Sunday, September 5, 2010

Melayu

Aku sedang mengerjakan balik karya lama aku. Karya tiga atau empat tahun lepas, aku pun tak tahu.

Aku tulis Bahasa Melayu klasik, ikut lenggok yang dikarang. Tak klasik sangat, pasal kalau terlalu klasik, nanti tak paham dek orang sekarang.

Dulu, ada salah seorang Tok Guru aku cakap kat aku, "Orang Melayu, banyak berkias. Banyak sindiran."

Masa itu, aku cakap, "Ahhh! Itu semua bollocks!"

Aku dulu sememangnya tidak selesa cakap beralas. Sebab aku fikirkan, orang Melayu tak suka berdepan, pasal 500 tahun, di bawah kaki penjajah, dan juga sebab pemalas.

Bersilat pun pandang tempat lain. Pasang kekuda, kekuda senteng. Bercakap pun, berkias biar sampai pening.

Tapi mengerjakan naskah ni, paling aku suka adalah bila aku mengadaptasi lenggok bahasa orang lama. Bukan pasal indah atau hodoh. Tapi, kalau kena caranya, kena orang bercakapnya, cocok persembahannya, sesuai suaranya, memang agak seronok, aku rasa.

Kias orang lama, aku faham kenapa dia buat begitu. Sekurang-kurangnya untuk cerita itu.

Kalau dicakap lepas rasa di hati, sesetengah benda dalam cerita ini bakal membangkitkan amarah dan menitiskan darah.

Lenggoknya, seninya, untuk mengatakan benda yang tak boleh dikata. Dan kalau faham pun, takkan orang luar menilik maksudnya. Biarlah sesama kita, sesama pendita, yang dapat mengenal manikam dan kaca.

Pengarang, yang menulis atau bercerita beratus tahun dahulu, tahu apa yang terjadi. Aku, sebagai pembaca, tahu apa yang telah mereka lalui. Tapi untuk orang kebanyakan, mungkin persoalan-persoalan yang dikiaskan, tak sesuai menjadi buah mulut harian.

Aku memang mementingkan kebebasan bersuara. Tapi, kalau kebebasan itu hendak dibayar dengan darah anak-anak muda, aku pun goyah, tak sanggup melihat ke mata ibu bapa mereka.

Biarlah kiasan berkubur di sini. Dengan aku, di dalam hati. Kerana untuk mendedahkan kepada pembaca, haruslah dicari, dengan penuh ilmu di dada. Supaya langkah yang dibuka, tidak mengikut nafsu dan rasa.

Aku mengangkat gelas dengan rasa hormat dan rendah diri. Kepada penulis, pensyair dan pengarang yang sudah lama berkubur di bumi.

Rupanya ada juga mereka yang berfikiran sepertiku, walaupun jaraknya beratus tahun dahulu. Aku tidak berasa keseorangan, dan sekarang selesa di kalbu, sebagai seorang penulis Melayu.