Maka ada yang mula membuka dan memakai topeng.
Mana kata sakti yang mereka utarkan berabad dahulu? Mana panji mereka?
Diracun cita-cita dan keinginan, buta dengan nafsu yang menggeladak. Tamak haloba menghantui diri.
Maka aku, yang dihina, yang dicerca, yang sudah separuh bersara, dipanggil untuk memikul kapak besar aku semula.
Aku hanya mampu tersenyum.
"Adakah kau sudah lupa?" aku tanya mereka. "Adakah begitu murah, maruah dan falsafah kau? Sampai kau sanggup menjual kesemuanya demi untuk... untuk apa? Aku tak faham."
Hakikatnya, aku tak perlu faham. Ini naluri kebinatangan manusia yang terkunci dalam bahagian otak yang dipanggil amygdala. Dan tidak adil untuk aku menghakimi mereka yang menggunakan talam sebagai ganti paras rupa.
Yang aku tahu, kau boleh datang ke sini, ke depan aku, kalau kau mahu hilang kepalamu.
Mungkin kau sudah lupa, jadi mari aku ingatkan semula.
Akulah Amir, si orang gasar. Aku akan membina kerajaan dengan tangan aku sendiri, dan memakai mahkotaku atas kepala yang berserabut.