Monday, September 30, 2019

Ulasan Filem: Motif

Saya ialah seorang yang mudah teruja dengan cerita penyiasatan. Sejak kecil, saya sukakan cerita Sherlock Holmes (ada koleksi semua ceritanya di kampung, yang saya menang daripada peraduan menulis), buku-buku noir Dashiell Hammet, dan kemudian Detektif Conan karya Gosho Aoyama. Saya juga sanggup menonton kesemua episod The I-Land, salah satu siri Netflix paling buruk pernah dihasilkan manusia, semata-mata sebab episod pertamanya boleh tahan walaupun episod-episod seterusnya seperti merodok belantan gergasi berduri ke lubang dubur.

Maka apabila diberitahu ada pembuat filem Malaysia ingin menghasilkan filem penyiasatan yang tidak diplagiat daripada mana-mana cerita lain (maka sesungguhnya dosa plagiat ialah dosa besar penulisan dan tidak mungkin diampun oleh sesiapa), saya pun amat teruja. Secara automatik, filem Motif mendapat markah dua bintang secara percuma walaupun saya belum menontonnya. Satu bintang sebab ini filem tempatan dan satu lagi sebab ini cerita penyiasatan.

Namun, malang bagi saya, anugerah ini terpaksa saya ambil balik sebab saya kecewa dengan bahagian ketiga filem ini yang amat lemah dan longgar.

Motif ialah filem arahan Nadiah Hamzah dan dibintangi Sharifah Amani, Rosyam Nor, Iedil Dzuhrie (dulunya dikenali sebagai Iedil Putra). Taqim Zaki dan Emma Tosh, antara lain. Kisahnya tentang seorang inspektor polis yang ditugaskan ke sebuah pekan kecil yang amat berkabus untuk mengendalikan kes kehilangan remaja perempuan, anak orang kaya di situ.

Pada bahagian awal, saya masih okay dengan latar berkabus sebab ini dunia yang ingin diketengahkan oleh pembikin filem. Mungkin itu bukan kabus, tetapi jerebu, atau mungkin pekan Tanah Merah itu sebenarnya satu daerah di luar Oslo, Norway. Atau mungkin cerita ini terjadi suatu masa dahulu, di Cameron/Genting Highlands, Malaysia, semasa musim berkabus yang tebal. Seperti yang kita tahu, tempat-tempat seperti Bukit Fraser, Cameron dan Genting Highlands tidak sesejuk dahulu, mungkin akibat climate change. Atau mungkin ini dunia lain. Alternate Universe Malaysia.

Jadi, masalah kabus bukanlah masalah, tetapi gaya. Baik. Tetapi kenapa hanya ada SATU hotel di Tanah Merah? Dalam satu perkembangan plot, Inspektor Dewi (Sharifah Amani) telah diusir secara baik daripada hotel tempat dia menginap dan dia terus tidur dalam kereta.

Saya bukanlah seorang pemilik kereta, tetapi saya fikir kereta itu mampu digunakan untuk mencari tempat tinggal yang lain. Antaranya, rumah tumpangan lain, homestay atau jika pekan itu memang tiada Hotel Seri Malaysia, dia boleh ke pekan seterusnya.

Tetapi... tidak mengapa. Mungkin ini Alternate Universe Malaysia. Baiklah. Tetapi... mengapa Bukit Aman mengarahkan Dewi ke Tanah Merah? Adakah menjadi polisi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menghantar seorang polis kecil ke kawasan kecil untuk mengendalikan kes kecil?

Saya tidak berniat langsung untuk thin-shaming, walaupun saya punyai motif yang amat jelas - saya gemuk - tetapi saya fikir agak sukar untuk mencari polis berbadan kecil seperti Dewi.

Ini saya kongsi syarat kelayakan fizikal untuk menjadi anggota polis yang saya perolehi daripada hikmat Google tahap rendah:

Syarat Kelayakan Fizikal Konstabel Polis YA1 Dan YT1
  1. Tidak melebihi 27 tahun pada 28 November 2018
  2. Ketinggian 163CM ke atas sahaja (untuk lelaki. Saya dapati, untuk wanita ketinggian minima ialah 157cm)
  3. Berat minimum 50kg ke atas sahaja
  4. Indeks jisim badan hendaklah 19.0 hingga 29.0 sahaja
  5. Ukuran dada 81cm (biasa) dan 86cm (tarik nafas)


Tak mengapa. Saya terima. Saya terima ini demi menikmati cerita, sebab saya memang suka cerita penyiasatan. Kita anggap ini alternate universe yang memang macam tu caranya.

Baiklah.

Kenapa selepas tidur dalam kereta, dan tanpa access kepada tempat mandi, Dewi pergi jogging? Dan kenapa dalam kekaburan kabus itu, dia terjumpa satu-satunya orang yang jogging jugak pada masa yang sama - Inspektor Rizal (Taqim)? Dan kenapa selain daripada babak ini, jogging tak diperkatakan langsung sebelum atau selepas atau di mana-mana bahagian cerita?

Ah, matilah kalau nak ulas macam ni. Kalau hendak nit-pick, memang tiada filem yang tidak berdosa, kata Cinema Sins yang sekarang menjadi pariah di Hollywood sebab asyik menunjukkan semua kesalahan filem.

Kita anggap saja first act dan second act okaylah. Mari kita lihat third act. Babak stand-out dalam third act ialah apabila Dewi dan Rizal pergi ke arah sebuah rumah untuk konfrantasi terakhir. Dalam perjalanan ke sana, ada intercut dengan watak-watak lain tengah bergaduh dan menghabiskan plot masing-masing.

Demi menyambung atau memberi penjelasan kepada satu babak konfrantasi antara watak, satu voice over panggilan telefon dimasukkan semasa kereta sedang buat pusingan U. Dialog dia lebih kurang macam ni (nama dan konteks ditukar supaya tidak spoil cerita dan bahasa ditukar jadi sedikit rempit):

Mamat A: Bro, jangan pergi sana bro. Biar aku settlekan.
Mamat B: Wak lu beb! Gua dah takleh blah dah ni!

Kemudian kita lihat Mamat B bergaduh dengan Mamat C di tempat klimaks sebelum cut balik ke kereta tengah dipandu Mamat A. Saya rasa ini macam voice over tampal untuk sambung atau jelaskan kenapa Mamat B ada di tempat Mamat C. Ini sebenarnya tidak perlu, sebab memang sudah jelas dia akan ke sana.

Itu semua plot, yang agak berlubang. Sekarang mari kita lihat perwatakan pula.

Rosyam Nor memang seorang pelakon bagus, tetapi dalam 90% filem ini, dia kelihatan seperti hanya ada dua emosi saja. Amat mirip dengan ayah saya sendiri, watak Hussein yang dilakonkannya hanya ada perasaan 'Marah' atau 'Marah Gila'.

Dewi pula, saya sukar untuk terima yang dia ialah


(SPOILER)



seorang isteri kedua.



(END OF SPOILER)





Bukan sebab saya kenal Sharifah Amani, tetapi Dewi sendiri tak rasa seperti seorang yang sunyi. Malah, kebanyakan ciri perwatakan Dewi sebenarnya agak kabur. Ada peluang untuk menunjukkan dia seorang yang tidak hiraukan orang dan hanya menumpukan pada tugas sampai dia dipulaukan semua polis lain. Tetapi ini tidak ditekankan. Ada peluang untuk menunjukkan kehebatan dia dalam kerja-kerja penyiasatan. Tetapi ini tidak dijelaskan.

Watak-watak fiksyen penyiasatan seperti Holmes, Conan, Poirot, Miss Marple, Jessica Fletcher (Angela Lansbury dalam Murder, She Wrote) selalunya menunjukkan kehebatan penaakulan sambil ada masalah atau ciri istimewa untuk perwatakan mereka.

Holmes tidak mengendahkan manusia sebagai manusia, dan hanya memikirkan mereka sebagai unsur dalam kes. Adrian Monk ada masalah dengan OCD, manakala Edogawa Conan bertukar menjadi anak kecil selepas memakan racun Sindiket Hitam.

Malah, jika Dewi ingin dijadikan sepertti watak Lisbeth Salander (Girl with the Dragon Tattoo), keterasingan sosialnya tidak sampai. Kelicikannya tidak jelas. Masalah dalamannya - mungkin kesunyian? - tidak terasa.

Agak sukar untuk saya terima Dewi sanggup menjadi isteri kedua sebab perwatakannya sendiri kurang jelas. Saya SYAK saya harus menerimanya sebagai sejenis watak sebegitu atau sebegini, tetapi filem ini tidak membuat 'lompatan' itu senang dan saya lebih mudah untuk jatuh ke dalam lembah keraguan.

Sepanjang filem, apabila Dewi dan Hussein dalam satu babak, saya dapat rasakan bahawa mereka bersedia untuk menjerit ke arah satu sama lain. Malangnya, apabila babak jerit-menjerit itu berlaku, saya tak rasa seperti itu pay off yang mencengkam.

Tidak seperti dalam Naked Director - satu lagi siri Netflix, tetapi yang bagus dan tidak buruk seperti The I-Land - dalam episod 5 apabila Kaoru Kuroki memeluk Toru Muranishi, segala kerinduan, nafsu yang dibendung, kebebasan yang dihalang seumur hidup dapat dirasa dengan hanya memek muka berkerut dan hembusan nafas yang menzahirkan segala apa yang menjadikan seseorang insan itu manusia.

Yang ini, tiada dalam Motif - setup dan payoff yang cantik dan kemas. Malah, misteri terakhir dan penyelesaian agak menghampakan.

Kalau tumpuan kepada visual semata, saya tak rasa kualiti visual dalam filem ini terlampau baik. Dalam erti kata lain, "tak visually stunning pun". Malah, saya rasa Motif sesuai ditonton di Netflix.

Yang ada hanyalah beberapa bayangan idea yang bagus, yang tidak diperhalusi. Sayang.

Apa pun, saya harap pembikin filem Malaysia terus mencuba sebab saya percaya kepada prinsip latih tubi. Satu hari nanti, dalam lambakan karya, mungkin ada beberapa yang betul-betul bagus. Teruskan berkarya! Dan kepada mereka yang 'inginkan kelainan', sekurang-kurangnya Motif menawarkan kelainan.

Motif - 2/5 bintang. Tambah 3 bintang jika anda mahukan 'kelainan', tolak 2 bintang kalau mood anda tak baik.