Saturday, January 23, 2016

Iklan Tidak Berbayar: Maple Comics Sebuah Syarikat Penerbitan Polos

Beberapa kali, Melayu jenis urban berkata kepada aku, "Kau berniaga ni, kenalah ada untung."

Aku biasa senyum saja. Ya, aku tahu untung-rugi tu apa. Aku pernah ambil Kemahiran Hidup masa tingkatan satu-tiga.

Bila aku menjelaskan polisi dan prinsip Maple Comics yang sebenarnya mengikut ramai penerbit komik dan buku yang lain, tetapi bukan yang bernilai berbillion-billion, mereka akan marah. Menggeliat-geliut seperti cacing kepanasan.

Kenapa Maple Comics memberikan sepenuh hakcipta kepada pengkarya? Kenapa Maple Comics memberi kebebasan berkarya (tetapi hanya kepada projek dan pengkarya terpilih)? Kenapa kami tidak mengusahakan penjualan barangan? Kenapa kami tidak mahukan duit?

Kenapa aku begitu bodoh dan dangkal?

Maka ketahuilah dan beritahulah kepada semua manusia, bahawasanya Maple Comics ialah syarikat penerbitan komik bebas (indie) yang begitu baik hati dan mesra-pengkarya. Malah, kami memberikan deal yang cukup hebat kepada artis.

Sebenarnya, Maple Comics ialah syarikat yang sustainable tetapi tidak profitable. Maksudnya apa-apa pendapatan kami daripada jualan satu judul komik hanya cukup-cukup untuk menerbitkan judul yang seterusnya.

Aku senang dengan cara ini. Tidak perlu pening kepala dengan tuntutan lembaga pengarah ataupun pemilik saham. Kami bebas menerbitkan apa saja judul yang kami rasa menarik.

Aku amat gembira apabila pembaca membeli komik-komik kami dengan muka yang ceria. Aku teruja bila komik dihantar sampai ke rumah, dan aku membeleknya buat pertama kali. Aku sering tersenyum apabila membaca pdf atau imej komik sebelum diterbitkan.Aku kagum dengan ramai bakat komik yang menghantar cadangan karya ke email kami di komikmaple@gmail.com. Sama ada kami tolak atau terima, lain cerita. Yang penting - masih ada yang berkarya.

Ada banyak karya aku terpaksa tolak atas pelbagai sebab. Dan ada beberapa projek terpaksa dibatalkan sebab terlampau lambat untuk disiapkan. Apapun, aku gembira dengan judul-judul yang kami terbitkan. Semuanya berkualiti dan mempunyai je ne sais quoi.

Pasal untung pula, aku hanya perlu pastikan, setiap jualan atau promosi tidak merugikan dan adalah sedikit margin yang tidak besar sangat.

Sekarang, pada tahun kedua Maple Comics, aku memikirkan beberapa hal yang sukar. Maple Comics sebagai sebuah entiti penerbitan, menjadi semakin kukuh dengan lebih banyak judul tahun ini berbanding tahun lalu. Kami juga sedang memikirkan pengembangan bentuk niaga ke arah yang lebih lebar.

Aku dan beberapa rakan telah membuat Ma-Play Card Game - satu permainan kad yang bakal dicetak sebaik sahaja para artis siapkan lukisannya.

Aku sudah memikirkan cara pemasarannya. Ada beberapa idea yang aku fikir boleh dipertimbangkan secara serius, tetapi memerlukan penyertaan pihak lain. Sebab kami sahaja tidak mampu hendak buat semua benda.

Dan kalau ada pihak di luar sana yang mahu bekerjasama dengan kami dan pengkarya yang menjadi rakan niaga kami, adalah amat dialu-alukan. Cuma perlu diingat yang kami menegaskan hakcipta sepenuhnya milik pengkarya dengan hanya hak adaptasi ke barangan cenderahati atau medium lain yang menjadi medan rundingan.

Kami tidak teruja dengan godaan untung PULUHAN ringgit.