Sunday, March 11, 2018

Ulasan Filem: Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak

Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak ialah filem Asia Tenggara terbaik tahun ini. Saya berasa amat beruntung dapat hidup sampai ke hari ini dan berpeluang menonton sebuah filem yang amat cantik dan wajar digelar 'visually stunning'. Filem lain yang 'acah visually stunning' patut malu dan pulang ke kampung halaman sambil termenung dan memikirkan masa depan.

Namun, kecantikan sinematografi Marlina bukan hanya pada imej yang cantik. Cerita dan temanya juga amat kemas.

Bayangkan, cerita bermula dengan seorang perompak naik motosikal ke rumah seorang janda yang baru kematian suami dan memberitahu janda itu, Marlina, yang dia akan dirompak dan kemudian dirogol oleh tujuh orang rakan sekerja perompak itu. Babak perompak itu naik motosikal kelihatan seperti filem koboi atau Western apabila kenderaannya merentas bukit-bukau Pulau Sumba yang perang kekuningan dengan rumput yang seolah kering.

Perbualan antara perompak dan Marlina juga dibuat dengan kemas sekali. Tiada jeritan atau suara yang ditinggikan, hanya penyampaian dialog yang tenang dan mimik muka yang menggambarkan betapa kacaunya situasi itu. Babak ini dibingkaikan dalam satu ruang tamu yang ada mayat - suami Marlina yang belum mampu dia kebumikan, mengikut adat di Pulau Sumba.

Kalau dihayati dan dibincangkan, setiap babak Marlina perlukan satu artikel penuh. Daripada penyusunan latar, penyampaian dialog, lakonan, mimik muka, penataan cahaya, rekaan ruang, ruang antara pelakon, susunan elemen dalam babak, penataan bunyi, simbolisme dan pelbagai aspek lain - filem ini seolah-olah satu buku teks pembikinan filem yang saya rekomen kepada penuntut perfileman dan penggemar filem.

Ceritanya amat ringkas. Marlina dirogol dan membunuh perogolnya, beserta rakan-rakan mereka yang menunggu giliran merogol. Kemudian dia membawa kepala perogol yang dipancungnya ke balai polis yang terletak beberapa jam dari pondoknya, dengan menaiki bas. Dia bertemu teman perjalanan yang amat menarik sambil dikejar oleh prompak lain.

Antara teman perjalanannya ialah seorang perempuan yang mengandung lebih daripada sembilan bulan, dan seorang 'makcik bawang' yang membawa lembu sebagai hantaran kahwin anak saudaranya.

Makcik bawang itu amat lucu sambil bercakap pasal bagaimana wanita mengandung dahagakan seks dan kadang-kadang wanita mengandung tidak akan melahirkan anak sampailah dia bersetubuh dengan suaminya. Perbualan tentang seksualiti wanita ini dibuat dengan bersahaja dalam bas yang diubahsuai daripada sebuah lori, yang merentasi landskap Pulau Sumba.

Filem ini amat feminis, dengan watak utamanya seorang mangsa rogol yang tidak sekalipun merengek-rengek kepada orang ramai pasal bagaimana dia ialah mangsa, tetapi bertindak mengikut kemampuan dan lumrah masyarakat di situ.

Dalam Bahasa Pahang, Marlina ialah seorang 'bad-ass'. Jauh lebih kuat daripada Wonder Woman, mahupun Supergirl. Daripada filem ini, kita dapat hayati bagaimana keganasan terhadap wanita amat menggerunkan dan ketiadaan sistem untuk mereka dibela juga satu realiti yang menakutkan, walaupun seorang wanita bersemangat kental seperti Marlina akan bolayan dan akan meneruskan misinya tanpa mengambil kisah pandangan orang.

Jadi, saya tidak langsung berasa kasihan kepada Marlina, tetapi mengaguminya dan menghormati kemanusiaan dan usahanya. Filem ini membawa agenda feminis dengan lebih berkesan daripada kebanyakan filem feminis lain.

Kepincangan sistem perundangan, ketidakadilan dan persepsi masyarakat ditonjolkan tanpa syarahan mahupun penghakiman. Babak polis bermain pingpong di balai polis, bagi saya, ialah salah satu demonstrasi undang-undang pertama penceritaan fiksyen - "show, don't tell".

Hasilnya, ialah cerita yang amat-amat menuntut perhatian dari mula sampai habis. Saya sakit tengkuk sedikit sebab duduk hampir mencangkung, secara harfiahnya di hujung tempat duduk. Saya dapati keganasan kehidupan Marlina dengan latar belakang yang begitu indah menjadikan setiap babak filem ini seolah-olah poskad dengan cerita yang seram serta ganas.

Memang setiap babak difilemkan dengan cantik, seperti poskad. Pembikin filem ini sedar yang lokasi mereka amat sinematik, maka tidak perlu pakai pelbagai jenis sudut untuk menangkap kecantikannya - cukup sekadar komposisi kamera yang bijak untuk menyampaikan keindahan dan cerita yang padat, tanpa satu drone shot atau CGI shot pun.

Selepas segan dengan Bidong yang menonjolkan lelaki Melayu sebagai makhluk yang murni (dalam satu usaha masuk bakul angkat sendiri), dan ditampar dengan tahap testosterone decibel tinggi dalam KL Special Force, saya dapati kekuatan sunyi watak seperti Marlina sebagai sesuatu yang amat menyegarkan.

Ditambah lagi dengan genre baru rekaan pengarahnya, Mouly Surya, yang digelar Satay Western, saya berasa filem ini jauh melampaui jangkaan saya.

Filem ini memang menggunakan templat Western, melalui visual dan tema. Secara visualnya, kita dapat lihat jalan-jalan lengang dan berdebu yang dilalui oleh Marlina yang menunggang seekor kuda. Semua kedai, rumah dan kelengkapan pun nampak seperti sebuah Western, walaupun wujudnya alat-alat moden seperti telefon bimbit. Penggredan warna banyak membantu dalam hal ini.

Tema membalas dendam dan menuntut keadilan juga amat sinonim dengan genre Western. Idea menukarkan genre yang amat jantan ini untuk menceritakan pasal kekentalan seorang wanita adalah satu idea bernas.

Dalam cerita misteri, biasanya racun dikatakan senjata tradisional seorang wanita. Dalam Marlina, senjata seorang wanita ialah kecekalan hati dan ketajaman mindanya. Saya juga mengangkat topi (sekiranya saya memakai topi) kepada pengarahnya, juga seorang wanita, yang menggunakan senjata-senjata sama untuk menghasilkan filem ini.

Saya fikir filem ini tiada kelemahan, tetapi nasihat saya kepada penonton yang membaca ulasan ini ialah filem ini bukan untuk semua orang. Kalau mahukan babak-babak aksi orang menembak dan kereta meletup setelah terkena tembakan, sila tonton KL Special Force. Kalau mahukan filem adiwira dengan sumber kuasa buluh, boleh tunggu Badang keluar di mana-mana saluran halal.

Saya cadangkan penuntut ilmu perfileman di UiTM, yang sekarang saya dengar merungut pasal tempat makan yang sempit, atau penuntut dan pekerja filem di serata pelusuk Malaysia agar menonton filem ini di pawagam sebelum habis tayangannya.

Saya harap, selepas Apprentice (Singapura), Bad Genius (Thailand) dan Marlina (Indonesia), mungkin Malaysia juga akan hasilkan filem sebaik ini, mungkin dalam masa 20 tahun lagi.

Marlina: 4/5 bintang. Tambah 500 bintang kalau anda penuntut atau pembikin filem. Tolak 4 bintang kalau anda Dato' Sri Aliff Syukri.