

Saya kira ini pembuatan filem yang bagus, sebab memastikan penonton sentiasa terhibur dan tidak sempat untuk mempersoalkan apa-apa perkara tidak logik di layar, seperti bagaimana anggota polis boleh mengacukan senjata api ke arah satu sama lain tanpa ditangkap dan dipenjarakan. Atau bagaimana Syamsul Yusof menggerakkan alat teleporter yang membawanya ke serata tempat yang ada kamera pengambaran.

Saya yakin, semua peminat filem aksi akan terhibur selama 95% masa tayangan filem ini, yang penuh dengan tembakan, jeritan dan letupan gasolin. KL Special Force ialah satu filem yang meraikan semua filem aksi yang pernah dibuat.

Plot cerita dan aksi yang ditonjolkan seperti mendapat inspirasi daripada filem-filem seperti Bad Boys, Se7en, francais The Fast and The Furious  (bahagian aksi sahaja), filem-filem James Bond Daniel Craig (bahagian antagonis mempunyai rancangan yang tidak masuk akal) dan filem Korea Oldboy (babak Oh Dae Su ingin menjadi anjing) dan banyak filem gred B yang biasa kita tonton di TV.

Namun, sebab pelakon utamanya ialah Rosyam Nor, seorang pelakon yang amat berpengalaman, masa yang sedikit untuk pembangunan watak digunakan dengan sebaiknya dan watak polis bernama Roslan amat menarik. Dia seorang yang jujur, telus, tetapi tetap digoda dengan wang sogokan Ashraff - seorang perompak dan pembunuh sadistic seperti Nicolas Cage dalam Face/Off (Castor Troy?). Dia sayangkan keluarga, tetapi memukul isteri dan mengabaikan anaknya. Saya fikir, kalau kesangsian moral Roslan diteroka, mungkin ada filem yang mampu dihantar ke Academy Awards yang sebenarnya tidak bermakna.

Malangnya, lakonan dalam filem ini bermula pada nada nyaring yang tinggi dan oleh sebab tiada downtime, maka semua orang kekal kedengaran seperti mereka baru lepas mengambil kokain atau speed dari mula sampai habis filem.

Ada banyak benda baik dalam filem ini. Saya kira KL Special Force membangkitkan perasaan 'element of wonder' atau kekaguman saya semasa menonton filem. Ada banyak kali dalam panggung, saya terfikir, "Diorang bagi dia buat macam ni?" Ada ramai watak polis yang ditunjukkan mati ditembak dalam KL Special Force - sesuatu yang sukar kita lihat dalam filem Malaysia sebelum ini.

Untuk ini, dan hubungan baik Skop Productions dengan PDRM, saya ucapkan terima kasih, sebab menyajikan sesuatu yang jarang dilihat. Saya juga suka, babak berdakwah yang biasa ada dalam filem-filem Skop sekarang dibuat dengan lebih halus dan tidak ditemani syarahan panjang pasal kerohanian.

Saya juga suka dengan babak aksi melibatkan kereta yang jelas menunjukkan kemahiran pembuat filem ini yang semakin tinggi dalam hal itu.

KL Special Force - sebuah filem aksi yang baik, dipenuhi dengan tembakan, letupan dan pembunuhan dan kurang babak bercakap kecuali untuk menjerit. Malah, apabila filem ini berehat sebentar untuk memberikan peluang kepada penonton bercakap di dalam panggung, mereka mula ketawa. Saya pun tak pasti pasal apa, sebab 2 minit kemudian, kejadian tembak-menembak bersambung kembali dengan kematian sekurang-kurangnya 2-6 orang.

3/5 bintang - tambah dua bintang sekiranya anda ada masalah pendengaran.

Friday, March 2, 2018

Ulasan Filem: Bidong

Semasa menonton bahagian 'credits' filem Bidong, saya tercari-cari penghargaan untuk Wikimedia Foundation sebab skrip filem ini seolah-olah ditulis oleh Wikipedia atau oleh Jimmy Wales (salah seorang pengasas Wikimedia) sendiri.

Kebanyakan watak dalam filem ini bercakap seolah-olah mereka setiap orangnya ialah halaman Wikipedia yang menjelaskan secara terperinci perihal dan butiran setiap perkara.

Seorang doktor, contohnya, menerangkan sebegini ketika ditanya pasal keadaan seorang watak yang telah jatuh sakit, "Dia kekurangan oksigen dalam darah yang dibawa ke otak. Sepertti kita tahu, ini ialah salah satu risiko seorang pesakit asthma."

Seorang pegawai awam berpangkat tinggi juga menghamburkan kata-kata ini, "Pihak United Nations High Commissioner for Refugees, atau UNHCR, telah mengiktiraf pelarian dari Vietnam ini sebagai Boat People." Dan, "Kita seharusnya memberi bantuan kepada pelarian Vietnam ini, yang diiktiraf oleh UNHCR sebagai Boat People." dalam babak yang sama.

Rakan berbualnya, yang juga seorang pegawai pangkat tinggi, membuat kenyataan ini. "Kami juga telah dapat mengesan kedatangan bot-bot pelarian daripada Vietnam di perairan Malaysia, terutama di bahagian Timur - di Terengganu dan Kelantan." Habis, takkan bot dari Vietnam tu nak masuk Selat Melaka pulak?

Adib, watak utama juga amat obsesif pasal kebajikan penyu, sampai sanggup berkata sebegini, "Seperti yang kita tahu, dua ekor penyu kita yang telah dipasangkan Platform Terminal Transmitter (PTT) atau alat pengesan satelit telah tidak dapat dikesan di perairan Jepun."

"Maka!," kata bos kepada Adib yang bekerja di sebuah pusat pemeliharaan penyu di Terengganu, "Kita akan lancarkan satu projek yang akan dinamakan Bidong!"

Jadi, Bidong ialah sebuah filem yang sarat dengan maklumat. Seperti mana-mana hebahan dan sebaran media daripada badan kerajaan atau mana-mana entiti yang amat formal, bahasa yang digunakan amatlah keras dan baku, sementara lambakan maklumat membuatkan tidak banyak maklumat atau idea yang dapat diserap oleh penonton, kalau ikut pendapat dan pengalaman saya.

Kalau saya ialah seorang guru yang sadis, saya akan memaksa anak-anak murid saya menonton filem ini dan menyuruh mereka membuat karangan tentang usaha pemuliharaan penyu, Boat People, UNHCR ataupun kesemuanya sekali.

Namun, disebabkan kesungguhan dan kegigihan pembuat filem Bidong mengetengahkan beberapa isu dan tema yang sebenarnya wajar dipuji, saya dapati sukar untuk membenci filem ini.

Kalau kita ketepikan perihal skripnya yang terlampau padat, perwatakan satu dimensi, lakonan satu nada, dan sekiranya diabaikan kesan khas yang nampak amat kasar, kita tinggal dengan... persekitaran indah negeri Terengganu dan niat-niat yang baik.

Saya yakin, pembikin filem Bidong mempunyai niat yang murni untuk menggunakan kecantikan semulajadi dan keindahan sejarah Malaysia yang pada satu masa dulu telah membantu sebahagian pelarian Vietnam yang mengharungi pelbagai kesengsaraan.

Antaranya, mereka terpaksa melarikan diri akibat keganasan peperangan, semasa dalam bot, mereka juga kelaparan dan seperti yang ditonjolkan dalam filem Bidong, diburu oleh jerung CGI yang tidak meyakinkan.

Saya pasti, penderitaan pelarian Vietnam pada masa lalu telah menggerakkan pegawai awam berpangkat tinggi di Malaysia untuk mengutarkan kata-kata yang senang saja menjadi Press release atau siaran media, demi menjimatkan masa.

Ah, Bidong juga menonjolkan kisah cinta tiga segi antara watak utamanya Adib, tunangnya Maria dan D(something) Bidong, seorang gadis berbangsa Vietnam yang sudah menetap di Australia.

Watak Adib dan seorang watak misteri masa lampau - Prebet Ali - ialah dua watak yang membuat statement yang hebat. Statement atau kenyataan yang saya maksudkan bukan hanya kata-kata mereka yang amat terperinci dan baku, tetapi pasal lelaki Melayu.

Lelaki Melayu utama dalam filem ini - Adib dan Prebet Ali - adalah lelaki yang maksum, tidak berniat untuk melakukan gangguan seksual kepada wanita tidak berdaya, dan sering disalaherti oleh orang lain, seperti tunang Adib yang kuat cemburu, dan rakan Prebet Ali - Prebet Sani.

Maria, tunang Adib, diperkenalkan sebagai seorang watak yang cemburu dan itu sajalah perwatakan dia sampai ke penghujung cerita - dia cemburu. Maka tidak wujudlah Maria dalam dunia ini melainkan cemburu membuta tuli walhal Adib ialah seorang jejaka Melayu yang tidak bersalah, dan beyond reproach.

Siapa yang tidak sukakan seorang lelaki Melayu yang sensitif kepada alam semulajadi, suka menolong semua orang (terutama penyu dan gadis Vietnam yang ingin mencari tempat kelahirannya... seperti penyu), melayan tetamu dengan terlampau baik hingga mengabaikan tunangnya sendiri dan pada masa yang sama menahan diri daripada godaan gadis Vietnam yang amat cantik?

Kisah yang sama dengan Prebet Ali yang membantu Hong Yen - ibu gadis Vietnam bernama Bidong - tanpa ada apa-apa niat di sebaliknya.

Kemurniaan lelaki Melayu yang ditonjolkan dalam Bidong ialah sesuatu yang saya tidak jangka dalam dunia pasca-media sosial yang seringkali mencerca lelaki Melayu dengan caci-maki golongan faux-feminis dan pelawak tak lawak anak orang kaya tak sedar diri yang mungkin berhidung bawang (inside joke).

Perwatakan lelaki Melayu yang sungguh murni ini membuatkan saya, seorang lelaki Melayu juga, berasa... segan.

Sebab filem ini dibuat oleh lelaki Melayu, maka kalau filem itu memuji lelaki Melayu, maka maksudnya ini cerita lelaki Melayu masuk bakul angkat sendiri.

Dengan alasan sama, saya juga berasa segan apabila watak Hong Yen - seorang bekas pelarian Vietnam - berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan memuji-muji orang Melayu.

Dr M dan Malaysia pernah menolong orang Bosnia, semasa keadaan genting untuk mereka, tetapi sekiranya ada orang berani buat filem dengan orang Bosnia menangis-nangis berterima kasih kepada Dr M, dan ditayangkan kepada Dr M, saya fikir Dr M, orang Bosnia dan sesiapa yang pernah terlibat dalam hal itu pun akan rasa janggal.

Kita berbakti bukan untuk pujian. Dengan membuat karya yang secara terus-terang memuji jasa kita kepada orang, saya fikir 'memurahkan' jasa itu sendiri. It cheapens the act.

Bukan tak boleh buat. Boleh, tetapi perkara itu saya kira sewajarnya diselitkan dengan lebih halus. Sebagai orang Melayu, kita kaya dengan seni dan adat berkias, terutamanya untuk isu sensitif seperti memberi pencerahan kepada jasa kita sendiri. Maka gunakanlah bakat itu. Hargai bakat kita.

Apapun, saya fikir niat pembikin filem Bidong untuk mengetengahkan isu Boat People dan keindahan alam semulajadi Malaysia, juga usaha pemeliharaan penyu sebagai sesuatu yang baik.

Segala kelemahan filem ini - skrip, lakonan, dialog, jalan cerita, watak dan perwatakan, kesan khas,  dan kecanggungan masuk bakul angkat sendiri itu kita ketepikan dan kita ambil yang baik-baik saja.

Bidong: 1.5/5 bintang. Tambah 2 bintang kalau anda bekas pelarian Vietnam yang telah diiktiraf oleh UNHCR sebagai Boat People, dan anda benar-benar berterima kasih kepada kerajaan Malaysia pada masa itu dan juga lelaki-lelaki Melayu.