Thursday, October 21, 2010

Noir Dangdut: Percaturan Xanatos Terbalik

Ini kisah benar. Okaylah, berdasarkan kisah benar.

Pada zaman dahulu, bapak aku ialah ketua kampung. Kerajaan datang, nak buat projek ikan sangkar. Ikan sangkar ni lagi bagus daripada ikan kolam. Air yang mengalir memastikan ikan air tawar peliharaan rasanya lebih sedap.

AKu tak tau la, pasal aku tak makan ikan air tawar melainkan hidangan Siam, Yam Plar Duk Fu (ikan keli yang distim, diracik dan kemudiannya digoreng garing bersama herba dan rempah Siam).

Bapak aku pun tak makan ikan air tawar. Udang kitorang makan.

Anyway, sangkar melibatkan kos RM40,000++. Benih dan makanan ikan cukup untuk enam bulan.

Bapak aku tanya orang kampung, "Sapa nak buat projek ni?"

Takde sapa menjawab. Semua diam.

"Okay," kata bapak aku. "Biar aku buat."

Bapak aku memang degil.

Dia buat sendiri je. Dengan bantuan beberapa orang kampung.

Enam bulan kemudian, ikan dah besar.

"Sapa nak pergi jual ikan ni?" tanya bapak aku. "Untung kita sama-sama bahagi la."

Semua senyap. Diam.

"Okay," kata bapak aku. "Aku buat booth dekat Pasar Tani, korang pergi jual, ya?"

Terbongkok-bongkok lah orang tua tu, buat tempat nak jual ikan.

Takde sapa nak jual? Dia jual sendiri.

Keluarga aku tak makan ikan air tawar, pasal kitorang keturunan naga. Jadi bapak aku tak ambik pun, apa yang bukan hak dia.

Panggil Cina restoran dengan lori. Lepas dua tiga kali, diorang cakap, "Tarak boleh juai, woo, kalau lagi besar."

Ikan, kalau besar sangat, susah nak jual kat restoran, pasal diorang jual ikut kilo.

Dah tak boleh jual pukal.

Last-last, bapak aku pakai duit sendiri beli makanan ikan. Minyak kereta dia tak usah kira lah.

Musim tengkujuh akan tiba. Nanti banjir, sangkar ikan tu kena jaga. Kena tambat pakai kabel besi keluli besar tangan budak. Kalau tak, pecah. Dan kemungkinan ikan akan hilang masuk Sungai Riau memang besar.

Bapak aku cakap, "Okay, sekarang ni, sapa nak ambik ikan ni, pergilah ambik, sebelum banjir. Bawaklah ke rumah, makan. Sapa nak ambik ikan?"

Semua senyap.

Pada satu malam musim tengkujuh, aku dengar ada la pulak orang yang pergi curi ikan.

Dah dapat free pun nak curi lagi ke? Dasar keturunan kurang ajar.

Tuhan nak tunjuk, masa banjir, sangkar ikan pecah. Maka terlepaslah ikan-ikan semua masuk dalam sungai.

Pengajaran?

Entah.

Yang aku tau, kalau bab mengutuk, menjatuhkan orang, Melayu nombor satu. Kalau pasal bekerja, ramai yang pemalas. Kalau ada yang ke depan sikit, akan ditunggunya dengan pisau hasad dan badik dengki, kerambit ego yang sudah tercalar.

Bila ego sudah tercalar, cuma ada dua jalan penyelesaian untuk binatang bertopengkan manusia:

1. Berusaha untuk naik setinggi 'tahap' orang yang dibenci.

2. Menjatuhkan orang ke 'tahap' dia yang hina-dina dan pemalas.

Walhal, hakikatnya, 'tahap', taraf atau 'tingkat kehormatan' dan maruah itu tidak wujud. Adakah ianya wujud di sisi Tuhan? Kau lagi bagus daripada Tuhan ke, nak main tahap-tahap?

Selepas melihat dengan mata kepala aku sendiri, apa yang jadi pada projek ikan sangkar kampung aku, aku sedar pada pepatah lama Melayu sendiri - "Buat baik berpada-pada."

Aku harap yang kalau aku dan keluarga aku memang orang yang tak bersalah, maka akan ditunjukkan juga kebenarannya satu hari nanti. AKu boleh menunggu. Di dunia ini, atau yang seterusnya.

Syurga, neraka atau lubang tidur yang gelap, tidak relevan.