Sunday, May 15, 2011

Jejak Kelana: Syukur 2011

Bapak aku selalu cerita, jenis makanan dan hidangan paling hebat dia pernah makan adalah di sekolah Inggeris yang dia pergi masa dia muda dulu.

Pengetuanya mat salleh. Orang Amerika. Tukang masaknya baba rasanya. Pengetua duduk sekali dengan budak-budak dekat asrama, dan makan bersama. Jadi, makanan mesti best.

Bapak aku cerita, kau boleh ambik banyak mana makanan pun, tapi kau mesti habiskan. Kalau tak habis, sekali tak apa. Dua kali, kau kena panggil jumpa pengetua.

Masuk dalam bilik pejabatnya.

Dia akan bertanya, "Are you sick?" Kau sakit ke? Kalau kau geleng atau angguk, langkah seterusnya sama. Pengetua akan mencapai sebalang kuinin di atas almari, dan paksa kau minum sesudu besar.

Kuinin adalah ubat malaria dan amat pahit - mungkin salah satu jenis benda paling pahit. Sememangnya ubat yang sesuai untuk mereka yang tidak menghargai makanan dan rezeki.

Aku pergi makan kat banyak tempat baru-baru ni.

Dua hari lepas, lepak dengan member-member, pergi makan Siput Sedut Penghapus Dewa. Gila sampai empat mangkuk (awalnya) kena sental macam orang gila. Puas hati aku tengok semua orang makan.

Pastu datang la seorang lagi member aku ni. Dahlah lambat. Pastu dia ni aku, perhatikan, daripada dulu lagi, memang akan ambik banyak lauk lepas tu tak habiskan.

Bukan aku kisah pasal duit. Lagipun, bukan aku yang bayar. Siput sedut pun bukanlah mahal mana. Tapi aku paling tak suka kalau makan, ambik banyak-banyak, pastu tak habis.

Masa Selangorlicious Beach Party, makan stail buffet. Jadi, aku memang takut benda yang sama jadi.

Mujurlah, mamat-mamat kat table aku jenis kuat melantak. Pembaziran minimal.

Aku pernah keluar dengan Sunder, yang order hampir semua benda kat menu. Pastu tak makan habis pun. Tapi, dia dulu memang kaki botol. Dia dalam keadaan luar kawalan. Sekarang dia dah okay dah.

Yang dalam keadaan terkawal, memang tiada maaf bagimu.

Aku tengok pun, sesetengah budak-budak Melayu diajar sejak kecik, satu-satunya cara orang keliling mereka menunjukkan kasih sayang adalah dengan membazirkan wang untuk mereka. Budak-budak macam ni akan membesar sebagai orang dewasa yang ada lubang dalam jiwanya. Lubang yang akan cuba diisi dengan pelbagai perkara. Kebanyakannya membawa kepada kemusnahan.

Bagi aku, keadaan paling bagus adalah apabila kau mengambil makanan yang cukup-cukup untuk kau makan sampai kau kenyang, tanpa pembaziran.

AKu rasa kalau membazir, macam menghina tukang masak, menunjukkan rasa tamak, dan menempelak Tuhan yang memberi kau rezeki. Kau buat banyak kali, rezeki ditarik balik. Bukan pakai magik, tapi sikap tak hargai rezeki itu sendiri akan buat rezeki senang bercerai dari tangan.

Jangan pulak sampai paksa diri habiskan benda yang tak boleh habis, sampai jadi gemuk. Hahaha. Aku jadi gemuk pun, masa aku budak dulu, pasal aku sentiasa habiskan apa yang ada atas pinggan.

Yang penting adalah meramal dengan tepat berapa banyak kau nak makan, berapa banyak kau nak habiskan, dan apa yang kau nak serta taknak makan.

Kalau kau orang Islam, kau patut tahu yang Islam melarang pembaziran. Lebih-lebih lagi, pasal makanan. Sampai tahap, nasi boleh menangis la, apa la. Tapi biasa la, orang Melayu. Bukannya dengar sangat.

AKub tengok bapak aku sekarang, banyak benda dia tak boleh makan. Selagi aku boleh makan ni, aku akan hargai masa aku dengan makanan.