Friday, April 15, 2011

Jejak Kelana: Bukak Langkah, Selak Kain

Aku memulakan hari semalam pada pukul 12 tengah malam. Mata aku jahanam sekejap, jadi aku membuat senaman dan bertafakur selama sejam, untuk mendapatkan penglihatan aku balik.

Aku menulis sampai ke pagi. Pukul 7, aku dah nak mampus. Jadi aku tidur selama sejam, atas lantai yang sejuk. Ini petua datuk aku, yang Cina tu. Kalau baring atas tilam, berbantal empuk, mesti nak terjaga tengahari. Kalau berbantalkan batu-bata, beralas simen, mesti bangun cepat.

Tapi, aku masih terlajak tidur selama 20 minit.

Pukul 9 lebih, aku masuk kelas. Aku mengajar dua jenis kelas penulisan, di sebuah kolej swasta. Bebudaknya rata-rata jenis datang daripada keluarga berada.

Mereka bernasib baik sebab aku dah ada sedikit pengalaman mengajar tahun lepas, jadi semua berjalan dengan agak lancar.

Malah, aku menawarkan khidmat latihan intensif untuk mereka yang kurang mahir menulis. Secara percuma. Patut aku caj lebih sikit. Hahaha.

Lepas habis kelas, aku bergegas, atau dalam erti kata lain, aku lari lintang pukang naik teksi ke pelancaran dan sidang media tertutup Buku Fixi. Sidang media ini bukan untuk umum, yang akan diadakan juga pada esok malam, sebab majlis ini juga adalah majlis menandatangan memorandum persefahaman antara Buku Fixi dan Lightbulb Studios.

Gabungan ini bercita-cita mengadaptasi beberapa (harapnya) novel terpilih daripada terbitan Buku Fixi menjadi filem.

Aku tersua Khairul Nizam Bakeri - @nizambakeri di Twitter - penulis novel Pecah, Shaz Johar (Kougar) dan Ridhwan Saidi (Cekik). Inilah tiga penulis pertama yang menerbitkan novel mereka bawah label Buku Fixi, kelolaan Amir Muhammad (@amirmu).

Ada awek Cina seorang, dan wakil Lightbulb Studios.

Aku sempat bercakap dengan wakil Lightbulb Studios, tetapi tidak sempat makan nasi goreng percuma dan sambal udang petai sebab aku menumpang Raman dari Silverfish balik ke Bangsar.

Dalam perjalanan pulang, Raman sempat mentarbiah aku pasal keadaan penerbitan sekarang, dan mengapa ada orang yang mengeluarkan kenyataan bahawa novel Faisal Tehrani yang diterbitkan pada awal abad ini adalah novel Bahasa Malaysia pertama diterbitkan selepas 14 tahun.

Ah, pedulikan politik itu semua. Yang aku tahu, aku ada tiga deadline yang aku nak uruskan, dan memikirkan apa aku nak ajar bebudak dalam kelas, minggu depan.

Majulah sukan untuk negara. Dan Fixi.

Oh ya. Tahniah untuk tiga orang penulis novel tadi, Amir Muhammad, Buku Fixi dan Lightbulb Studios. Moga ramai orang baca hendaknya.