Malam tadi, saya pergi menonton filem Operasi X dengan jangkaan yang amat negatif. Jangkaan saya ternyata meleset dan saya amat terhibur dengan filem ini.
Memang filem ini agak teruk. Plotnya lemah, wataknya tak masuk akal, dan sarat dengan semua kesilapan filem Hollywood 10-20 tahun lepas. Namun, saya fikir pembikin filem ini pada satu ketika telah meninggalkan dan menanggalkan semua kepura-puraan, lantas menghayati pembikinan filem pada tahap keriangan.
Keriangan ini direalisasikan dengan self-awareness atau kesedaran kendiri apabila watak Belut yang didokong oleh pelakon/penyanyi Awie bertemu dengan Awie, penyanyi tersohor negara. Walaupun pada awalnya watak utama Redzuan (lakonan Aaron Aziz) ada diusik dengan dialog "patung Aaron Aziz" oleh satu watak lain, perubahan nada naratif tidak terlalu jelas kalau dibandingkan babak ini.
Bertitik tolak daripada babak itu, filem Operasi X seolah-olah membuang semua kepura-puraan dan menghayati apa yang saya kira sebagai peranannya yang sebenar - sebuah satira filem aksi Malaysia secara bawah sedar khususnya, dan sebuah satira kehidupan pada amnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sinema Malaysia mula dimeriahkan dengan filem-filem aksi seperti Polis Evo, J Revolusi (yang walaupun saya kira mempunya suntingan yang teruk tetapi menang sutingan terbaik di Festival Filem Malaysia), KL Special Force dan yang paling berjaya - Paskal yang setakat ini mengutip lebih 27 juta ringgit di pawagam sekaligus menjadi filem ketiga paling tinggi kutipan dalam sejarah Malaysia (setakat Nov 2018).
.
Bezanya ialah semua filem ini seolah-olah bercita-cita menjadi filem B-Grade yang biasa kita tonton di AXN, kecuali Operasi X. Operasi X hanya ingin menjadi dirinya sendiri, sebuah filem yang nampak seperti filem Tamil dengan lawak jenaka yang pada saya kekuatan utama filem, dan juga elemen homo-erotik yang agak kuat. Kita akan selami elemen homo-erotik itu nanti ya. Kita tengok benda lain dulu.
Operasi X mengisahkan Redzuan yang kematian rakan sekerjanya semasa membanteras Mat Bong lakonan Amerul Affendi yang semakin mengukir nama sebagai antagonis pilihan filem aksi Melayu. Mungkin Amerul asyik mendapat watak penjahat sebab rupanya sudah menjadi stereotaip sebagai seorang penyanggak. Saya kira ini kerugian kepada industri filem Malaysia, sebab bakat lakonan Amerul memang ada. Harap dia menerima watak jenis lain di kemudian hari .
Mat Bong juga mati dalam pertelingkahan ini, dan abangnya, Belut, ingin membalas dendam.
Redzuan pergi bercuti di sebuah pulau dan terjumpa Ayu (Hanna Aqeela). Babak percintaan mereka agak kaku dan menyeksakan, walaupun Ayu amat cantik. Tetapi itu pandangan saya sendiri yang melihat semua babak percintaan sebagai kaku dan menyeksakan. Abaikan pemerhatian saya yang tiada kapasiti untuk bercinta ini.
Kemudian, Redzuan dipanggil kembali bertugas oleh Yusof Haslam. Redzuan pun merekrut kumpulannya - satu skuad khas yang antaranya ada seorang penggodam yang amat hebat sebab menulis perisian menggodam yang memberitahu penonton, "Hacking in progress", seperti filem-filem Hollywood zaman 90an.
Kumpulan ini seperti The A-Team atau Mission:Impossible dan agak ceria. Saya fikir jika dijadikan siri TV, boleh menghiburkan juga. Seperti NCIS.
Watak Belut diperkenalkan di kubur Kristian yang agak bergaya (untuk Malaysia), semasa dia membunuh seorang penjahat lain. ANtara krewnya ialah Lady Lion (Shima Aris) dan Bashah (Nasir Bilal Khan).
Belut ialah watak paling menarik dalam filem ini. Malah, saya lebih sukakan babaknya daripada Redzuan yang agak kaku sebagai seorang polis. Awie telah mengambil peluang ini untuk berseronok dengan watak ini, maka mutu lawak jenakanya sama dengan wataknya dalam siri filem Hantu Kak Limah.
Berbeza dengan watak jahat yang terjerit-jerit, Belut jarang terpekik, kecuali dalam beberapa babak yang hebat, seperti menjerkah seorang anak kecil yang menangis di atas Feri Pulau Pinang. Lawak dan comic timing Belut amat menjadi. Saya rasa ini antara persembahan Awie yang terbaik pernah saya tonton.
Dia juga seorang yang penyayang, sebab dia buat hampir semua kejahatan dalam filem ini, demi membalas dendam atas kematian adiknya.
Hubungan Belut dan adiknya juga bagi saya, ada elemen homo-erotik. Semasa dia menaikkan pangkat adiknya Mat Bong, babak itu ada meja seperti majlis makan. Mereka berdua berdiri, dan Belut menyarungkan cincin ke jari Mat Bong. Kemudian, mereka mengucup satu sama lain. Belut mengucup Mat Bong di pipi dan Mat Bong menggosok bibirnya ke dahi Belut.
Selepas mengetahui identiti Redzuan yang dikatakan membunuh adiknya, Belut juga ada berkata, "Aku nak belai dia, aku nak cium dia. AKU NAK BUNUH DIA!"
Namun, semua ura-ura kemerdekaan seksualiti mereka dinafikan apabila dalam satu babak, Belut mengherdik Redzuan di telefon, "KAU INGAT AKU GAY KE?"
Hubungan Redzuan dan rakan sekerjanya, Inspektor Amman yang terbunuh juga menimbulkan tanda tanya kepada saya. Di atas meja hiasan rumah balunya, hanya ada gambar Redzuan dan Amman, Amman dan isterinya, dan gambar mereka bertiga. Dalam hidup Amman, hanya ada Redzuan dan kemudian isterinya. Hmmm...
Sebelum Amman berkahwin, dialog antara mereka juga agak 'suggestive'. Tetapi ini mungkin hanya menonjolkan keakraban mereka dan meningkatkan nilai komedi, mungkin?
Saya terpanggil untuk membandingkan elemen yang nampak seolah-olah homoseksual ini dengan penulisan Bharati Mukherjee - seorang sasterawan yang berkarya sealiran dengan VS Naipul. Dalam satu pencirian watak, Puan Mukherjee telah mengatakan bahawa lelaki India yang dicintai salah seorang wataknya sebagai amat "macho atau kelelakian, hingga nampak seolah-olah kewanitaan".
Jika kita ambil teori bahawa tahap kelelakian kalau terlampau tinggi akan nampak seolah-olah feminin, maka itu dapat menjelaskan sesetengah penampilan watak dalam Operasi X. Sebab Awie dan Aaron Aziz semestinya lambang kelelakian sejati dalam era mereka.
Busana yang digunakan, saya fikir mungkin koleksi peribadi Awie dan Aaron Aziz. Sebagai contoh, watak Redzuan, sebagai seorang polis, boleh memakai tali pinggang Prada dan tidak disiasat SPRM. Mungkin itu jenama tiruan?
Belut juga memakai seluar/tali pinggang/suspender Harley Davidson dan tidak nampak sangat ucapan terima kasih kepada penaja jenama itu dalam senarai penghargaan di hujung filem. Mungkin saya keluar tergesa-gesa sangat sebab saya amat teruja dan mahu membincangkan filem ini bersama rakan yang pergi menonton.
Ya, Operasi X banyak kelemahannya. Plot yang lemah, babak akhir yang anti-climactic tapi wajib ada, sesetengah watak yang tidak masuk akal, walaupun ini kekuatan sesetengahnya, sesetengah dialog yang membuatkan saya rasa mahu lari ke tandas, prop seperti metal detector nampak seperti dipasang daripada Ikea dan lain-lain lagi...
Walaubagaimanapun, saya tidak dapat membenci filem ini sebab Operasi X menghiburkan saya dan bukan melalui Schadenfreude atau saya mentertawakan mereka.
Saya ikhlas terhibur sebab saya dapat bayangkan krew dan pelakon filem ini bergembira sambil membuat filem di Pulau Pinang. Saya bayangkan pada satu tahap, mereka semua menerima realiti mereka, bahawa mereka sedang memfilemkan satu cerita pasal seorang penjahat bernama Belut yang sayangkan adiknya, Mat Bong, sambil makan bersama watak bernama Wak Doyok (Zaidi Omar) di restoran yang cantik di Pulau Pinang.
Saya suka bayangkan bahawa semua yang terlibat menghayati kemerepekan situasi dan hidup mereka, dan mereka tidak menyumpah nasib mereka, tetapi meraikannya dengan filem ini. Saya fikir ini pembikinan filem tahap tinggi yang jauh lagi mendalam daripada filem-filem yang 'acah deep' atau filem-filem yang 'visually stunning' tapi kosong.
Sebab bagi saya, tujuan menghasilkan karya seni kepada seorang seniman, pada asasnya, ialah untuk menghayati kebenaran. Dan kebenarannya, dunia dan kehidupan kita, malah kewujudan manusia sebenarnya merepek. Dan itu sesuatu yang wajib diraikan.
Setelah berbincang dengan rakan-rakan, prospek filem Operasi X untuk mengutip jualan tiket yang tinggi memang tipis. Namun saya harap mereka berjaya, dan saya harap lebih ramai yang menonton, sebab filem ini mungkin mengejutkan anda, atau mungkin tidak.
Operasi X: 2.5 bintang/5 bintang