Friday, July 29, 2016

Anjakan Paradigma Guru

Izinkan aku puji komik terbitan sendiri. 

Hari ini, Maple Comics telah menerima cetakan pertama Paradigma Guru - sebuah komik oleh Pokcik Fingernailz.

Ini ialah judul ke 11 atau 12 kami. Aku pun dah lupa sebab tak terkira banyaknya. Setiap satu judul itu amat istimewa bagi aku. Daripada Kuala Terengganu in 7 Days yang malar hijau hingga Komik Ronyok yang subversif dengan cara yang cukup genius, aku amat senang dan suka dengan judul-judul yang kami terbitkan.

Paradigma Guru amat significant bagi aku, sebab Pokcik Fingernailz telah berjaya menunjukkan contoh sebuah cerita yang amat kuat dan unik identiti tempatannya, menggunakan tropes dan gaya manga.

Kalau kau suka baca manga, kau akan senang membaca Paradigma Guru. Bahasa seni dan short hand manga memang digunakan dengan meluas dan berkesan, demi menyampaikan kisah seorang guru perempuan bertudung di sebuah sekolah menengah di Malaysia.

Gaya atau seni manga menjadi alat untuk menyampaikan satu cerita yang Pokcik Fingernailz saja mampu luahkan.

Ini penting bagi mereka yang seusia dengan aku sebab sejak aku mula kacau orang kat Internet, antara persoalan yang hangat dibahas dan dibincang (sampai tak buat komik pun, cuma bercakap pasal ini saja) generasi aku ialah di mana 'identiti komik Malaysia'.

Adakah pada melukis keris, atau rumah kampung, mengetengahkan rekaan senibina kayu Melayu? Adakah pada cerita Hang Tuah? Bagaimana dengan budaya Cina, India, Bidayuh, Iban di Malaysia - itu tak cukup Malaysia kah untuk diketengahkan?

Ini persoalan yang aku jumpa 18 tahun lepas semasa aku masih student kat UM dan berangan nak buat komik kat KL dan jadi jutawan yang ada kepak. Macam Wunan.

Aku dah tua. Dah 36. Nak mampus dah pun. Aku dah tak peduli benda-benda remeh itu dah. Namun malam ini, sambil aku habiskan sisa-sisa kerja aku, aku rasa yang kalaulah diri aku 18 tahun lepas membaca Paradigma Guru, aku akan menguatkan syak aku pada jawapan akhirnya:

Identiti komik Malaysia ialah komik yang hanya boleh diceritakan oleh seorang rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, umur dan gaya senilukis. 

Untuk sesuatu benda, pergerakan atau disiplin berkembang, ia sepatutnya mendepakan tangan dan memeluk semua yang sealiran dengannya.

Dan yang paling penting:

Identiti komik Malaysia tidak akan wujud sekiranya tiada komik Malaysia. Semua perbincangan pasal identiti komik Malaysia hanya membazirkan masa yang lebih baik digunakan untuk membuat lebih banyak komik yang best dan memberi sumbangan kepada cornucopia identiti yang hendak dibincangkan sangat itu. Malah, nukilan ini juga satu pembaziran masa.