Jika kita lihat, jika diikutkan ego, dan rasa Aku Ingin Dilihat Super, akhirnya hanya akan membuahkan pelbagai Ketua Saintis Dunia dan Makcik Konsert.
Keinginan untuk 'kelihatan' lebih daripada orang lain, dan juga keinginan untuk DILIHAT 'betul' akhirnya hanya akan membawa kita kepada kegilaan, kemusnahan atau kesedihan.
Kebanyakan 'kesakitan' yang diperkatakan oleh orang Melayu sebenarnya hanyalah khayalan.
Ada orang yang cuba meyakinkan aku yang kerja mereka jauh lebih sukar daripada kerja aku.
Aku tidak pernah membantah, kerana aku bersetuju. Kerja aku memang senang. Walaupun kadangkala tidak tidur, tapi kerja aku tidak melibatkan memikul guni simen seberat 50kg sebiji. Tidak melibatkan aku mencuci tandas awam.
Sesetengah orang, memang ketagihan kesakitan, atau DILIHAT dalam kesakitan. Maka aku biarkan sahaja. Pasal kesakitan, kalau dicari, memang akan jumpa.
Mereka juga berfikir, orang yang sakit lebih bagus daripada orang yang tidak sakit. Maka, tiada beban, batu pun digalas. Tak ada api, tapi asapnya tebal.
Aku biarkan saja. Pasal bukan hal aku.
Memang benar, aku sukakan kerja aku dan aku tak ingin menukarnya dengan kerja lain. Kerja aku menjadi senang apabila aku tidak menerimanya sebagai kerja, tetapi sebagai sesuatu yang aku ingin lakukan.
Adakah pandangan aku terhadap kehidupan betul, dan orang lain punya salah?
Aku lebih suka biarkan persoalan betul/salah itu dibincangkan orang lain. Pasal aku sibuk dengan kerja aku sendiri dan tiada masa untuk melayan kerenah mereka yang ketagihan drama.
Dalam erti kata lain, matilah ko.