Ada yang bertanya aku, kenapa menulis dalam Bahasa Inggeris, dan kenapa dalam dokumentari Hikayat Merong Mahawangsa, aku Berbahasa Inggeris dan tidak berbahasa Melayu.
"Nak tunjuk power ke?"
Kalau aku nak berlagak, aku cakap Bahasa Latin (walaupun aku tak reti berbahasa Latin hahahaha!).
Sebenarnya, aku lebih senang berbahasa Inggeris. Aku menulis dalam Bahasa Inggeris, sebab bahasa ini kaya dengan bahan rujukan untuk penulisan - sama ada daripada segi maklumat mahupun gaya.
Untuk Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu, aku kurang dapat contoh yang baik.
Aku pernah belajar sikit pasal puisi - klasik dan moden - daripada Rahman Shaari, masa kat UM dulu.
Aku belajar apa itu gurindam - puisi panjang berlagu.
Contoh:
Bertahun-tahun, ku bawa namamu Maya
Dari desa ke desa, ku bawa ia
Bak luka, baru, di keningku... Mayaaa...
Itu je aku ingat. Hahahaha. Tapi lagu dan melodinya masih terpacak kukuh dalam ingatan.
Dia mengajar asas deklamasi puisi, penuh dengan nilai persembahan. Contohnya, kalau kau menyampaikan puisi dengan tema 'takut', sebab didatangi syaitan, atau pasal bakal masuk neraka, dibimbing syaitan, kau boleh buat persembahan takut.
Kalau kau menyampaikan puisi kerakyatan, dengan tema sosio-politik, kau boleh 'menyediakan pentas' dengan membuat satu pertuduhan kepada seorang 'rakan kerjasama' yang diletak dalam penonton yang kemudiannya diheret ke pentas untuk menjalani 'perbicaraan' sama ada dalam bentuk teater atau puisi. Contohnya lah.
Tapi, aku bukan penghibur. Aku penulis - aku lebih gemar menulis serta mengkaji struktur, gaya dan maksud penulisan.
Malangnya, sastera Melayu yang aku baca amat terhad. Aku mencuri-curi baca Kelapa Nan Sebatang, semasa di sekolah menengah.
Ini yang aku ingat, daripada cerpen Gulai Rawo. (Kalau salah, aku mintak maaf. Ingatan aku tak sekuat dulu. Aku dah tua):
Gulai lomak, masakan rawo
Tumbuk lado, segonggam godang
Kok awok raso penganen kito
Indakkan lupo jalan nan datang
Gulai Rawo mengisahkan seorang bapa yang bertungkus-lumus, berusaha keras, menangkap ikan air tawar untuk menjamu anaknya yang sudah berpindah ke bandar dan bekerja di sana, serta sudah berkahwin dengan orang bandar. Malang, usaha keras orang tua itu akhirnya tidak dihargai oleh si anak, walaupun bukan diceritakan seperti drama murahan.
Si anak tidak menderhaka, cuma seleranya sudah berubah. Si ayah tidak jatuh terjelepuk sambil menangis terisak-isak.
Sentuhan drama yang amat lembut apabila si anak hanya menjamah sedikit hidangan ikan air tawar masak lemak, dan lebih memberi fokus kepada sambal telur dan ikan bilis.
Bagi aku, itu cerita yang bagus. Tidak terpampang jelas seperti gadis tak beradab yang melukah di depan orang tua.
Novel Shit karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad membosankan, bagi aku. Aku lebih suka novelnya, TiVi. Tengok TV sampai lintah masuk pantat pun tak sedar. Hahahaha!
Anak Mat Lela Gila, Keluarga Gerilya, himpunan cerpen Pak Sako sebelum dan selepas perang. Novel Merpati Putih Terbang Lagi oleh Khadijah Hashim(?), Gerhana di Hati oleh wakil rakyat kawasan aku - Adam Kadir. Hanuman O (Uthaya Sankar SB) dengan cerita Kucingnya, Hizairi Othman dan yang lain.
Malangnya, aku sungguh tidak yakin untuk menulis dalam Bahasa Malaysia, atau Bahasa Melayu. Semua contoh yang aku baca, bagi aku, tidak lengkap.
Ahmad Kamal Abu Bakar menulis falsafah dan puisi barat dalam Bahasa Melayu, pasal dia terpengaruh dengan Kiekergaard dan Sartre, serta Rimbaud. Contoh yang bagus ditunjukkannya, tetapi bagi aku, aku masih tercari-cari penulisan Bahasa Melayu yang boleh dijadikan contoh sebagaimana aku menjadikan karya-karya komik agung Neil Gaiman dan Alan Moore sebagai ikutan.
Walaupun aku memulakan penulisan aku semasa umur belasan tahun dengan mengarang cerpen-cerpen Bahasa Melayu, aku hanya menumpukan pada penulisan Inggeris dalam kerjaya aku.
Mungkinkah, terletak di bahu penulis-penulis yang ada sekarang, untuk mencari gaya dan selok-belok penulisan yang sendiri? Aku pun tak pasti. Mampukah kita mengarang karya-karya agung yang tak lapuk dek zaman, seperti penulis-penulis Bahasa Melayu yang dahulu?
Hanya masa - dan Tuhan - yang mampu menentukan.