Saya, Amir Hafizi, ahli UMNO nombor 10,000, juga dikenali sebagai Sang Air Mata, ingin mengumumkan penubuhan Jejaka UMNO - satu badan dalam UMNO yang terdiri daripada mereka yang kacak-kacak sahaja.
Keahlian adalah melalui proses jemputan sahaja. Mereka yang kurang hensem tidak layak untuk memohon supaya dipertimbangkan.
Sebagai lelaki paling hensem dunia, saya berhak menentukan siapa yang hensem dan siapa yang kurang hensem. Mereka yang hodoh semua sudah ditendang keluar UMNO dan menyertai parti pembangkang.
Contohnya, bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dahlah tua, buncit pulak tu. Kami tak terima orang gemuk, apatah lagi yang buncit. Setelah meneliti beberapa rakaman video, saya merumuskan yang DSAI tidak layak masuk Jejaka UMNO.
Zaid Ibrahim pun satu. Makan tak jaga. Taulah dah dapat RM200 juta. Pergilah ke gym ke, apa ke. Ini tidak. Buat parti baru - Parti Kita. Siapa 'kita' ni? Bila masa aku nak buat parti? Barbeque pun tak buat. Ko ingat, nak buat cam Astro Ceria ke? "Untuk Kita Aje!" Kalau Ceria, memanglah sesuai, sebab tumpuannya budak-budak. Ni, orang tua nak masuk Parti Kita nak buat apa? Nak dengar Justin Bieber?
Saya, kesal. Selepas Datuk Khir Toyo mengasingkan diri daripada dunia kepahlawanan, kita tiada lagi ahli UMNO yang berpipi gebu. Walaupun Khir Toyo dituduh menggunakan suntikan kolagen atau botox, saya rasa dia cukup hensem, kalau dia kuruskan badan dan buat pembedahan plastik.
Atas sebab ini, saya mengambil inisiatif untuk memperkasakan kecantikan ahli-ahli UMNO, supaya relevan dalam dunia yang makin dilanda pemanasan global dan perubahan cuaca yang ketara. Siapa mahu mengundi ahli politik yang hodoh? Kalau perangai baik takpe. Ni sekor-sekor macam jahanam. Termasuk saya sendiri.
Kalau muka pecah rumah, adakah kita boleh salahkan khalayak dan masyarakat amnya jika mereka menuduh UMNO sebagai organisasi perompak?
Justeru, demi memartabatkan UMNO, negara dan alam sekitar, saya akan mengepalai Jejaka UMNO untuk menghasilkan ahli-ahli UMNO yang cakna kecantikan.
Ingat - kecantikan adalah hak milik setiap insan.