Friday, November 16, 2018

Ulasan Filem: Mahaguru


Saya kira, pengarah Z Lokman tidak mampu membuat filem yang tidak menggembirakan penonton. Semasa saya kecil, saya menonton filem Bujang Selamat arahannya dengan lakonan Faizal Hussein dan saya amat gembira menyaksikannya.

Begitu juga dengan filem ini - Mahaguru. Dari mula filem sampai ke penghujung, panggung dipenuhi dengan deraian tawa keriangan kesemua enam atau tujuh orang yang menyaksikan filem ini.

Mahaguru mengisahkan seorang guru silat bernama Tok Janggut (lakonan Mokhtaruddin) yang memiliki dan mengurus sebuah rumah perlindungan Islam, gelanggang silat, dan pusat pemulihan akhlak untuk bekas penagih dadah. Dia juga memiliki tanah di sekitar tempat itu, dan ini menarik minat seorang datuk yang syak tanah itu mengandungi emas.

 Pertelingkahan antara Tok Janggut dan watak datuk itu telah menjerat anak buah Tok Janggut sama. Anak buah Tok Janggut terdiri daripada Pendekar Hadi, Dali, Yam, ibu kepada Yam dan kemudian, seorang muallaf yang berketurunan 'orang bukit'(orang Bukitan?) .

Semua watak ini tidak logik dan ceritanya agak merepek, tetapi tiada satu saat pun yang tidak menghiburkan!

Bagi saya, babak terbaik ialah apabila watak Yam, sebagai seorang guru agama, berdialog dengan watak muallaf. 

Yam: Sekolah ialah tempat yang penting.

Di belakang Yam, ada satu bangunan dan pada bangunan itu ada satu pintu. Pada pintu itu, tertera "Chalet 4" dengan jelas. Ini mencadangkan bahawa tempat mereka bercakap bukanlah sekolah, tetapi chalet. Saya sudah lama tidak ke sekolah, tetapi saya yakin kebanyakan sekolah di Malaysia tiada chalet.

Ada seorang watak, prospektor emas Siam, Udin Montei (TS Jeffrey) yang hampir setiap kali muncul akan ada lagu latarnya sendiri dimainkan - sebuah melodi etnik Cina. Udin Montei cuba mengesan kehadiran emas di tanah milik Tok Janggut secara curi-curi. Kaedahnya? Menusuk tanah dengan buluh.

Setelah membuat carian dan kajian sekilas pandang menerusi Google, saya tidak fikir ini kaedah normal untuk mencari emas. Mungkin saya salah, tetapi kaedah ini nyata menimbulkan kemarahan Pendekar Hadi dan Dali yang dua kali menghalau prospektor Siam dan konco-konconya.

Setelah dihalau kali kedua, Udin Montei tidak muncul lagi dalam cerita. Mungkin dia insaf yang kaedahnya mencari emas sudah salah. Apa pun, saya kecewa sebab saya menyangkakan watak orang Siam dalam filem silat akan menunjukkan sekurang-kurangnya buah tomoi barang sejurus dua.

Bercakap tentang jurus, Mahaguru dipenuhi dengan pelbagai jurus silat. Antaranya, Lang Buana Menyusur Angin dan Harimau Menyusu Muda. Namun, walaupun diberi nama kreatif, seperti komik terjemahan Hong Kong, visual jurus ini amat mengecewakan. 

Lang Buana Menyusur Angin dipamerkan dengan bahagian bawah badan Tok Janggut tidak kelihatan, dan kamera yang dipacak satu sudut sahaja.

Jurus Harimau Menyusu Muda pula ditertawakan Pendekar Hadi sendiri dalam filem ini. 

Pemergian Udin Montei juga saya kira telah menghabiskan peruntukan muzik filem ini dan menyebabkan pembikinnya menggunakan runut bunyi siri filem Harry Potter, siri animasi Naruto (?) dan beberapa sumber lain.

Kedaifan produksi juga terserlah apabila Tok Janggut mengeluarkan senjata ulungnya - sebilah keris pusaka besi khursani berwarna emas. Malangnya, keris ini hanya sepanjang kira-kira tiga inci.

Namun, keris itu masih keris pusaka dan mungkin keturunan Tok Janggut, iaitu keturunan Pendekar Malim, bersikap tidak membazir dan oleh sebab keris itu terlalu bisa, maka saiznya tidak perlu besar.

Selain keris, tanah pusaka Tok Janggut juga mendapat perhatian. Ada satu pertarungan hebat telah berlangsung di atas tanah itu pada masa lampau, tetapi kurang jelas bila ia berlaku sebab dalam babak 'flashback', keturunan Tok Janggut memakai t-shirt yang ada tulisan dengan teknik percetakan ke atas kain yang moden.

Kisah pertarungan itu menjadi subjek penulisan seorang penulis yang memberitahu semua orang yang dia penulis, yang menulis. Filem ini juga tidak menghampakan apabila menunjukkan apa yang ditulis oleh penulis ini - lima perenggan atas perisian Word, siap dengan kesalahan ejaan.

Watak penulis ini menyaksikan Mahaguru menyentuh isu semasa - integriti kewartawanan dan isu fake news atau berita palsu. Watak penulis di sini senang saja dibeli dengan wang dan perempuan, memberi amaran kepada semua petugas media di luar sana supaya tidak senang dipengaruh. Walaupun nasib atau pembalasan watak penulis tidak ditunjukkan, saya yakin dia kecewa dengan dirinya sendiri setelah menjadi anjing duitan.

Filem ini mengetengahkan tema Islamik yang mendalam. Hampir semua watak asyik menyatakan hubungan mereka dengan agama sepanjang filem. Semasa seorang muallaf sedang makan di gerai, Dali bertanya, "Dari mana?" "Dari situ. Situlah tempat saya mendalami Islam."

Kemudian, semasa di pondok bas, muallaf yang sama menyapa emak kepada Yam dengan pertanyaan ini, "Makcik, bolehkan perempuan yang datang haid membaca Al Quran?"

Tok Janggut juga jelas dikasihi Tuhan, mungkin sebab kewarakannya. Semasa konco-konco datuk membakar bangsalnya, dia terduduk lantas berdoa, "Ya Allah, tunjukkanlah siapa yang membakar bangsal aku Ya Allah!" Terus kelihatan tiga orang pembakar sedang mengutuk Tok Janggut sebelum ditunjukkan yang Tok Janggut sebenarnya berada di belakang mereka dan akhirnya tiga orang itu menerima asakan jurus Lang Buana Menyusur Angin.

Filem Mahaguru juga sebuah filem yang progresif, selari dengan peredaran masa. Saya tidak pasti pelakon mana yang mendokong watak wanita penggoda, tetapi saya amat senang melihat watak sebegitu diberi kepada seorang wanita bertudung yang 'body positive'. Watak inilah yang menggoda penulis dan cuba menggoda Pendekar Hadi. Mujurlah Tok Janggut sempat menelefon Pendekar Hadi supaya "menghalau perempuan seksi itu!". Walau bagaimanapun, saya kurang bersetuju dengan herdikan ini, sebab saya kira pakaian wanita itu sudah cukup bersopan dan kita patut menggalakkan pemerkasaan kendiri wanita dengan tidak menghalang mereka berhias secara tidak keterlaluan.

Saya juga ada beberapa kekecewaan pada filem Mahaguru. Antaranya, babak peluru CGI yang ada dalam trailer, telah dipotong dan saya fikir ini bukan kerja LPF. Ada antara kami enam atau tujuh orang, datang untuk menyaksikan dengan mata kepala kami sendiri, peluru tersebut dengan haluannya diwarnakan hijau.

Semasa babak tembak-menembak di bandar ini juga, orang sekeliling tidak menunjukkan reaksi langsung dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya fikir, sekiranya ada bunyi tembakan, orang keliling akan bereaksi. Satu-satunya penjelasan yang saya dapat fikirkan dalam dunia Mahaguru ialah peluru itu ditembak bukan dengan belerang, tetapi kuasa silat.

Ada beberapa watak lain seperti seorang ketua gangster yang menjerit pada bait-bait dialog secara rawak, dan sekumpulan remaja bekas penagih yang tidak dikembangkan langsung. Kisah cinta Pendekar Hadi dan Yam juga tiada resolusi, mahupun perkembangan, manakala percintaan Dali dan wanita muallaf terlalu cepat. 

Satu lagi ialah, apabila Tok Janggut ditembak pada penghujung cerita. Dia hanya berkata - dan BUKAN menjerit - "Aduh." Saya fikir reaksi yang lebih dramatik lebih sesuai, untuk menipu penonton bahawa watak ini bakal mati.

Apa pun, Mahaguru tidak mengecewakan. Walaupun lakonan teruk, watak tak logik yang kadang-kadang hilang tanpa berita (termasuk watak Tok Janggut sendiri yang tenggelam semasa tengah cerita), plot merepek, nilai produksi yang amat rendah, saya fikir filem ini antara filem paling menghiburkan yang saya tonton di pawagam sepanjang tahun ini.

Mahaguru: 1/5 Bintang, Tambah 4 bintang kalau anda boleh menghargai atau menghayati filem Z Lokman.

P/s: Tak sabar nak tengok Awang Gerudi bulan depan