Thursday, October 10, 2019

Ulasan Filem: Joker - MILD SPOILER WARNING, HEAVY POLITICAL WARNING

Orang Kaya, Orang Disembah; Orang Miskin, Kena Belasah

Joker ialah filem yang menakutkan bagi aku, sebab ia dengan agak tepat menggambarkan beberapa fantasi aku sendiri. Semasa aku lebih muda, aku membayangkan bagaimana watak aku akan diterima dan disayangi dalam siri TV yang aku suka, seperti Boston Legal atau bagaimana aku sendiri akan diterima dan disayangi oleh produksi Boston Legal.

Aku juga pernah membayangkan bagaimana kehidupan aku sekiranya aku membabitkan diri dengan beberapa perempuan yang aku pernah suka - kadang-kadang sampai usia tua. Sebab aku dulu memikirkan bahawa aku seorang pencinta yang romantik, hanya jika diberi peluang oleh Eisaya Hosuwan atau Lisa Manoban. Aku pada usia yang hampir mencecah 40 ini hanya mengamalkan jurus Sejuk Mata Pedang, Dingin Hati.

Apa yang menakutkan bagi aku tentang masalah mental dan kemurungan Joker dalam filem ini ialah bagaimana perkara paling menyedihkan ialah harapannya untuk kehidupan dan kewujudan yang lebih berperikemanusiaan. Sebab, "apakah kuasa neraka atas mereka yang tidak mampu mengimpikan syurga?" (Neil Gaiman, Preludes and Nocturnes, The Sandman Comics).

Dan Gotham City memang seperti neraka. Digambarkan sebagai sebuah bandar yang menghadapi mogok pemungut sampah, kotor, saiz tikus yang amat besar menjadi momokan pelawak dalam rancangan bual bicara lewat malam, seperti di New York oleh David Letterman dan juga Kuala Lumpur, oleh Jit Murad dalam salah satu persembahan lawak jenakanya.

Ini juga kenapa aku menulis ulasan ini dalam Bahasa Malaysia, walaupun ini filem mat salleh. Aku bukan sahaja nampak persamaan dengan diri aku sendiri - satu benda yang memang melancap habis - tetapi antara masyarakat Gotham dengan masyarakat global secara amnya, dan masyarakat Malaysia secara khususnya. Aku mahu pembaca Melayu juga faham apa aku tulis sebab aku fikir ini mungkin penting, bagaimana filem penting dalam hidup kita (tidak sangat, sebab seni tidak penting).

Pada awal filem lagi, Arthur Fleck/Joker (lakonan bagus Joaquin Phoenix) berbual dengan ahli terapinya yang  mengatakan bahawa 'suasana di luar sana tegang'. Ini benar di semua tempat di dunia sekarang. Di Hong Kong, rusuhan dan jawapan kepada rusuhan bertambah ganas. Ada juga tunjuk perasaan di Indonesia, dan di Amerika Syarikat kita belum tahu apakah hasil permainan politik mereka, sambil keganasan dan pembunuhan makin berleluasa.

Kita di Malaysia belum sampai tahap itu, tetapi orang jahat yang sama dalam filem Joker - orang kaya-kaya, billionaire seperti Thomas Wayne yang mewujudkan masyarakat yang begitu terdesak - juga ada membuat onar di Malaysia, Amerika Syarikat dan menjahanamkan semua negara dalam dunia.

Mereka yang telah hilang kuasa tahun lepas dan hilang peluang merompak setelah menyamun sekian lama, cuba mencucuk orang miskin supaya bertindak. Mereka mengapi-apikan persoalan perkauman, memberitahu si miskin yang hak mereka dirampas oleh orang miskin lain, dan bukan oleh mereka sendiri.

Apa kau dapat bila kau pukul orang miskin lain di jalanraya? Saman atau penjara. Orang miskin yang berani berdiri dan menuntut hak daripada orang kaya akan diperlekehkan orang miskin lain. Mereka cuba menyuruh kita memboikot barangan orang miskin dan sederhana lain, sementara memberikan lebih 60% pendapatan kepada syarikat gergasi orang kaya. Sebenarnya, 90% kalau kita kira semua rantaian sumber dan milikan syarikat.

Masalah orang miskin ialah masalah pelbagai dimensi yang tidak dapat diselesaikan dengan membeli kicap atau roti. Masalah ini perlukan penyelesaian pelbagai dimensi yang akan mengambil masa beberapa generasi. Dan percayalah, keganasan bukan jalan penyelesaian dan hanya akan melahirkan badut-badut bersenjata dan mayat-mayat yang bergelimpangan.

 Ada satu tajuk berita muka depan dalam filem ini, "Kill the Rich?" yang benar-benar menarik minat aku. Setelah kes pembunuhan tiga orang pelabur saham oleh seseorang yang memakai pakaian dan solekan badut di dalam keretapi bawah tanah, media membuat spekulasi motif pembunuhan itu, sehingga mengangkat Joker menjadi wira kelas bawahan.

Kita tidak perlu membunuh orang kaya, tetapi mengambil kekayaan mereka. Di seluruh dunia, semua sistem kapitalis sedang roboh dan idealisme sosialis mula naik. Secara peribadi, aku bencikan Parti Komunis Malaya sebab mereka membunuh ahli keluarga aku yang Melayu DAN yang Cina. Tetapi idea sosialis itu ada benarnya dalam melaksanakan polisi yang mampu mengimbangkan ketidakadilan agihan kekayaan yang kita hadapi hari ini.

Filem ini menunjukkan bahawa semua orang terlepas pandang secara sengaja/jahat, isu sebenar yang menghasilkan kejadian-kejadian ganas  - perbezaan kelas dan ketidakadilan pengagihan kekayaan dan layanan tidak mencukupi kepada mereka yang menghidap penyakit mental.

Arthur Fleck dan pesakit mental lain digambarkan sebagai tidak mendapat perhatian dan rawatan secukupnya, dan dalam masyarakat pemuja duit yang kejam, dia didera secara mental, fizikal dan emosi.

Arthur dihukum dan dibelasah, kehilangan semua saki-baki dirinya daripada pekerjaan, maruah, dan identiti sehinggalah dia lahir semula sebagai seorang pembunuh dingin pada akhir cerita. Dia mendapat tepukan, tempat dalam masyarakat sebagai lambang perjuangan, penerimaan dan kasih sayang yang dia benar-benar inginkan, sebagai Joker.

Pengulas filem yang lebih bagus dan lebih banyak menonton filem akan menuding jari pada persamaan filem ini dengan Taxi Driver, lakonan Robert De Niro yang juga mendokong watak seorang pengacara rancangan bual bicara lewat malam dalam Joker. Namun, Joker bukan Taxi Driver. Mungkin ada akan berkata ia lebih bagus sebab latarnya lebih terpengaruh dengan politik zaman sekarang (walaupun dikatakan tidak bersifat politik langsung) atau mungkin lebih realistik, tidak sampai tahap Taxi Driver. Aku fikir, mungkin tidak sehebat Taxi Driver, yang aku tidak pernah tonton.

Sebab penonton semakin dangkal, mungkin, beberapa pendedahan plot dilakukan seperti menukulnya di atas kepala. "Oh, watak itu BEGITU RUPANYA!" "Dia SEBENARNYA BEGITU!" Tetapi lakonan Phoenix, De Niro dan Frances Conroy yang hebat-hebat mengampunkan kekurangan ini.

Aku juga perasan, pada awal tayangan Joker, yang filem ini mendapat tentangan golongan 'woke' atau liberal di media sosial. Mereka katakan filem ini ganas atau akan memberi inspirasi kepada keganasan. Mereka inzal melemparkan istilah incel merata-rata. Inzal dengan incel - roll credits!

Seperti biasa, golongan ini buta kepada faktor yang lebih besar, yang memberi inspirasi kepada keganasan - kemiskinan dan penyembahan orang kaya. Mereka senang dengan menulis tweet sambil minum kopi mahal atau teh susu bergula tinggi dengan biji-biji kanji yang kelihatan mirip tahi kambing.

Aku setuju dengan Dr M. Seni tidak penting. Janganlah ambil serius sangat apa-apa karya seni. Jadi janganlah dicensor atau diharamkan karya-karya seni. Janganlah disekat kesenian Z Lokman yang aku dengar dua filemnya tidak dapat dilepaskan atas pelbagai alasan, antaranya ialah campurtangan pihak berwajib.

Apa pun, jangan dengar desas-desus golongan liberal sesat yang takutkan filem ini. Mereka itu fikir filem boleh membasuh minda orang, tanpa sedar yang realiti hidup yang sebenar mampu menjadikan sesiapa sebagai pembunuh, hanya untuk rasa diri sendiri istimewa.

Seperti aku.

Sepanjang menonton filem ini, ada sebaris anak muda di depan aku yang asyik bercakap dengan kuat, cuba meneka plot cerita dan berkelakuan seperti beruk.

Setelah gagal beberapa kali untuk menyuruh mereka diam, aku mula merancang untuk memusnahkan dunia dan kewujudan mereka tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi dan kesakitan mental yang mereka alami - kebodohan tahap anak anjing.

Namun, aku keluar daripada pawagam tanpa menghancurkan hak-hak istimewa mereka, dan dengan perasaan kosong, pergi makan malam di kiosk makanan sayur-sayuran.