Penyakit paling teruk dalam dunia ialah AIDS - Aku Ingin Dilihat Super.
SEMUA orang mengidap penyakit ni. SEMUA. Selagi manusia ada ego, maka adalah AIDS.
AIDS pertama kali dinamakan oleh kartunis Long dalam ruangan Malay Dilemma, majalah Gila-Gila pada zaman kegemilangan majalah tersebut.
Symptom penyakit ini termasuk (tetapi tidak hanya terhad kepada):
1. Keinginan untuk mendapat perhatian dari orang lain.
2. Keinginan untuk DILIHAT lebih dari orang lain.
3. Keinginan untuk menjatuhkan orang lain agar KELIHATAN lebih baik.
4. Ingin diiktiraf betul sentiasa.
5. Ingin bersama golongan tertentu dan suka menghakimi sekumpulan yang lain demi menguatkan ego kolektif.
Sila perhatikan yang penhidap AIDS tidak mahu menjadi lebih baik atau menjadi 'super' sebenarnya. Mereka hanya mahu DILIHAT sebegitu. KELIHATAN sebegitu.
Jadi apa yang mereka kejar adalah satu ilusi sebenarnya. Satu penipuan. Kepada diri sendiri.
Aku kasihan melihat mereka, kerana akhirnya, mereka akan duduk terlopong, tua, kosong, hampa, hampagas dan hanya dikelilingi kepalsuan.
Kerana persepsi orang tidak kekal. Tidak pernah kekal. Sama ada baik atau buruk, pandangan orang lain datang dan pergi. Satu hari akan dilupai dan satu hari, yang empunya persepsi akan mati.
Juga perlu diingat, pesakit-pesakit AIDS sebenarnya berada di bawah kuasa orang lain.
Hidup dan kebahagian mereka bukan lagi pilihan diri sendiri, tetapi keputusan orang lain.
Mereka menyembah orang lain, mengiktiraf kuasa mulut manusia dan bukannya kuasa Tuhan.
Malah, mereka lebih takutkan orang lain, lebih takutkan mulut manusia dari mana-mana Tuhan yang disembah.
Mereka tekankan berada dalam 'zon baik' orang lain, menjadi hamba orang lain.
Kalau kerjaya mereka begitu, seperti model, penyanyi, pelakon, penulis selebriti, peminta sedekah, ahli politik, pelacur, maka tidak boleh lari dari cuba menambat hati orang ramai. Tetapi untuk meletakkan seluruh jiwa raga dan kebahagian dalam tangan orang lain - agak merompak kuasa dan kawalan ke atas diri sendiri.
Penawar untuk penyakit ini mungkin ada pelbagai. Kematian, contohnya. Atau mengorek lubang di kepala. Masuk dalam koma.
Mustahil untuk memuaskan hati atau menambat hati semua orang, setiap masa, sampai mati.
Cara yang lebih mudah ialah acceptance. Penerimaan hakikat bahawa pandangan dan persepsi orang lain mengenai diri kita sama nilainya dengan angin kentut yang keluar dari lubang jubur.
Tanpa pengaruh pandangan orang lain, maka pandangan kita sendiri mempunyai ruang untuk berkembang dan mengawal diri sendiri dan keadaan.
Kita akan berhenti membelanjakan duit untuk mendapatkan barangan berjenama semata-mata untuk mendapatkan 'restu' orang lain.
Tidak lagi kita menghabiskan masa, tenaga, dan kebahagian demi memuaskan hati orang lain.
Tak perlu membeli BMW untuk membeliakkan mata orang kampung. Tak perlu mengganggu perasaan sendiri demi kebahagiaan orang lain. Tidak perlu menjadi betul sentiasa.
Kita tidak lagi akan berebut untuk KELIHATAN super, tetapi mungkin ada masa untuk menjadi super.
Sesuatu yang benar dan bukannya ilusi.
Oklah, gua nak charge BLACKBERRY ni. ;)