Wednesday, January 18, 2012

Mari Belajar Bahasa Rempit!

Rempit adalah sejenis spesis berukera yang sukakan motor dan bergerak dalam kumpulan, sebab takutkan haiwan pemangsa seperti polis, polis trafik dan juga manusia yang mahukan habitat mereka untuk aktiviti riadah.

Rempit bukan bergenus Homo seperti manusia (Homo Sapien), tetapi seperti spesis chimpanzi (Pan Paniscus), menurut genus Pan. Nama Latin untuk rempit adalah Pan Rempitus Mobilus Motorcyclus Kreeengg Kreeengg Minor. Setelah diuji di makmal, ternyata spesis rempit kalah dengan chimpanzi dari segi skil kognitif dan memori.

Rempit juga punya bahasa sendiri. Artikel ini bertujuan memahami bahasa mereka.

Pertama sekali, untuk menjadi rempit, semua mestilah ada masalah dyslexia. Kalau mahu mengeja perkataan 'jamban', akan dieja 'ajmabn', kemudian, secara rawak, hilangkan beberapa huruf tanpa alasan, menjadi 'ajbn' atau 'jma'.

Sesetengah perkataan dan frasa juga akan dipendekkan, kemudian dipanjangkan semula menggunakan algoritma misteri.

Contoh: frasa "dia hendak memikat rempit betina itu lah itu!" akan disingkatkan menjadi, "dya nk tklc awqs 2 le 2" dan kemudian dipanjangkan menjadi, "dyer 2 nk takcle aweqs 2 letewww."

Ada ahli biologi yang berpendapat, rempit bukan penghidap sakit dyslexia, tetapi sebenarnya menghasilkan kod supaya tidak diketahui pemangsa yang mereka mahu ke jamban atau memikat rempit betina. Kalau pemangsa tahu mereka hendak ke jamban, mereka akan dimangsakan. Kalau tahu ada rempit betina berdekatan, maka rempit jantan lain juga akan menyerang dan menyergah, membuatkan rempit yang rata-rata kurus keding menghadapi masalah untuk membiak.

Persoalan bagaimana seorang rempit boleh mengenalpasti maksud yang diniatkan terjawab apabila pengkaji bahasa dari Belanda, Marco Van Basten, mengemukakan teori dalam jurnalnya yang rempit mempunyai telepati dan kuasa ideo-motor yang tinggi. Ini mungkin disebabkan rempit terdedah kepada asap motor secara berlebihan, mengakibatkan mutasi.