Filem Kil oleh pengarah muda yang kacak dan jambu, Nik Amir, dinobatkan (dituduh?) oleh sesetengah pihak sebagai peneraju gelombang baru perfileman Malaysia.
Aku tak fikir ini adil untuk Kil - sebuah filem yang dibuat dengan kemas dan penuh teliti oleh Nik Amir, Rewan Ishak, dan rakan-rakan mereka (ramai tanya aku pasal Rewan yang mereka fikir pengarah Kil. Tak, Nik Amir pengarah Kil. Rewan penerbit eksekutif dan antara tiga penulis skrip).
Masa aku tengok Avengers, harapan aku terlalu tinggi, sampai bila aku tengok kat wayang, aku bosan. Jangan letakkan harapan terlalu tinggi pada Kil, sebelum menontonnya. Memang ini filem hebat, tapi jangan sabotaj diri sendiri dan mengharapkan penukar arus industri seperti Star Wars. Kil bukan Star Wars.
Premis Kil memang menarik - seorang lelaki loser (Kil/Akil) lakonan Redza Minhat ingin membunuh diri, tetapi gagal. Dia kemudian mengupah satu agensi/NGO untuk membunuhnya. Penonton kemudian dibawa ke dunia Kil untuk melihat bagaimana dia mula sayangkan hidup setelah terjumpa awek bernama Zara dan memahami kenapa dia ingin bunuh diri.
Dunia Kil memang kemas. Nik Amir menggunakan watak-watak pembantu yang muncul kembali untuk mencipta satu komuniti yang rasanya boleh masuk akal dan tidak klise. Dunia Kil, dengan imej yang cantik dan menyenangkan hati, memang seronok untuk diteroka, walaupun sengaja dibuat agak suram, sebab topiknya suram.
Aku tak cukup ilmu untuk cakap pasal mise en scene, teknik cinematografi, mahupun miso sup, jadi tak payahlah aku nak pura-pura tahu. Namun, rakan-rakan yang lebih arif ada berkata, filem ini menggunakan sudut rakaman kamera yang baik. Imejan Kil dijaga dengan sempurna. Apa yang aku perasan banyak babak yang nampak rajin. Ada satu babak Zara (heroin) berjalan yang dibuat dua kali. Bagi aku, itu dah rajin, sebab kalau aku, aku malas.
Masa awal-awal, ada beberapa suntingan yang aku rasa tak cukup kemas, tetapi beberapa kerat kekurangan filem ini pada dua-tiga babak (lepas Kil kena belasah/culik, aku dah terkapai-kapai kelemasan dalam lautan 'aku tak sure apa jadi', sama dengan cameo Ella) tidak 'menggerhanakan' kerajinan kumpulan ini membuat filem.
Ini filem yang dibuat oleh mereka yang suka filem. Aku bukan cakap ni pasal aku kenal (jugak) diorang, tapi pasal ini jelas dalam layanan mereka kepada cerita, watak, alunan emosi, tema dan semua aspek perfileman, kecuali pemasaran tradisi. Aku musykil dan risau dengan kekurangan bahan promosi di luar Twitter.
Bagaimana mahu meneraju era baru perfileman Malaysia, kalau ramai tak tahu/tak dapat nak tengok? Kalau korang boleh tengok Kil, dipersilakan. Kita sebaik-baiknya menyokong filem ini dengan wang ringgit kita, agar lebih banyak Kil yang dapat dibuat, tanpa mengharapkan bantuan Kerajaan yang biasanya tak sampai ke ramai penggiat seni di bawah ni. Kalau ko ada lobang, atau lobang ko best, mungkin boleh mencium bau dana. Kalau tak, ko pergi cium benda lain la.
Namun, tema Kil yang bertunjangkan persoalan hidup dan mati tampak agak sesuai untuk ini sebab industri filem Malaysia amat perlukan suntikan nafas baru kreativiti dan semangat yang aku nampak semakin kontang. Bukan tak ada. Amat kurang ajar kalau kita cakap semua orang yang buat filem sekarang dah takde idea atau dirogol kreativitinya (kemudian kahwin dengan perogol kreativiti mereka, secara kreatif). Cuma, baguslah kalau ada variasi. The more, the merrier, kata Mahatma Gandhi.
Ada beberapa teman yang berkata, sejak zaman Bujang Lapok P Ramlee, tak ada langsung pembaharuan dan kenaikan dalam perfileman Malaysia.
Aku tak setuju, sebab aku rasa filem-filem seperti Kami ("Ada seorang budak perempuan baru datang ke kampungku!") lakonan Allahyarham Sudirman Hj Arshad ialah filem terbaik dalam masa 30 tahun yang lepas, dan bagi aku filem Malaysia paling hebat pernah aku tengok.
Matinya Seorang Patriot ("Research, Kadir!"), bagi aku, pemula jenis filem balas dendam yang menghiburkan. Sila lihat filem-filem Rahim Razali, Eman Manan pada masa itu. Ada satu filem tu, aku tak ingat sangat, Melati Putih rasanya tajuk dia ("Kau lempang dia macamana? Aku lempang dia macam ni! Kau lempang dia macamana? Aku lempang dia macam ni. PANG! ") - cerita pasal perempuan HAMPIR kena rogol yang TIDAK BERKAHWIN dengan orang yang cuba merogolnya, malah (SPOILER ALERT) penyerang seksual itu dibunuh oleh kekasih Melati - seorang lelaki terencat akal.
Ini filem lakonan Yusof Haslam paling baik pernah dibuat, penuh dengan kekaburan moral dan tiada anatagonis nyata, kecuali watak picisan yang menjadi penyerang seksual. Malah, antagonis Melati Putih ialah kehidupan sendiri, realiti kehidupan dunia yang kadangkala agak sukar diterima dan telalu pahit untuk ditelan.
Malah, filem-filem terpenting P Ramlee sendiri dihasilkan selepas zaman Studio Jalan Ampas. Dr Rushdi ("Di sinilah tempatnya saya membuat injeksyen") dan Gelora ("Bolehkah saya membuka kutang makcik? Bukalah!") dua filem arahan P Ramlee pada tahun 1970 mendedahkan pengaruh sinema yang lebih gelap untuk Allahyarham P Ramlee, yang mungkin sedang bereaksi kepada revolusi kebebasan seksual sedunia pada masa itu, ataupun sebab orang Malaysia memang miang dan senang terjebak dalam kancah jenayah dan kerapuhan moral.
Apa pun, aku amat senang dan gembira dengan adanya pembuat filem yang berani meletakkan duit dan usaha mereka ke dalam sesuatu projek seperti Kil. Mungkin ramai tak tahu, Rewan, Nik Amir dan rakan-rakan asalnya hanya mahu menayangkan filem ini di empat panggung, tunjuk kat kawan-kawan dan saudara-mara. Nasib mereka baik sebab GB ambik filem ni.
Aku juga rasa kita sebagai penonton bernasib baik sebab dalam masa beberapa tahun saja, kita dapat menonton Bunohan, Rock Oo dan Kil di pawagam. Semoga industri perfileman Malaysia semakin matang.