Monday, December 2, 2019

Ulasan Filem: Ejen Ali (2019)

IKLAN: SYARIKAT KOMIK AKU, MAPLE COMICS, AKAN MENJALANKAN KEMPEN CROWDFUNDING BERMULA HUJUNG BULAN INI UNTUK SIRI NOVEL RINGAN NAFIRI, YANG MENAMPILKAN SEBUAH DUNIA FANTASI NUSANTARA PURBA. NAFIRI JUGA AKAN MENGIMBANGKAN AKSI STRATEGI PERANG DAN KESAMARAN PRINSIP MORAL. SILALAH BERI SOKONGAN DAN SUMBANGAN SEBERAPA YANG MAMPU. NANTI AKU KONGSI BAGAIMANA UNTUK MENYUMBANG APABILA SAMPAI MASANYA KELAK.

Selepas seharian membanting tulang di jelapang korporat, aku diajak oleh kawan untuk menonton filem Ejen Ali. Mulanya aku rasa nak tengok lambat sikit - mungkin minggu depan, tetapi keputusan aku untuk mengikut dua orang kawan ini memang tepat!

Ejen Ali ialah antara filem terbaik pernah dihasilkan oleh Malaysia sepanjang 40 tahun. Berikut carta 10 filem Malaysia terbaik aku yang sudah dikemaskini:

1. Fly By Night
2. Ejen Ali
3. Bunohan
4. Kami (Sudirman punya)
5-10. Tiada filem yang layak*.

*kelayakan berdasarkan filem tu aku dah tengok dan akui kehebatannya.

SPOILER WARNING:




Elemen paling menarik dalam filem Ejen Ali (bagi aku, lelaki 39 tahun dengan sakit jantung dan kencing manis yang bakal mengundang maut dalam masa beberapa tahun atau dekad) ialah 'ambiguous morality' atau kesamaran prinsip moral antara pihak Datuk Bandar Cyberaya dan mereka yang duduk di Pinggiran.

Ya! Ejen Ali, sebuah filem aksi kanak-kanak, mengetengahkan tema berat ketidakadilan sejagat. Pihak Datuk Bandar Cyberaya ingin membina kilang di tanah orang Pinggiran, seraya merampas tempat tinggal dan hak mereka. Niki, seorang pengganas Pinggiran, cuba menghentikan projek itu dengan membunuh Datuk Bandar, tidak kira kematian dan huru-hara kepada penduduk Cyberaya yang pada hematnya tidak pernah mengendahkan mereka yang tinggal di Pinggiran.

Sepanjang dua babak pertama, kesamaran prinsip moral ini dikekalkan dengan amat matang sekali, sambil menjaga imbangan dengan asas Ejen Ali sebagai filem aksi kanak-kanak.

Malangnya, semasa babak ketiga, filem ini bertukar semula menjadi filem aksi kanak-kanak sebenar semula, mungkin sebab filem aksi kanak-kanak memerlukan orang jahat dan orang baik yang jelas supaya tidak membebankan minda kanak-kanak yang kononnya amat ringkas.

Namun, dua babak ini (70% filem) sudah cukup untuk memuaskan aku sebagai lelaki tua berusia 39 tahun yang menghidap dua penyakit kritikal.

Malah, aku memilih untuk menyokong Niki, seorang pengganas, sebab semua orang lain, salah. SALAH! Malangnya, aku terlupa bahawa Ejen Ali juga sebuah siri TV kanak-kanak dan status quo terpaksa dipertahankan pada akhir cerita. Sekiranya Ali menyertai kumpulan pengganas, dia tidak akan menjadi ejen lagi, dan siri ini akan bertukar tajuk menjadi Ali Si Pengganas dan tidak dapat dijual di Timur Tengah.

Namun, jangan bimbang, semua tema matang ini kemungkinan besar tidak akan difahami kanak-kanak dan mereka akan memberi tumpuan kepada unsur lain dalam cerita, sepertti kerinduan Ali kepada ibunya dan Ali yang merajuk dengan agensi perisikan serta rakan-rakannya.

Sebagai sebuah filem aksi kanak-kanak, Ejen Ali sememangnya mengagumkan, dan dipenuhi aksi yang jauh lebih berkesan daripada semua filem aksi Malaysia yang pernah aku tengok.

Babak pertarungan paling aku suka ialah babak pertarungan pertama, yang aku boleh bandingkan dengan siri filem Marvel yang aku paling suka, trilogi Captain America.

Aku suka dengan babak pertarungan sekiranya semua yang berlawan hanya ada beberapa kemahiran yang digunakan dalam pelbagai cara. Babak pertarungan akhir kurang menyengat sebab semua babak akhir memerlukan pancaran cahaya laser dan kembara ke alam rohani untuk bertemu orang yang sudah mati (sama macam Harry Potter, beberapa filem adiwira Marvel dan semua filem aksi kanak-kanak sebegitu).

Seperti babak 'pertarungan dalam lif' atau babak 'pertarungan atas kapal' dalam Winter Soldier yang menggunakan undang-undang dan batasan tertentu, babak pertarungan pertama Ejen Ali amat memuaskan dan lengkap dengan sambungan pada ketika penonton sudah menjangka pertarungan sudah selesai dengan kemenangan satu pihak.

Kemahiran anak-anak muda pakar animasi di Wau Animation harus diiktiraf. Babak-babak pertarungan amat kemas dan teliti.Ada beberapa kekurangan, tetapi itu semua terlalu kecil dan boleh dimaafkan, kata aku sebagai seorang penonton animasi.

Kalau aku nak korek kelemahan filem ini, mungkin seperti yang ditunjukkan oleh seorang rakan yang berkata Ali ialah watak yang lemah. Aku setuju. Ali ialah seorang watak yang kuat merengek dan tiada kekuatan kendiri. Sama seperti budak-budak manusia yang sama umur dengannya.

Aku rasa kekurangan ini hanya dapat dirasa oleh segelintir penonton tua (macam aku) yang tidak boleh mengaitkan diri dengan seorang watak berusia 10? 12 tahun? Tetapi aku tidak pernah minat watak Ali. Niki yang betul! NIKI!

Beberapa lawak jenaka stereotaip kaum mungkin menjengkelkan pihak liberal, tetapi amat 'mild' untuk diviralkan.


END OF SPOILERS

Aku keluar panggung dengan rasa yang amat puas dan walaupun pulang ke rumah dengan misi meneruskan kerja menampi Powerpoint korporat, aku masih terpanggil untuk menulis satu ulasan ringkas.

Aku amat suka kesamaran prinsip moral yang memang jelas untuk penonton dewasa dan aksi menarik Ejen Ali yang pancawarna, sesuai untuk kanak-kanak.

Aku nobatkan Ejen Ali sebagai filem terbaik Malaysia tahun 2019 dan antara 10 filem terbaik Malaysia sepanjang 40 tahun.

Ejen Ali: 4/5 bintang.

IKLAN: SYARIKAT KOMIK AKU, MAPLE COMICS, AKAN MENJALANKAN KEMPEN CROWDFUNDING BERMULA HUJUNG BULAN INI UNTUK SIRI NOVEL RINGAN NAFIRI, YANG MENAMPILKAN SEBUAH DUNIA FANTASI NUSANTARA PURBA. NAFIRI JUGA AKAN MENGIMBANGKAN AKSI STRATEGI PERANG DAN KESAMARAN PRINSIP MORAL. SILALAH BERI SOKONGAN DAN SUMBANGAN SEBERAPA YANG MAMPU. NANTI AKU KONGSI BAGAIMANA UNTUK MENYUMBANG APABILA SAMPAI MASANYA KELAK.