Tadi aku sepatutnya pergi dua mesyuarat dengan pelanggan lain, jadi aku tidak dapat menghadiri majlis pelancaran Children Without. Tiba-tiba, dua mesyuarat itu dibatalkan maka aku bergegas ke Menara Axiata untuk menghadiri majlis itu.
Sebenarnya, aku ada buat kerja sikit untuk projek ini - aku buat video je dengan member aku. Tinjauan diorang ni aku tau sejak tahun lepas, masa diorang sibuk buat banyak gila kerja proses data daripada tinjauan dekat 1000 isi rumah flat kos rendah sekitar KL. Seramai 2,142 kanak-kanak miskin di temuramah. Projek ni bawah DM-Analytics dan Unicef.
Dalam dewan, air con rupanya tak berfungsi, jadi aku mula risau sebab aku tak pakai baju alas. Kemeja yang aku pakai, kalau panas sikit je dia senang menghabiskan deodorant aku. Aku risau ketiak aku masam nanti. Dahlah ada ramai awek cun. Tapi sekejap je, belum sempat aku risau terlebih, pembentangan bermula.
Pendedahan statistik awal Dr Muhammad Khalid menyebabkan satu dewan terkejut.
Kadar kebantutan di Malaysia (20.7% pada 2016) lebih teruk daripada Ghana, walaupun Malaysia lebih maju dan makmur. Kadar kebantutan masih tinggi walaupun di Putrajaya (24%), dan di Kelantan, tahap kebantutan ialah 34% - lebih teruk daripada Zimbabwe dan Swaziland, negara-negara yang lebih miskin daripada Malaysia.
Kadar kebantutan KL ialah paling rendah kat Malaysia, pada tahap 11%, tapi tahap kebantutan bebudak flat kos rendah ialah 22% - double!
Bantut ni masalah yang kalau dah kena masa kecik, dia akan ada kesan sampai tua. Development otak, kesihatan semua terkesan. Dia bukan pasal orang pendek vs orang tinggi, sebab itu genetik.
Itu cuma satu segi yang diukur. Tinjauan diorang kaji banyak lagi aspek macam access pada pendidikan (51% tak pergi pra-sekolah), keselesaan belajar (kebanyakan takde tempat khusus untuk belajar), kemampuan mak bapak (1 daripada 3 berpendapatan kurang RM2,000 dan 7% hidup di bawah garis kemiskinan - kalau kira paras kemiskinan ialah separuh pendapatan median isi rumah, angka ini melonjak jadi berbelas peratus). Simpanan takde, SOCSO, EPF, rendah. BR1M pun 34% tak dapat - ada masalah penyebaran maklumat kat sini.
Separuh cakap takde cukup duit nak beli makanan dan 97% cakap harga makanan tinggi untuk masak masakan berkhasiat bagi anak-anak dia makan. So macam quinoa tu memang diorang tak beli la. Mi segera, mungkin.
Kalau makan pun tak cukup, bebudak tu nak belajar cemana?
Namun (WACANA!), walaupun ada pelbagai rintangan, bebudak tu skor lagi bagus sikit kat periksa cam PMR daripada bebudak satu Malaysia. Tapi walaupun results diorang bagus sikit, ko rasa diorang nanti dapat tak biasiswa ke, apa ke? Kalau BR1M pun diorang tak tau cemana nak apply.
Apapun, aku suka bila ada orang pergi ambik tahu pasal keadaan orang miskin kat Malaysia ni. Aku berasal dari kawasan parlimen Paya Besar kat Kuantan, dan bila aku cerita pasal orang kampung aku, bebudak KL mesti melopong. Contohnya, kalau nak high dan takde duit nak beli cocaine, orang kampung ada yang cari taik ayam punai - taik ayam basah. Diorang tebuk tempurung kelapa pastu sedut bau taik ayam sampai high. Rupanya kat KL pun ramai hidup daif, dan dengan ketiadaan taik ayam punai, maka diorang pun susah nak high.
Anyway, jokes aside, aku rasa tinjauan macam ni penting sebab bangsa perasan kaya kat KL ni biasa buat survey dengan tengok berapa orang minum kat Starbucks.
"Ramainya orang Melayu kat Starbucks! Malaysia makmuuuur!" kata Syahirruddin. Ko pergi TTDI, memang la. Mont Kiara, Bangsar. Cuba ko pergi kat flat PPR.
Sebelum ni, kalau aku nak cakap pasal orang miskin, aku bukak cerita pasal mamat kampung hidu taik ayam dan jiran aku ketuk pintu rumah orang pepagi mintak nasi sejuk nak buat nasi goreng. Dah ada data camni, senanglah sikit nak gambarkan keadaan orang miskin. Dan ini cerita kat KL. Cuba pergi Sarawak, Kedah, Kelantan sana. Apa cerita agaknya?
Pastu ada sesi soal jawab. Ada beberapa orang yang cakap camni:
"Orang miskin ni, diorang happy tak?"
Aku berprasangka baik dengan mengganggap mamat ni tanya pasal duit dan harta tak menjamin kebahagiaan, maka indeks kegembiraan mungkin tak dikesankan dengan pendapatan atau sama ada anak diorang terbantut atau tidak.
Tapi secara jujurnya, kenyataan seperti ini senang saja kedengaran seperti kenyataan yang kejam dan cuba menidakkan penderitaan orang miskin. Ada ke orang miskin yang gembira dengan kemiskinan diorang? Anak terbantut, happy sebab boleh letak dalam beg - jimat tiket kapalterbang? Gitu?
Dr Muhammad cakap tinjauan tu takde la mengukur kebahagiaan, tetapi cerita yang dia ada ialah pasal satu ayah yang anak dia miskin, cakap betapa tertekannya dia.
Aku pun ada cerita. Masa aku lepas SPM (1997, zaman George Soros ranapkan masa depan aku), results SPM aku paling bagus kat kampung masa tu (8 aggregate. Setahun dua lagi ada budak lain dapat results lagi bagus), tapi bapak aku tak mampu nak hantar aku ke mana-mana. Even Universiti Telekom (later MMU) tempat memember aku pergi. Masa tu aku tengok muka dia terseksa bila dia bagitau aku dia takde duit dan taknak ambik risiko kalau aku tak dapat PTPTN. So from aku punya pengalaman sendiri, anekdotal je - jadi miskin ni tak best la. Tak happy. Kalau ko rasa miskin tu happy sangat, ko pergilah jadi miskin, aku suka je ko happy.
All things considered, aku okay je masuk UM. Kalau aku pergi US, mesti aku jadi douchebag pembenci Melayu.
Ada pulak yang cakap, "Apa kata suruh orang miskin ni tanam makanan sendiri?"
Aku juga berprasangka baik yang cadangan ini dibuat berdasarkan pemahaman yang menanam makanan sendiri ialah satu idea yang bagus dan pernah cuba dipopularkan dengan projek Buku Hijau dulu. Bapak aku pun tanam sendiri sayur, bela itik, ayam, puyuh, lembu, kat kampung dulu. Tapi itu kampung la. Flat kos rendah ni, berapa banyak space dia ada nak tanam sayur, bela kambing tu semua? Sekor kambing pun dah havoc.
Apa pun, semua cadangan ini boleh jadi satu komponen dalam pakej penyelesaian.
Bila aku tanya Dr Muhammad pasal solution untuk isu nasional, dia biasa cakap, "There's no magic bullet," sebab punca masalah itu sendiri ada banyak dimensi. Banyak faktor, dan setiap tempat dan setiap komuniti, lain masalahnya.
Namun, tinjauan Children Without ni ada mencadangkan bebrapa langkah tahap nasional yang aku fikir boleh dipertimbangkan.
Sebelum tu, ada dinyatakan inisiatif kerajaan setakat ini. Memang ada banyak, dan sesetengah memang sampai kepada sebahagian orang miskin. Tetapi bukan semua, termasuk 34% yang tak terima BR1M, dan bagi susu dua kotak kat sekolah, walaupun bagus, tapi mungkin belum cukup, sebab masih wujud masalah kebantutan, dan projek susu ialah masa kat sekolah sedangkan masalah kebantutan bermula semasa lahir sampai 1,000 hari terawal kehidupan seorang budak.
Salah satu ialah Universal Child Care Allowance. Bagi allowance kat bayi baru lahir sampai dua tahun pertama. Kos dia rendah, berbanding BR1M. Maybe dalam separuh or something.
Keduanya, bagi ibu-ibu yang melahirkan anak 6 bulan cuti supaya boleh menyusukan anak. Kemudian, cukai pada minuman bergula tinggi. Duit cukai ni boleh digunakan untuk fund inisiatif lain. Ada satu kumpulan cadangkan safe spaces - kawasan untuk bebudak miskin main dan buat kerja sekolah.
Last sekali, menggantikan cara kita kira orang miskin - pakai kiraan separuh pendapatan median isi rumah dan ambilkira berapa orang budak dalam rumah. Banyak lagi la benda yang data people ni cadangkan, tapi yang penting benda ni perlu pemantauan serius dan kerap untuk pastikan polisi awam berkesan.
Lepas habis pembentangan, aku duk luar dan makan bihun goreng sambil borak dengan awek-awek yang bercita-cita nak buat study cam ni gak. Aku rasa tak best sebab deodorant aku kat ketiak kanan mula habis dan aku taknak bagi orang bau ketiak aku, walaupun ada kajian yang menunjukkan wanita akan rasa best kalau cium bau ketiak lelaki.
Last-last, aku blah dan lepak kat kedai mamak sampailah kesesakan lalulintas reda dan akhirnya aku balik rumah dan mandi, sambil berus ketiak aku.
EDIT: Nak baca, silakan klik di sini.