Aku percaya yang filem memberi gambaran atau petunjuk untuk sesebuah masyarakat atau negara.
Contohnya, semasa penyebaran kuasa imperialis Amerika, kita ada filem-filem Rambo keluar dari sana, juga filem Rocky IV yang menunjukkan wish-fulfillment rakyat Amerika - orang mereka mebelasah hati keras Rusia (Rocky IV), pergi menang semula perang Vietnam untuk US (Rambo II, siri Missing in Action)menyekat kemaraan Rusia dan membantu pejuang berhemah di Afghanistan (Rambo III). Juga, Red Dawn yang menunjukkan sekumpulan pelajar sekolah menengah US menentang invasi Rusia. (Terima kasih Cracked.com!)
Filem-filem ini mengaut keuntungan di box office sebab berjaya meluahkan rasa hati rakyat Amerika.
Industri filem Malaysia yang bagi aku macam hidup segan mati tak mahu tahun ini, ialah satu petunjuk yang mengimbas realiti sosio-politik Malaysia.
Dibebankan oleh kesilapan-kesilapan lampau- membuat filem hanya untuk segelintir rakyat Malaysia, isu perkauman, penapisan tidak sekata, menganggap audience bodoh, tak bayar orang, bekerja sambil lewa, perasan bagus - semua dosa industri filem sekarang nampak sudah ada hasilnya.
Tahun lepas, 76 filem tempatan mencatatkan kerugian RM26 juta di pawagam. Tahun ini, 2013, nampaknya mungkin ada pola yang sama.
Aku - dan beberapa rakan lain - merasakan bahawa apocalypse atau kiamat industri perfileman tempatan ialah sesuatu yang akan terjadi, sama ada cepat atau lambat.
Tak perlu risau - ini semua pernah terjadi dulu. Di Indonesia, pada tahun '80an dan awal '90an, industri perfileman mereka ranap dan pada satu masa, hanya filem-filem soft-porn yang keluar. Aku masih ingat liputan ini di dalam akhbar Berita Harian, pasal CD filem Cewek Atas Cowok ialah salah satu atau satu-satunya filem hit tahun itu.
Malaysia juga, pada masa itu, hanya tinggal beberapa orang penggiat filem. Yang keluar panggung, aku ingat banyak filem-filem komedi. AR Badul (Hantu Siang, Pang5 Badul, Si Jantung Hati), Mat Sentul (Mat Tenggek, Mat Bond, Mat Spy), Os (Awang Spanar, OK)Keluarga Si Comat, Da Di Du.
Malah, pada tahun 1985, hanya lima (5) filem dihasilkan. Salah satunya, Ali Setan dan satu lagi, Bujang Selamat (sumber: Filemkita.com). Yang lain? Anak Niat, Kumpulan O dan Roda-Roda.
Aku tau dan pernah tengok filem-filem ni pun, pasal filem-filem ni keluar TV masa Raya. Aku tak tengok kat panggung. Malah, filem pertama aku tengok kat panggung ialah King Peacock - filem Hong Kong.
Pada masa ni, filem tempatan belum mati. Masih ada XX Ray (1992), Perempuan, Isteri Dan Jalang (1993), namun kejayaan komersil yang gah - filem tempatan blockbuster - belum tercapai. Malah, kalau tak silap aku, untuk beberapa lama, hanya filem Police Story lakonan Jackie Chan yang berjaya mengaut keuntungan lebih RM10 juta di pawagam. Ini berdasarkan iklan Police Story III di dada akhbar pada masa tu.
Kemudian, datang Yusof Haslam daripada kejayaannya di TV membuat siri Remang-Remang Kotaraya (macam Chips) dan Ops Belantara (macam Nam: Tour of Duty), dia buat Sembilu pada tahun 1994, Sembilu 2, tahun berikutnya. Sembilu mencatat kutipan RM4.2 juta, kalau tak silap aku. Lepas tu, Sembilu 2 dapat dalam RM6 juta.
Aku ingat ni pun, pasal Yusof Haslam pada masa itu digelar Four-Million Dollar Man dan kemudian Six Million Dollar Man, bukan pasal dia mirip cyborg, tapi pasal kutipan filemnya di panggung. Kalau salah fakta ni, sorry ya?
Aku rasa industri filem menghala ke arah zaman itu. Ada rakan aku yang membuat tilikan lebih teruk - "industri filem akan berkubur macam industri filem Indonesia satu masa dahulu, kemudian akan dibina semula hanya oleh mereka yang betul-betul mahu buat filem."
Aku fikir, bagus juga. Biarkan industri ini mati secara semulajadi, kemudian bina semula dengan kesungguhan dan niat yang baru. Aku nak pakai perkataan 'iltizam' tadi, tapi rasa cam Anwar Ibrahim pulak.
Bayangkan hanya Dain Said dan Nik Amir buat filem. Bagus! Dain Said tak perlukan duit dan Nik Amir tak kisah pasal duit. Duit bukan faktor utama dalam hidup mereka (aku rasalah). Jadi, kita akan dapat lagi banyak filem yang bagus.
Yang takde? Variety. Kepelbagaian. Dapatlah lima filem setahun, macam 1985. Pelakon, krew semua beralih ke TV. Jangan bimbang. Audience TV ramai, sebab free. AKu rasa Media Prima dengan Astro je dah catat lebih RM3 billion pendapatan setahun. Rasanyalah. Aku bukan junkie Bursa Malaysia nak baca diorang punya reports.
Tapi persoalan industri sekarang ada dua yang aku fikir takkan dapat diselesaikan tanpa menghancurkan industri ini terlebih dahulu:
1. Ketiadaan audience untuk menonton filem
2. Menjadikan industri ini berdikari, tanpa bantuan dan halangan kerajaan
Ketiadaan audience amat jelas. Aku anggarkan, hanya ada 500,000 orang rakyat Malaysia yang menonton filem tempatan secara aktif (box-office tertinggi: RM12 juta = 1.2 juta tiket ~ 500,000 penonton). Angka ini amat lemah jika dibandingkan dengan populasi 28 juta orang.
Untuk membina segmen pasaran baru, stigma filem tempatan ini hanya untuk Melayu dan mat rempit harus dihapuskan. Orang 'urban' semua bangga cakap, "Aku tak tengok filem Melayu". Setiap kali ada di antara mereka cakap macam tu dengan bangga, satu popcorn mati. Dan kita cuma ada 500,000 pop corn.
Ini bukan salah diorang. Industri filem tempatan gagal menarik minat audience yang baru, sekarang audience lama pun dah bosan, kalau ikut kutipan tahun lepas dan tahun ni, setakat ini. Tanpa ihsan mereka, tak guna belanjakan duit buat filem. Baik berniaga manusia, kata Usin Lempoyang.
Yang satu lagi - menjadikan industri filem tempatan berdikari takkan tercapai tanpa sokongan penonton dengan wang ringgit dan masa diorang. Nak jual merchandise - lagilah kena ada ramai orang suka. Upin dan Ipin menjual berjuta ringgit merchandise sebab orang suka. Kalau filem ko pun tak laku, ko ingat orang nak beli t-shirt ko?
Nak buat product placement? Audience marah. Ko tengok MySpy dengan product placement Celcom. Yang tak marah cuma Hantu Gangster, aku dengar cerita lah.
Kerajaan ada menyumbang dana untuk membuat filem, tetapi ini cuma suntikan palsu. Ujian litmus sebenar ialah penerimaan penonton. Sistem penapisan mereka pula mengehadkan jenis filem yang boleh dibuat dan apa yang boleh ditunjukkan. Aku tak suka penapisan di sini atau di mana-mana sebab bukan semua yang hendak diluahkan oleh masyarakat itu kena, selari dengan agenda dan dogma politik mereka yang memegang kuasa.
Selepas kemusnahan industri filem tempatan, kita boleh bina balik, kalau nak. Mungkin ambil masa 10-20 tahun, mungkin lebih. Nanti jadi cam Indonesia, which is not bad.
Atau, tiba-tiba ramai gila orang pergi tengok filem tempatan, which is fantastic.
Apa yang aku rasa paling teruk boleh terjadi, kalau semua benda kekal sama - setiap tahun, penggiat dan pengusaha filem habis duit berjuta-juta, buat filem yang orang taknak tengok. Bazir masa, bazir duit. Sebab itu mesti UBAH!
Jadi, sama ada ramai gila orang tengok filem tempatan dan beri suntikan baru pada industri ini, atau jahanamkan kesemuanya, bakar kesemuanya dan biar dia naik balik sendiri dari abu, macam burung cenderawasih, dengan audience baru dan semangat baru, kalau mampu.
Nah, ini senario industri filem tempatan. Bagaimana ini merujuk kepada keadaan cuaca sosio-politik Malaysia? Bincangkan tidak melebihi 500 harkat.