Tuesday, February 20, 2018

Badang vs Black Panther

Semasa menonton filem Badang (2018) tadi, saya dibelai nostalgia kanak-kanak saya, sewaktu saya menonton TV dengan ayah saya. Ayah saya penggemar saluran National Geographic dan filem Badang mengingatkan saya kepada sekawan beruk yang menjerit, sebab begitulah kebanyakan lakonan dalam filem ini - beruk yang terjerit-jerit.

Saya kurang pasti apa motivasi yang diberikan pengarah kepada para pelakon.

"Okay, Prof, saya nak bawak watak macamana ni?"

"Ni aku tunjuk ko video National Geographic ni."

"Ha?"

"Ko nampak beruk ni?"

"Nampak, prof."

"Aku nak ko buat macam beruk tu, tapi lebih lagi."

Hasilnya ialah satu siri babak-babak dengan pelakon yang terkinja-kinja dan terjerit-jerit, seolah-olah mahu berlawan dengan muzik latar yang terlalu kuat dan terlalu memaksa emosi penonton. Selain lakonan, muzik latar filem ini amat bingit dan boleh membangkit amarah.


Salah satu adegan penting dalam filem Badang.

Malangnya, filem ini bukanlah filem tempatan paling teruk saya pernah tonton. Malah, ada beberapa aspek filem Badang yang saya fikir bagus atau wajar dikembangkan, walaupun sekurang-kurangnya hanya untuk mengganti babak-babak beruk menjerit.

Fauzi Nawawi membawa watak orang jahat satu dimensi dengan cemerlang, seperti Sofi Jikan sebagai Keting dalam Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam. Sebagai Abang Dai (?) daripada Geng Naga, dia memang berwibawa dalam lingkungan perwatakan satu dimensinya. Wataknya agak licik, cuma saya fikir dia tidak begitu bijak, memberitahu anak buahnya bahawa mereka bakal merompak emas bernilai RM100 juta. Sekiranya saya salah seorang pengikutnya, saya sudah pasti akan membelot dan mencuri sekurang-kurangnya emas bernilai RM10 juta.

Fasha Sandha dan mak Badang membawa watak mereka dengan kualiti yang biasa kita nantikan daripada mereka, sebagai pelakon berpengalaman.

Saya juga amat suka dengan lokasi penggambaran yang digunakan dan dirakam dengan baik. Malah, saya fikir sekiranya ada filem Tamil atau filem Hindi ingin membuat penggambaran di sini, beberapa lokasi luaran dalam filem Badang amat sesuai digunakan.

Berbalik kepada kelemahan filem Badang - selepas lakonan dan muzik latar, saya kira jalan ceritanya amat lemah.

Badang sebenarnya bernama Badrol Hisham, atau Badiuzzaman, saya sudah lupa. Dia sebenarnya bukan manusia, tetapi bayi yang dijumpai dalam buluh. Dia mendapat apa saja kuasa yang diingini setelah bersentuhan dengan buluh, selepas berumur 25 tahun.

Berlainan daripada kisah anak buluh betung, Badang tidak dijumpai dalam buluh betung, tetapi buluh lemang. Ini menjengkelkan saya, sebagai orang kampung. Bayi kalau diisi dalam buluh betung, tidak mustahil sebab buluh betung itu boleh tumbuh dengan besar.

Malah, buluh betung boleh dibuat pasu atau tiang rumah, sebab dia besar. Ini contohnya:






Kalau buluh lemang, bayi yang boleh diisi dalam itu hanyalah bayi sebesar penumbuk atau sebesar buah epal kecil. Dan apabila itulah saiz bayi yang digenggam oleh ibu Badang semasa menjumpainya, saya pun ketawa berdekah-dekah dan memikirkan kerja saya yang belum selesai di rumah.

Mungkin buluh lemang digunakan supaya senang untuk Badang membawa sepuntung buluh ke hulu ke hilir sebagai sumber kuasanya, sebelum kekasihnya, lakonan Fasha Sandha membuatkan satu baju untuknya. Baju itu saya teka (sebab tidak dijelaskan dalam filem) diperbuat daripada serat buluh.

Kalau begitu, ada banyak bahan kraftangan lain yang diperbuat daripada buluh yang boleh dibawa ke mana-mana. Dalam bilik saya sekarang ada penggaru belakang yang diukir daripada buluh. Saya sanggup pinjamkan kepada Badang supaya dia tidak perlu membawa sepuntung buluh lemang ke mana-mana, hanya untuk mengaktifkan kuasanya.

Jadi, Badang sering dibuli, hinggalah hari jadinya yang ke-25, apabila kuasanya diaktifkan dengan terpegang buluh.

Ibunya pula telah dibunuh oleh Geng Naga dengan kejam. Mereka cuba mengutip wang perlindungan dengan secara terbuka di gerai ibunya. Saya fikir ini langkah kurang bijak untuk Geng Naga, sebab perbuatan mereka senang dilihat dan senang dirakam, seolah-olah Malaysia ini tiada polis.

Apabila mak Badang marah dan mula mengamuk dengan parang, Geng Naga melanggarnya dengan sebuah kereta. Saya ketawa besar pada babak ini sebab boneka yang digunakan untuk kesan khas pelanggaran dilanggar dengan begitu teruk sekali! Sampai terlipat! Kalau itu benar manusia, saya berani bertaruh, dia bukan saja patah tulang belakang, tetapi juga semua tulang lain.

Semasa mak Badang di hospital, doktor yang merawatnya menyuruh Badang menyediakan wang RM31,000 untuk kos pembedahan. Saya fikir agak canggung sebab dia tidak ditanya pasal kos, dan biasanya doktor tidak akan mendesak wang daripada waris pesakit dengan cara sebegitu.

Sambil maknya sakit, Badang pergi bercinta dengan Fasha Sandha. Percintaan mereka memang tidak realistik, ya, tetapi saya fikir perbualan mereka pasal wang RM31,000 berikut ialah dialog terbaik sepanjang zaman. Di sini saya cuba tulis balik ikut memori saya yang tidak sempurna:

Badang: Mak saya perlu dibedah. Dia perlukan RM31,000. Saya tak ada duit banyak tu.

Fasha: Takpa, saya boleh uruskan.

Badang: Taknak. Saya taknak berhutang.

Fasha: Takpe, nanti kalau nak bayar balik, boleh bayar sikit-sikit.

Badang: Taknak, saya taknak berhutang!

Fasha: Ambiklah.

Badang: Okay.

Lebih kurang begitulah. Saya ketawa dengan agak kuat sebab ini mengingatkan saya kepada filem Kung Pow: Enter the Fist.

Fasha Sandha kemudian membawa satu beg wang tunai berisi RM31,000. Ahhh. Ada banyak butiran filem ini yang saya suka. Suka daripada segi ketawa berdekah-dekah. Saya rasa Badang amat menghiburkan.

Antara perkara lain yang saya ingat ialah bagaimana Badang duduk minum kopi bersama Fasha Sandha. Kalau saya orang jahat, atau makcik bawang, saya pasti boleh meneka identiti Badang sebagai kawan atau kekasih Fasha. Kesilapan sama dilakukan oleh Superman dalam Batman V Superman: Dawn of Justice. Jadi Badang setaraf filem itu.

Lagi satu, kawan baik Badang asyik terjerit-jerit pasal rahsia dan butiran plot.

Kawan Badang: Dia tidak boleh kena air!

Ya, air ialah kelemahan Badang. Kalau dia disimbah air, dia akan hilang semua kuasa, sampailah dia kering dan menyentuh kembali buluh.

Saya fikir, ini kelemahan yang kritikal, sebab 75% badan manusia ialah air.

Ada banyak lagi perkara yang menghiburkan saya dalam filem Badang, dan saya terpanggil untuk membuat ulasan sebab Dato' Sri Aliff Syukri membuat kenyataan yang filem Badang lebih bagus daripada filem Black Panther.

Walaupun filem Black Panther tidak sempurna, dan bagi saya tidak termasuk dalam 10 filem superhero terhebat, ia masih jauh lagi kemas pembikinan, lakonan dan jalan cerita daripada Badang.

Badang juga tidaklah seburuk sesetengah filem tempatan lain dan sebenarnya dibuat dengan ikhlas dan tekun. Badang boleh jadi hiburan yang menggembirakan. Saya cadangkan agar lebih ramai menontonnya sebab pembikinannya amat lucu.

Badang: 0.5/5 Bintang. Tambah 2 bintang kalau anda boleh tahan tengok filem yang kelakar secara tak sengaja.