Baru-baru ini, seorang rakan datang kepada aku dan berkata, "Aku nampak kau lebih ceria dari dulu. Apa yang kau buat?"
Aku pun bercerita pasal eksplorasi mencari kebahagian dan keamanan.
Dia terus menceritakan pasal bagaimana seorang telah memotong barisan menunggu teksi. Dia mahu tahu apa yang dia boleh buat untuk menangani beruk dalam kehidupan seharian.
"Aku tak mampu nak bagitau kau apa yang kau boleh buat, sebab aku hanya melihat ke dalam untuk menentukan bagaimana aku boleh mencapai keamanan," kata aku.
"Tapi, orang yang menolak aku, dia dah buat benda yang salah, dan dalam dunia ni, ada benda salah dan ada benda betul."
Dia mengeluarkan kata-kata itu dengan penuh kesakitan dan kemurungan. Persoalan 'betul dan salah' ialah antara asas mencipta 'pihak' 'aku vs dia', 'kami vs mereka'.
Akhirnya, ia akan menjurus ke 'cerita yang kita kisahkan pada diri sendiri'. Dalam cerita ini, biasanya kita akan memegang watak hero atau orang yang dimangsakan. Pemikiran dan identiti mangsa ialah tempat persembunyian dan kota ego yang paling kukuh.
Tindakan yang boleh diambil bergantung pada pelbagai faktor, jadi tiada jawapan yang mutlak untuk apa tindakan boleh diambil oleh sesiapa atau seseorang pun dalam satu-satu situasi. Contohnya, adakah orang yang memotong itu memegang pistol? Adakah dia perempuan mengandung yang hampir melahirkan anak dan perlu ke hospital secepat mungkin? Sekiranya kawan aku memarahi si pemotong barisan, adakah dia akan dapat mencapai tujuannya? Apakah tujuannya? Adakah tujuannya untuk memulihkan sistem barisan? Atau untuk berasa 'lebih bagus' sebab yang memotongnya menunjukkan sikap beruk yang biadap (beruk yang sopan tidak akan memotong barisan)?
Banyak faktor dan pembolehubah untuk membimbing tindakan, tetapi hanya ada satu jawapan untuk reaksi dalaman, iaitu tiada reaksi. Lemah sangat semangat kita dan rapuh sungguh keinginan kita untuk keamanan kalau tindakan sebegitu mampu menggegarkan kita daripada keadaan tenang menjadi marah dan sengsara.
Dan bila seorang manusia memotong barisan, maka apa yang terjadi hanyalah seorang manusia telah memotong barisan. Ini baik atau buruk? Betul atau salah? Manusia atau beruk? Nilai baik dan buruk, betul atau salah, malah label manusia atau beruk ini hanya ditetapkan oleh kita, dengan persepsi dan pandangan kita sendiri.
Jika hendak mengambil tindakan menghalang pemotongan barisan itu, kita tidak perlu membuat keputusan dan penghakiman sama ada tindakan itu baik atau buruk, betul atau salah. Kita boleh saja, dalam situasi itu, pergi ke orang yang memotong barisan dan menyatakan bahawa kita tak bersetuju dengan pemotongannya.
Apa yang terjadi seterusnya akan melalui proses sama.
Dalam setiap fasa proses ini, tiada satu pun keperluan untuk emosi atau penghakiman. Apa pandangan dan pendapat kita tentang sesuatu yang terjadi tidak diperlukan untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan. Tetapi nampak penting, ya? Penting untuk siapa? Ego. Penting untuk ego.
Aku cuba menjelaskan semua ini, tetapi rakan aku sudah marah. Dia berasakan aku sudah menghakiminya. Secara telus, ya. Satu-satunya pandangan yang boleh mengesan ego ialah melalui ego sendiri. Aku telah nampak egonya melalui ego aku sendiri, dan satu-satunya cara aku memproses ini ialah dengan tidak melakukan apa-apa reaksi dan memerhatikan ego aku melihat egonya, dengan sedar bahawa tiada satu pun elemen-elemen ini ialah diri manusia yang sebenar.
Diri manusia yang sebenar ialah kesedaran.
Kesedaran pasal semua ini. Kesedaran pasal detik sekarang.
Dalam kesedaran, tidak ada kesengsaraan, kesangsian atau keinginan. Inilah matlamat manusia yang sebenar.