Thursday, October 22, 2009

Siri Bercakap Dengan Setan: Ego Kolektif

Sampai satu masa, ego peribadi kita akan cuba mengembangkan dirinya agar merangkumi kawasan yang lebih besar atau orang yang lebih ramai.

Objektif ego? Untuk mencari atau mendefinisikan 'yang lain'. Mereka yang berlawanan dengan 'dirinya' agar kewujudan dirinya dapat menjadi lebih jelas.

Ego sangat pentingkan label.

Ini dipanggil ego kolektif, dan kita biasa melihatnya terjadi apabila satu kumpulan bercanggah dengan kumpulan satu lagi.

"Aku penyokong Man U!"

"Aku penyokong Liverpool!"

Gaduh.

"Aku penyokong UMNO!"

"Aku penyokong PIS!"

Gaduh.

"Aku penyokong NAZI!"

"Aku penyokong Yahudi!"

Bunuh.

Manusia telah bergaduh dan berbunuh-bunuhan semata-mata untuk ego. Demi kehendak ego agar menjadi sesuatu yang penting.

Semua perkara yang asalnya indah dipergunakan dan dijahanamkan sehingga menjadi sesuatu yang buruk.

Semangat nasionalisme, keagamaan, sukan, muzik, daerah, negeri, keluarga. Semuanya pernah digunakan demi memuaskan ketamakan ego kolektif.

Biasanya, demi membuat jenayah perang dan kejahatan ke atas manusia lain, ego kolektif mula-mula akan menghancurkan kemanusiaan mereka dan menggantikannya dengan karikatur.

Contoh:

Nazi tidak membunuh orang Yahudi. Mereka membunuh pencuri yang tamak.

George W Bush tidak membunuh orang di Iraq. Dia membunuh 'pengganas'.

Pol Pot tidak membunuh lelaki bercermin mata. Dia membunuh mereka yang mampu menjadi Superman sekiranya terjumpa pondok telefon.

Lihat bagaimana dengan menjadikan musuh kita sebagai 'bukan manusia' dan digantikan hanya dengan label, maka kita dengan senang boleh menganiaya mereka. Membinuh, merogol, merompak.

Apa lagi label yang kita sering gunakan dalam hidup kita sekarang?

Pengganas Islam.

Kafir.

Murtad.

UMNO.

PIS.

PKR.

Gay.

Kanye West.

Melayu.

Semuanya pernah digunakan untuk memecah belahkan manusia agar kita tidak dapat menerima yang antara satu sama lain, kita sebenarnya bersaudara dan berkongsi banyak perkara.