Sunday, September 19, 2010

Magik

Filem ketiga yang aku tulis, dan kedua diedarkan - Magika - akan ditayangkan di panggung minggu depan. Bermula September 23.

Beberapa tahun yang lepas, sambil menulis skrip Hikayat Merong Mahawangsa, KRU meminta aku menulis Magika. Ceritanya memang menarik minat aku, pasal menggunakan cerita-cerita rakyat Melayu.

Aku menghabiskan banyak masa muda aku, membaca kisah-kisah mitos dan lagenda Melayu. Kisah-kisah rakyat.

Banyak mitos Melayu yang kurang diketahui orang aku ingin ketengahkan, seperti Dongeng Kuda Hijau, Gergasang, dan kisah-kisah Pak Pandir yang menunjukkan dia bukanlah bodoh-bodoh alang, tetapi mungkin seorang genius.

Namun, kami kumpulan tenaga produksi mendapati yang mitos dan kisah rakyat biasa pun tidak lagi popular di kalangan bebudak muda zaman sekarang. Lebai Malang pun tak tau? Mat Jenin pun tak tau? SANG KANCIL pun tarak!

Aku amat senang hati menulis filem Magika ini, walaupun Kuda Hijau takde. Aku yakin, Edry KRU yang mengarah filem ini mempersembahkan apa yang mahu dia ketengahkan dengan baik. Dan aku yakin kekuatan barisan bintang Magika serta kerja keras tenaga produksi filem ini bakal membuahkan hasil yang baik.

Aku tak tengok lagi. Aku hanya akan tengok hari Selasa depan. Moga ramai yang akan menikmati filem ini.

Sekian, terima kasih.

Amir Hafizi

Penulis