Ada rakan yang bertanya, pasal unsur agama dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang aku mengaku aku sudah tarik keluar daripada skrip filem Hikayat Merong Mahawangsa.
Aku, bukanlah pengkaji yang terkedepan berkenaan sejarah dan juga Merong Mahawangsa. Aku stunt-cock filem ni je. Kalau nak tau dengan secara sahih, tanya Dr Siti Hawa Salleh yang mengarang kajian Hikayat Merong Mahawangsa, dengan kompilasi RJ Wilkinson (dalam Jawi tu, mat!) dan juga kajian-kajian yang di buat dalam jurnal dan sebagainya.
Benda pertama yang aku nampak dalam HMM adalah simbolisme agama yang kuat. Sebab tu aku cakap kat Norman, tiga tahun yang lepas, "Tak yah buatlah filem ni. Nanti orang bergaduh."
Bukan apa. Garuda tu, Tuhan Hindu. Satu jelmaan Tuhan Vishnu, atau dalam terjemahan lain, menjadi tunggangan Vishnu. Jentayu pula adalah Jatayu - juga satu Jelmaan Vishnu juga, sambil Jatayu juga anak saudara Garuda. Ikut kajian aku yang tak seberapa lah.
Jadi, bila jelmaan atau tunggangan Tuhan Hindu lawan dengan Nabi Islam, apa simboliknya? Hindu lawan Islam. Ko taulah, orang dulu-dulu. Cakap sikit punya berlapik.
Terbukti, tiga bulan lepas aku cakap pasal benda ni, adalah pulak perarakan kepala lembu di Shah Alam.
Cerita pasal Merong sendiri banyak berlegar sekitar pertaruhan/pertandingan antara Garuda dan Nabi Sulaiman. Garuda yang angkuh menyatakan yang dia mampu melawan kehendak Tuhan yang disembah Nabi Sulaiman. Dia hendak memastikan jodoh antara Putera Rom dan Puteri Cina tidak terjadi. Kalau dia kalah, dia berjanji akan meninggalkan kawasan ini. Ikut hikayatnyalah.
Jadi, kalau kau nak terjemahkan ini ke layar perak, kau akan dapat satu burung CGI yang besar, bercakap dengan orang halimunan. Pasal, imej nabi-nabi, kita tak boleh tunjuk. Suara pun tak ada.
Nabi Sulaiman pulak, ada memerintah Raja Jin Harman Syah pergi buat kerja. Nabi, burung Garuda, lepas tu Raja Jin pulak.
Aku tak pasti penerimaan orang Islam moden sekarang, dengan Nabi Islam lepak dengan Raja Jin. Walaupun banyak interaksi antara para nabi dengan kaum jin, dalam kisah-kisah Islam, aku memang musykil.
Tapi, yang paling aku kisahkan, adalah Nabi Islam lawan dengan jelmaan Tuhan Hindu. Sebenarnya, perlambangan ini, untuk memberi laluan kepada pemelukan agama Islam di akhir cerita.
Hikayat Merong Mahawangsa, bagi aku, ada dua tujuan: menerangkan salasilah leluhur keturunan raja-raja Kedah, dan menerangkan peralihan kepercayaan daripada Hindu ke Islam di sini.
Ceritanya cantik apabila dibaca di penghujung, apa yang terjadi di permulaan hikayat (Nabi Islam Sulaiman menang) juga diulang apabila Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam, diajar oleh seorang pendita Islam yang berlayar bersama Syaitan (panjang ceritanya).
Aku tak selesa menggambarkan mana-mana tokoh atau Tuhan dalam mana-mana agama. Jadi, ditarik kesemuanya keluar. Yang tinggal cuma intipatinya - sebuah kuasa lama berlawan dengan kuasa baru.
Walaupun begitu, aku meninggalkan sedikit unsur Hindu dalam HMM. Taji adalah 'talon', senjata utama burung seperti Garuda, ya, tetapi Kamawas aku bayangkan sebagai waris Anduman atau nama asalnya Hanuman. 'Mawas' dalam namanya merujuk kepada jelmaan Hanuman yang paling popular - sejenis monyet.
Setelah diterjemah secara visual melalui lakonan dan arahan, aku senang sekali melihat hasilnya apabila tidak jelas langsung yang Hikayat Merong Mahawangsa membayangkan pertelagahan antara agama, yang memang ingin dielak.
Semasa Yusry dan krew berhempas pulas menjayakan HMM di Terengganu, aku di KL bersilat dengan bebanan memastikan tanggungjawab sebagai pencerita HMM tidak akan membuah pergaduhan. Walau apa pun penerimaan masyarakat tentang filem ini, benda yang paling aku hendak elak adalah pertumpahan darah, hanya pasal sebuah filem.
Dalam hikayat, ya, ada benda ini, tapi tidak dalam filem. Yay! Jadi, kalau ada gaduh lagi, bukan pasal aku, ya?