Monday, September 16, 2019

Ulasan Filem: Suatu Ketika

Namron and Pekin Ibrahim in Suatu Ketika (2019)

Suatu Ketika ialah satu filem yang amat positif sebab hampir tiada konflik. Ini disebabkan semua penyelesaian kepada semua masalah dihidangkan serta-merta selepas masalah dinyatakan.

"Ah, saya tidak dibenarkan berlatih bola sebab bapak saya marah. Oh! Lihat itu tiga orang dewasa lain cuba memujuk bapak saya. Yay!"

"Saya menghadapi masalah di rumah, jadi saya membuli rakan sepasukan saya. Apa? Orang yang saya buli menolong saya? Kami akan jadi rakan karib!"

Atau payoff dihidangkan sekali dengan setup. Dan kadangkala, rasanya seperti ada payoff sahaja tanpa setup.

Agak sayang, sebab Suatu Ketika ada beberapa idea yang bagus. Antaranya ialah adik perempuan ahli sukan yang tidak menjengkelkan dan amat jelas pendiriannya (tidak seperti Ola Bola), dan ayah Syukri (Din Tamam) yang melakonkan wataknya dengan dialog yang amat sedikit.

Din Tamam terpaksa menyampaikan emosi ringkas dan rumit dalam banyak babak dengan hanya pandangan mata dan memek muka. Dalam erti kata lain, pelakon ini terpaksa berlakon.

Oh, dan lokasi penggambaran amat cantik.

Selain itu, saya agak kecewa dengan filem ini. Sebagai filem semangat sukan, saya tak rasa semangatnya dan babak aksi sukannya tidak menyerlah.

Kekurangan bab aksi sukan, saya sudah sedia untuk maafkan sebagai sedekah kepada filem Malaysia sempena bulan kemerdekaan ini (filem tempatan, so takleh harap tinggi sangat standardnya. Watch Malaysian Films - WMF), tetapi semasa membawang di kedai kopi selepas menonton filem ini, saya terdengar khabar yang filem ini dibuat dengan dana Finas yang besar. Jadi, saya tarik balik kemaafan tadi.

Pasal semangat, jurulatih semasa perlawanan akhir memberitahu anak buahnya, "Kita cuba...buat yang terbaik."

Apa? Penipu dalam talian yang jual ubat kurus pun lebih bertenaga. Peguam kontrol supaya tak pecah lobang pun lebih bersemangat.

Cuba dengar ucapan pembakar semangat mutlak ini:

"Kita berlari! Kalau tak, kita berjalan. Tak boleh berjalan, kita merangkak. Tak boleh merangkak, kita mengingsut."

No, seriously, ini ialah ucapan pembakar semangat paling hebat dalam filem ini. SPOILERS!

Saya fikir, ini mungkin reference kepada sajak Jentayu oleh Usman Awang yang dijadikan lirik lagu Nora + Sheila Majid oleh Johan Nawawi(?) saya dah lupa.

Ini sebahagian daripadanya:

Jentayu
Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu
Patah paruh bertongkat siku
Jentayu
Patah siku bertongkat dagu
Jentayu
Patah dagu bertongkat kuku



Tapi jauh beza la mesej, susunan kata dan penyampaiannya.

Saya malas nak meneliti busana dan penataan seni sebab dah ada member cakap pakaian salah. Uniform untuk sekolah bukan warna itu, dan uniform untuk sekolah Inggeris sahaja? Sekolah Melayu tak ada uniform? Whatever, saya percaya jelah kalau sesapa tipu sebab saya malas nak ambik tahu. Tapi basikalnya nampak bagus.

So Suatu Ketika ialah filem semangat kesukanan yang kurang bersemangat dan aksi sukannya tidak ditunjukkan dengan hebat.

Sayang, sebab lakonan Namron, Din Tamam dan kebanyakan pelakon kanak-kanak sebenarnya bagus.