Beberapa minggu yang lepas, aku berasa amat tertekan, dan hampir terjerumus kembali ke pola kelakuan yang berkait dengan tekanan.
Ada tekanan kerja yang sentiasa wujud, dan pada masa yang sama, struktur sokongan aku ranap dan tak boleh diharap. Aku rasa seperti keluarga aku memangsakan aku, aku rasa rakan-rakan hanya menggunakan aku bila mereka perlukan bantuan dan tidak langsung berterima kasih malah menyalahkan aku bila aku membantu mereka. Juga terdapat penjilat-penjilat jubur taik yang menjengkelkan dan beruk-beruk yang masih belum berevolusi, menyalak sekeliling aku.
Aku rasa seperti diburu. Aku rasa kacau. Aku bimbang keadaan bapak dan mak aku yang bermasalah. Aku risaukan masa depan orang lain dan diri sendiri.
Jadi, sebelum aku terjerumus ke dalam lubang gelap tekanan dan perasaan negatif, aku pergi ke luar KL selama beberapa hari untuk mengatur kembali tenaga dalaman.
Beberapa tahun yang lepas, aku telah terjumpa buku A New Earth oleh Eckhart Tolle. Buku ini lebih bagus daripada semua jenis kursus latihan yang aku pernah sertai. Sejak 2003, aku pernah membelanjakan sejumlah wang ringgit untuk menghadiri kursus-kursus pembinaan kendiri, intelek dan benda-benda lain. Hasil yang aku dapat daripada buku berharga RM40++ ini jauh lebih berkesan, sebenarnya.
Aku menilai kembali kehidupan aku sejak aku membaca buku itu. Walaupun aku sudah sedar dengan kehadiran ego dan sumber kesengsaraan, aku secara perlahan terjerumus kembali ke pola kelakuan lama. Corak perangai dan pemikiran yang menyebabkan aku sengsara.
Aku sentiasa menggunakan otak untuk berfikir dengan kerap dan mendalam - ini boleh membawa ke arah kesedihan. Bukan hendak dikata yang mereka yang tidak berfikir (beruk) lebih bahagia, tetapi ada hadnya untuk berfikir pasal sesuatu, dan yang selebihnya hanyalah pemikiran untuk memuaskan ego. Pemikiran jenis ini tidak berguna langsung sebab tidak menyelesaikan masalah. Berfikir sebab seronok berfikir dan rasa pandai bila berfikir.
Ada beza antara pemikiran yang membuahkan hasil dan pemikiran yang hanya menjadi penguat ego dan identiti. Berfikir supaya boleh kata, "Aku seorang pemikir. Aku pandai. Aku lebih bagus daripada kau."
Ego dalam diri kita sentiasa mahukan sesuatu untuk membuktikan kewujudannya, dan benda paling bagus untuk menguatkan identiti yang akhirnya akan memberi definisi kepada ego ialah perasaan negatif. Self-flagellation.
Aku pernah melalui keadaan ini bila aku terkena insomnia selama tiga tahun sebelum filem-filem aku keluar di pawagam.
Descartes pernah berkata, "I think, therefore I am". Sartre pula membaca ayat itu dan menambah bahawa "the I who thinks is not the I who is". Ada beza antara fikiran kita dan pemikir - kita sendiri. Malangnya, untuk ramai orang, cebisan fikiran yang rawak ini dijadikan identiti dan kita tertipu yang inilah diri kita yang sebenar. Ini hanyalah ego.
Diri kita yang sebenar ialah semangat di bawah semua ini. Kita bukanlah buah fikiran kita, tetapi pokok atau akar, malah mungkin tanah yang melahirkan pokok yang membuahkan sesuatu.
Sebaik saja aku mengasingkan fikiran dan pemikir, aku dapat tangkap sejenis ruang antaranya yang membuatkan aku rasa tenang. Ruang antara fikiran dan pemikir.
Bahayanya, pada tahap ini, ialah jika aku menjadikan pemikir itu sebagai identiti aku, seterusnya mengalihkan ego supaya menempel pada imej pemikir itu pula.
Pemikir itu bukan imej. Bukan identiti, dan tidak terhad. Manusia secara nalurinya mahu mengukuhkan dan memautkan identiti (ego) pada sesuatu yang boleh diukur atau dihuraikan ciri-cirinya.
Aku Amir, 5 kaki 9 inci, penulis sambilan, perunding sambilan, suka makanan Siam, suka berfikir, suka menyakat peminat bolasepak yang terlalu serius sampai nampak macam beruk, kacak, konek kuat, jubur harum - semua ini ialah label. Label hanya berfungsi untuk mengehadkan atau membataskan diri kita yang sebenar.
Dalam animasi Jepun, Neon Genesis Evangelion (siri asal), episod terakhir, ada dinyatakan bahawa pada asalnya, manusia tiada definisi dan berada dalam keadaan terawang-awangan. Kemudian identiti mula memberikan laluan dan hala tuju, dimensi untuk bergerak dan tidak berasa terapung lagi. Bagi aku, inilah titik tolak bila manusia mula memilih antara keamanan dan kesengsaraan.
Aku gunakan contoh Evangelion sebab pembuatnya, Hideaki Anno, menggunakan medium animasi dan cerita ini untuk menerokai tekanan perasaan yang dialaminya pada masa itu, dan menghuraikan falsafah dan teori teologi yang dicedok daripada agama-agama Judeo-Christian bersama Zen Buddhism.
Jika membataskan semangat atau roh ialah punca kesengsaraan, apakah rahsia kebahagiaan?
Pharrell Williams dalam lagunya Happy, telah menulis lirik (sebahagian daripada liriknya sahaja) yang bagi aku amat dalam maksudnya.
"Clap along if you feel like a room without a roof."
Pharrell menyatakan salah satu definisi kebahagiaan sebagai perasaan seperti 'sebuah bilik yang tiada bumbung'.
Bilik yang tiada bumbung, kalau kita tengok daripada segi semangat, bermakna perasaan diri yang sebenar tanpa salah satu batasan yang biasa kita bayangkan, dalam kes ini, bumbung.
Cuba ingat bila rasa gembira atau bahagia. Bagaimanakah perasaan itu? Bagi aku, rasanya seperti sesuatu ruang halimunan dalam dada aku yang mengembang secara mendatar. Apa dalam ruang itu? Tiada apa-apa. Hanya ruang.
Bukan kosong. Tetapi ada ruang.
Ahli fizik menyatakan bahawa kebanyakan daripada alam semesta ialah ruang, bukan jirim. Di luar bumi ada ruang. Dalam atom, antara elektron dan nukleusnya, di dalam nukleus sendiri, ada lebih banyak ruang daripada benda. Daripada jirim.
Mengapa kita rasa gembira atau tenang bila semangat kita hanya mengesan ruang?
Jika alam semesta kebanyakannya ialah ruang dan bukan benda, bila hati atau semangat kita dipenuhi ruang, itu bermakna kita telah bersatu dengan alam semesta.
Konsep ini amat popular dalam banyak agama, termasuk Buddhism, Hinduism, Christianity dan juga Islam.
Membuka hati dan menerima kejadian serta kehendak Tuhan dipanggil redha, dalam Islam. Islam sendiri bermaksud 'surrender'.
Surrender kat sapa? Kat Israel ke? Kat bini ke? Tak, maksudnya surrender to the will of God. Apakah the will of God? Apa yang Tuhan nak buat? The present moment. Ketika ini, apa saja yang terjadi pada detik ini, ialah kehendak Tuhan. Jadi, kita boleh pilih sama ada untuk menentang semua yang terjadi pada saat ini - setiap nafas yang ditarik dan dihembus semua 8 billion manusia, semua perdagangan, perbualan, termasuk perkara yang dikatakan buruk seperti pembunuhan, pencurian, rogol, dan sebagainya - atau kita boleh memilih untuk redha dengan kehendak Tuhan.
Redha bukan bermaksud bawak kereta sambil tutup mata. Itu bodoh namanya.
Maksudnya, bagi aku, ialah kita boleh memilih untuk menerima ketentuan, pada saat ini, dan tidak membenarkan apa-apa yang terjadi untuk menyebabkan kita terganggu secara emosi. Kita masih boleh mengambil tindakan berkesan seperti menghentikan pembunuhan, pencurian, dan sebagainya. Tetapi kita boleh memilih untuk melakukan semua kerja tanpa komponen emosi yang terganggu, kacau dan negatif.
Secara asasnya, kita semua boleh memilih untuk jadi bahagia, tanpa menyalahkan sesiapa atau apa-apa di luar sana. Kita boleh memilih untuk berada dalam keamanan.