Monday, November 4, 2019

Ulasan Filem: 7 Hari: Kisah Cinta Langkawi

Body shaming ialah satu jenayah, tetapi aku fikir tidak ada masalah kalau aku costume-shaming, sebab aku rasa telah berlaku satu 'jenayah' dalam filem 7 Hari: Kisah Cinta Langkawi.

Jenayah yang aku maksudkan ialah pakaian watak utama wanita filem ini - Adira (lakonan Chi Azim). Yang paling mencolok mata ialah satu pakaian yang nampak seperti dibuat daripada doily.

Ini ialah 'doily' atau dalam Bahasa Malaysia, 'doili'

Bukan itu sahaja, doily, maaf, baju itu cukup jarang untuk menampakkan seluar dalam berwarna hitam di sebalik baju itu. Pakaian ini dikenakan semasa babak makan malam romantik penuh dengan gurau-senda anak muda.

Yang kedua terburuk, bagi aku secara peribadi, ialah baju berjalan di tepi pantai. Adira ialah seorang yang bertubuh 'wanita penuh', dan kurniaan Ilahi juga kelihatan di dadanya. Namun, apabila memakai baju yang ada strap (tali sandang?) yang begitu ketat, ini menjadikan ada isi tubuhnya yang tersembul ke kiri dan ke kanan. Isi ini bergerak-gerak sepanjang perbualan di pantai.

Yang ketiga, sebenarnya, semua bajunya yang lain sama teruk. Ada pakaian kelabu yang nampak tidak sesuai untuk berjalan dalam hutan, apatah lagi untuk berenang di sungai. Pakaian sama juga kelihatan, dalam babak sebaik sahaja selepas adegan mandi sungai, sebagai sudah kering, kecuali di bahagian ketiak.

Busana yang dipilih untuk watak ini kelihatan seperti tidak kena, sama ada terlalu kecil saiznya, atau terlalu besar. Kemanisan tersendiri Adira dan kekuatan peribadinya tidak terserlah daripada pakaiannya, sebab yang tersembul ialah benda-benda lain, selalunya hilai tawa penonton empat orang dalam panggung. Ya, hanya kami berempat yang menonton filem ini pada jam 4.15pm, hari Sabtu di eCurve.

Baik, pakaiannya amat buruk sekali. Dan aku jarang cakap pasal busana sebab aku pun tiap-tiap hari pakai seluar pendek je. Namun, keburukan pakaian dalam filem ini memang menggerhanakan semua benda yang lain. Mungkin itu sesuatu yang bagus?

Apapun, cerita filem ini juga terlalu ringan, walaupun untuk remaja yang sukakan makanan ringan.

Adira digambarkan sebagai seorang wanita merdeka yang mencecah umur 30 dan amat popular di media sosial sebagai seorang penasihat hubungan cinta bernama Diva Asmara. Diva Asmara telah menulis buku bertajuk 'Cara Memikat Lelaki Dalam 7 Hari'. Dia telah dicabar oleh Joe (Josiah Hogan) untuk memikat Ben (Peter Davis) dengan panduan dalam buku itu, di Langkawi.

Perang jantina tidak digunakan sepenuhnya dan tiada satu watak pun yang nampak jelas motivasinya daripada mula sampai akhir filem. Kenapa Ben minat pada Eli (pembantu Adira, lakonan Tengku Norsaili)? Kenapa Joe yang minat Adira? Kenapa watak lakonan Mark Adam (dah lupa nama) berangan pasal bercinta dengan Adira, dan kenapa dia mengalah apabila Joe pula yang sukakan Adira?

Kenapa Zul, 'tunang' Adira, tidak mahu ke Langkawi dan kemudian pergi ke Langkawi? Kenapa Zul tidak bersetuju dengan ayah Adira, kemudian bersetuju? Kenapa dia ada atas kapal catamaran (lancang) dan kenapa dia upah lima orang untuk menari di restoran Yam Yam, memikirkan itu akan dapat memikat Adira?

Kenapa filem-filem Z Lokman yang terbaru tidak dilepaskan tetapi filem ini boleh lepas?

Cerita filem ini tiada arah tujuan, termasuk usahanya mempromosi pelancongan di Langkawi. Dialognya kaku, dan menyebabkan aku cringe (janggal/canggung) sampai rasa hendak kejang gigi. Percubaan untuk lawak jenaka juga amat hambar, malah ialah antara babak paling menyebabkan aku terseksa semasa meononton filem ini.

Selepas menonton filem itu, aku pulang ke rumah dan merenung dinding sambil memikirkan, apakah yang telah aku lakukan dengan hidup aku selama ini? Kemudian visual busana Adira mula tersembul dalam kepala hotak aku dan aku meneguk ubat batuk supaya boleh tidur awal malam itu.


7 Hari: Kisah Cinta: 1/5 bintang. Tolak 5 juta bintang kalau anda manusia.