Sudah tiga orang yang mengatakan aku bodoh atau sekurang-kurangnya dangkal sebab mengurus Maple Comics seperti yang aku uruskan.
"Kenapa kau bagi pengkarya pegang hakcipta? Patut kau penerbit, kaulah pegang!" kata seorang yang bekerja di Malaysia.
"Kau seharusnya buat duit, bro. Kau perlukan duit," kata seorang dari negara jiran.
Setiap kali mereka berkata begitu, aku rasa sangat mulia. Seperti aku menjadi Siddharta Gautama yang melepaskan semua nafsu dan mengikut Jalan Lapan Lapis. Akulah Boddhisativa Hakcipta! Arhat Harta Intelek! Avalokitesvara Tanda Niaga.
Seolah-olah aku telah menolak berjuta-juta ringgit, malah mungkin berbillion, sebab aku tidak mengambil hakcipta daripada pengkarya. Mulia, bukan?
Sebenarnya, aku malas. Ya. Itulah sebab sebenarnya. Aku memang pemalas.
Aku lebih suka Maple Comics menumpukan usaha kami yang masih terhad ini kepada menerbit dan memasarkan komik. Dengan ada milikan hakcipta dan harta intelek, peluang dan potensi untuk membuat duit memang ada, tetapi adakah kau fikir semudah itu? Hanya pegang hakcipta dan semua benda - uang dan perempuan - akan bergolek ke kaki?
Semata-mata kau buat mainan atau t-shirt daripada sesuatu harta intelek, adakah kau fikir ia akan terjual dengan sendiri?
Tidak ada satu sen pun duit yang datang dengan mudah. Semuanya harus diusahakan. Komik perlu dijual, pemarasan, branding, product visibility, product availability, storage, logistics, front desk, back-end, ease of payment, fulfillment, crisis handling, error and risk management.
Aku tahu bagaimana hendak buat duit - kalau terdesak sangat, ko boleh hisap kote politician - itu bukan cabaran minda yang menyeronokkan, tetapi hanya cabaran stamina. Aku akui, aku tiada stamina untuk mengeksploitasi semua harta intelek aku sendiri, apatah lagi harta intelek orang lain?
Jadi, jawapan mudahnya, aku malas.
Satu lagi ialah pasal keadilan. Aku juga pengkarya dan setakat ini walaupun sudah 12 tahun bekerja dan pernah menulis 6 filem, beberapa siri TV dan benda-benda lain, aku tiada harta intelek di luar sana yang aku boleh eksploit.
Aku tak pernah minta milikan harta intelek projek-projek ini sebab aku dibayar untuk kerja aku. Walaupun bayaran picisan, itu ialah kadar yang aku sudah persetujui secara bertulis.
Namun aku fikir jika seorang penulis, misalnya, menulis cerita garpu yang jatuh cinta dengan pinggan, maka dia berhak memiliki cerita dan watak itu secara keseluruhan, tanpa soal. Tak kisahlah idea dia bodoh atau bagus.
Lagipun, apa yang penulis itu ingin buat dengan hakcipta itu pun? Dia hampir pasti tidak mampu mengadaptasinya menjadi siri TV muzikal atau persembahan pentas. Hakcipta dan milikan harta intelek, kepada seorang pengkarya yang tiada pengalaman dan dorongan nafsu komersial, samalah seperti seorang budak dengan bantal busuk.
Biarkanlah si pengkarya terjun dengan harta inteleknya. Biarkan, biarkan.
Adalah amat kejam kalau dalam hidup seseorang pengkarya yang hanya ada sebuah kisah cinta yang takde la best mana pun - dan itupun dirompak dan disamun oleh mereka yang akhirnya gagal mendapatkan apa-apa keuntungan sebab mereka tidak faham yang harta intelek tidak menjamin apa-apa pulangan mudah dan harus diperah sampai separuh mati, dalam jangkamasa yang agak lama. Sama macam kerja lain.
Sebab pada akhirnya, harta intelek dalam apa jua bentuk - mug, t-shirrt, seluar dalam - harus dibeli oleh seseorang kalau hendak ada keuntungan. Siapakah orang ini? Kenapa dia ingin membeli barangan itu? Kebanyakan pelabur tahap atasan tidak mampu membayangkan transaksi tahap bawahan ini. Mereka yang berada di atas piramid buta kepada dasarnya.
Kalau kau mahukan pulangan pantas dengan jumlah untuk yang tinggi, kau pergilah jual kuih. Ini aku cakap dengan serius. Sesetengah kuih dan air berperisa, kadar keuntungannya mungkin setinggi 70%.
Jadi, kesimpulannya, aku ialah orang mulia yang malas.