Wednesday, July 4, 2012

Askar Jerman Yang Penyedih: Syaitan Terjemahan

Bahasa asal aku menulis bukan Bahasa Malaysia. Aku paling selesa menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Ini menyebabkan ramai orang bodoh menyangkakan aku ni selamanya tinggal dan membesar di Bangsar atau kawasan KL, walhal aku membesar di paya Kuantan.

Apapun, kejap lagi aku akan kongsi beberapa pusat sumber rujukan dan alat yang mampu menolong sesiapa membuat terjemahan Inggeris-Melayu:

1. Pemahaman konteks sosial


Baik, kalau ingin menterjemah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, atau apa-apa bahasa, yang pertama sekali perlu ada pemahaman kedua-dua budaya. Ini amat penting untuk memahami konteks atau topik yang ingin diterjemah.

Kalau tiada pemahaman corak pemikiran atau budaya, terjemahan akan jadi seperti sarikata tanpa kualiti.

Contoh: The elves use cunning.

Terjemahan TV pada tahun 1980an (ini contoh yang betul-betul wujud): Kaum 'elves' menggunakan 'carning'.

Tanpa memahami apa itu 'elves' (orang halus), dan persepsi orang Barat pada mereka (licik, nakal), sukar untuk mengambus lubang pengetahuan apa maksud perkataan 'cunning' (licik) yang terus diterjemah sebagai 'carning' sebab kedangkalan diri sendiri.

Jika kita lihat budaya Jepun, kata-kata nista dan carutan yang paling kurang ajar bukan merujuk kepada alat kelamin, tetapi kepada cara memanggil orang yuang ingin dicaci.

Contoh:

Anata, Anta, Kimi, Omae, Kisama semua diterjemah sebagai 'awak atau kau', tetapi sebenarnya melambangkan betapa biadabnya memanggil orang.

Anata dan anta - amat sopan. Kimi - biasa. Omae - sama dengan 'kau', agak tidak sopan. Kisama - paling kurang ajar, dan rasanya bermaksud 'encik pokok' (hahaha!).

Dalam filem animasi Princess Mononoke, Neil Gaiman yang membuat terjemahan telah mendapat tahu yang salah satu ayat dialog dituturkan bermaksud "Sup ini rasa macam air". Dia bertanya, kenapa? Jawapannya: watak itu cuba menghina tukang masak sup tersebut.

"Berapa hina, cacian ini?" tanya Neil Gaiman.

"Amat menghina," kata Ghibli Studios.

Tetapi kalau dibiarkan, maka "Sup ini rasa macam air." tidak membawa konteks yang sama dalam Bahasa Inggeris dengan tamadun dan peradaban mereka, jadi Gaiman telah menukar ayat itu menjadi, "Sup ini rasa macam kencing keldai."

2. Kamus Inggeris-Melayu Dewan

Kalau sudah faham konteks naskah yang ingin diterjemah, maka kita beri tumpuan pada alat menterjemah pula.

Kamus Inggeruis-Melayu Dewan, kamus terhebat untuk terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia.

3. www.dbp.gov.my

Kalau tiada duit atau tidak terpikul kamus yang besar itu, maka layari www.dbp.gov.my yang telah menyediakan semua kandungan Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan dan semua sumber bertulisnya dalam enjin carian secara percuma.

4. Bacalah, dengan nama Tuhan yang best

Rajin-rajinlah membaca sebab tiada penterjemah yang bodoh. Perkasakan ilmu di dada. Dan jangan berhenti bertanya.