Friday, December 28, 2018

Ulasan Filem: Awang Gerudi

Sebelum menonton Awang Gerudi tadi, saya bimbang kalau-kalau sentuhan ajaib pengarah Z Lokman pada filem Mahaguru - filem yang saya kira paling menghiburkan untuk tahun 2018 - hanyalah satu 'fluke' atau kehebatan yang dicapai dengan nasib sahaja. Ternyata, saya telah membazirkan masa saya memikirkan hal itu sebab sepanjang filem Awang Gerudi, saya telah menghabiskan dua paket tisu sebab ketawa sampai mengalirkan hingus dan air mata.

Saya kira, filem Awang Gerudi ini sama hebatnya dengan Star Wars: The Last Jedi, siap dengan teks 'Star Wars crawler' di permulaan filem, dan kuasa dangdut menggantikan 'the Force'.

Awang Gerudi mengisahkan Awang Gerudi (Zoey Rahman) yang terjebak dalam kemelut ahli-ahli perniagaan yang "memerlukan supply and demand untuk memastikan check and balance". Ahli-ahli perniagaan ini termasuk DZA (Datuk Zahari Awang) lakonan Mustapha Kamal dan majikan Awang sendiri, En Tapa.

En Tapa, yang baru mendapat suntikan modal RM100 juta daripada DZA, mempunyai seorang anak perempuan bernama Eda (Ika Nabila) yang mula menjalin hubungan romantik dengan Awang.

Awang pula ada seorang emak yang menyimpan sebilah gerudi emas di dalam botol air mineral yang dicat emas. Gerudi emas ini menjadi titik plot penting, atau macguffin separuh-masa, apabila semua ahli perniagaan kadang-kadang mahukan gerudi itu. Malangnya, gerudi itu hanya akan diiktiraf dengan nilai sebenarnya - RM200 juta - sekiranya kedua-dua bilah gerudi ada dan disertakan dengan sebuah 'bon' yang ditunjukkan dalam filem sebagai sebuah bongkah yang juga dicat emas.

Gerudi itu juga ialah harta peninggalan ayah Awang sendiri yang dikatakan telah membunuh seseorang untuk mendapatkannya.

Maka bermulalah kisah yang penuh simpang-siur dan terkehel beberapa kali dengan hampir semua watak sama ada mahu mendapatkan gerudi emas tersebut, ataupun mahu mengalahkan kuasa gerudi Awang Gerudi sendiri dengan gelek gerudi Inul Daratista.

Ya, saya tidak berjenaka. Saya amat serius apabila saya menulis yang kegagahan Awang Gerudi cuba ditandingi dengan gelek gerudi Inul Daratista.

Seorang watak, Ina Inul (Aprena Manrose), anak kepada Pak Mahmud (Abon), telah cuba menewaskan Awang Gerudi dengan menggunakan bakat geleknya yang saya akui...agak bagus.

Semasa mengaktifkan gelek gerudinya, Ina Inul memakai sesuatu yang kelihatan seperti satu plet besi atau kulit keras di punggungnya, sebelum mengenakan serangan itu kepada Awang Gerudi yang pada masa itu telah diberikan ubat bius. 'Perisai gelek' ini saya kira mungkin berfungsi seperti Sabuk Badak dalam filem Pendekar Mata Satu. Mujurlah Awang Gerudi sempat bangun dan membalas serangan gelek gerudi ini dengan gerudinya sendiri.

Ya, Awang Gerudi seorang yang gagah dan sesetengah serangannya menyebabkan sasaran berpusing seperti gerudi (yang amat perlahan) sebelum kepala mereka teleng dan mengalami kecederaan di seluruh badan.

Sayangnya, konsep ini tidak dikembangkan. Dengan bajet yang lebih besar untuk kesan khas, dan komitmen kepada gimik ini, Awang Gerudi boleh mencapai tahap filem-filem Jepun seperti RoboGeisha yang menampilkan pedang yang keluar daripada ketiak, atau filem Machine Girl Shyness (sekuel kepada Machine Girl) yang menyaksikan watak utamanya mengeluarkan gatling gun daripada bontot (hanya) ketika dia berasa malu.

Sebaliknya, kisah Awang Gerudi lebih bertumpu kepada pertelingkahan korporat beberapa penjuru demi merebut gerudi emas, dan kadang-kadang, kilang jem yang mengeluarkan botol jem yang tidak boleh dibuka.

Ya, saya ingatkan sekali lagi, yang saya tidak menulis semua ini untuk berseloroh. Ada satu subplot tentang sebuah kilang jem milik watak lakonan TS Jeffrey yang menghasilkan botol-botol jem yang tidak dapat dibuka oleh sesiapa. Ini diceritakan oleh dua watak sampingan yang paling menggemparkan - seorang ibu dan anak - dalam satu babak flashback atau imbas balik yang paling hebat dalam sejarah babak flashback.

Si anak masuk dan memberitahu ibunya yang dia baru sahaja bercakap dengan Awang Gerudi yang kacak. Kemudian babak flashback bermula dengan si anak masuk dan bercakap dengan ibunya - hampir sama dengan babak asal. Ibunya kemudian menyuruh anaknya membeli jem sebab mereka hanya ada roti tetapi tiada jem untuk memakannya.

Lantas, si anak pergi ke kedai membeli jem dan setelah pualng mendapati botol jem itu tidak dapat dibuka dengan apa cara sekalipun.

Diakui, subplot botol jem ini tiada kena mengena dengan gerudi emas, tetapi saya teka yang watak TS Jeffrey itu ingin mendapatkan gerudi emas setelah gagal dalam perusahaan jemnya.

Sepanjang filem ini, penonton dihiburkan dengan interlud muzikal yang hadir secara tiba-tiba, seperti hadiah Krismas yang diberi oleh Santa Claus. Antaranya ialah lagu dangdut Inul semasa kemunculan pertama Ina Inul, siap dengan penari latar yang amat sesuai untuk sebuah kelab dangdut - dua lelaki separuh umur.

Juga ada sebuah lagu Hindustan untuk menunjukkan cinta yang semakin bersemi antara Awang dan Eda.

Saya terpanggil untuk memberi komen pasal satu babak yang saya kira menunjukkan wibawa Awang Gerudi.

Awang dan Eda pergi ke restoran untuk makan, apabila dua orang 'pak crook' datang untuk mengganggu mereka. Cara gangguan? Dengan menggosokkan punggung ke kerusi makan. Selepas diajak bergaduh oleh dua orang pak crook ini, Eda menghantar Awang pulang, di mana Awang melilit kain pelikat di kepalanya seperti semutar, start motor, kembali ke restoran dan memukul dua orang tadi yang masih menunggunya di situ.

Saya fikir, babak ini menasihatkan anak muda supaya mengurangkan keganasan terhadap wanita dengan membenarkan mereka pulang dahulu sebelum kita memukul orang jahat. Ini keprihatinan tahap tinggi!

Filem ini juga pakar dalam apa orang Kuantan panggil, "subverting audience expectations". Semasa Awang Gerudi berjumpa En Tapa dengan gerudi emasnya dalam beg, watak TS Jeffrey telah menyuruh penyanggak upahannya meragut beg itu.

Kalau dalam filem Hollywood yang formulaic dan memualkan, penyanggak itu pasti berjaya demi mencipta konflik yang harus diselesaikan oleh Awang kemudian. Namun, itu tidak terjadi dan percubaan meragut itu senang sahaja dipatahnya.

Satu lagi contoh subverting audience expectations ialah apabila orang upahan DZA bergaduh dengan  seorang pak crook. Kedua-duanya berpistol, maka aksi tembak-menembak pun berlaku, siap dengan bunyi tembakan walaupun tiada api yang keluar daripada pistol replika mereka.

Pertama, dengan memegang pistol, orang DZA menyelinap dari belakang orang jahat. Namun, walaupun memegang pistol, dia tidak menembak, lantas hanya cuba menepuk bahu orang jahat tersebut.

Kedua, selepas mereka berbalas tumbukan, orang jahat tadi lari dari situ. Walaupun dia tidak berlari laju sangat dan gagal menjauhkan diri daripada orang DZA, orang DZA hanya pergi duduk di tepi jalan dan tidak mengejar mahupun menembak orang jahat itu.

Beberapa watak juga hilang tanpa berita, sehinggalah En. Tapa secara tiba-tiba mengumumkan Ina Inul, misalnya, telah gelek kuat sangat sampai patah tulang belakang, di hujung filem.

Bagi saya, antara babak paling bagus dalam filem ini ialah apabila Awang kembali ke rumah ibunya. Dia memberitahu ibunya, yang dia telah terjumpa dengan pemilik sebenar gerudi emas, yang telah hilang gerudi emasnya selepas dicuri seseorang.

Awang: Pencuri itulah yang dibunuh oleh arwah ayah.
Ibu Awang: Ha? Bapak kau dah meninggal?

Ya! Pendedahan Awang Gerudi ini telah memeranjatkan ibunya, dan juga penonton, sebab tiada bayangan yang ayahnya telah meninggal.

Akhirnya, Awang yang tidak memandang wang dan harta, telah menyerahkan gerudi emas itu kepada DZA melalui En. Tapa yang terus pergi ke negara Filipina untuk bertemu dengan anak bekas Presiden Ferdinand Marcos.

Ini menunjukkan mentaliti masyarakat golongan B40 yang memberikan sahaja harta pusaka mereka kepada seorang 'Datuk' yang tidak jelas moralitinya - dia memberikan En. Tapa RM100 juta, tetapi juga membiarkan salah satu projeknya terbengkalai selama 20 tahun.

Dialog dalam filem ini amat menyegarkan. Sebagai sebuah filem komedi, ia berjaya membuatkan saya ketawa terbahak-bahak sepanjang filem.

Orang DZA: Saya berniaga kondom dan pad wanita yang mengalami haid.
Watak TS Jeffery: Kalau perempuan yang sudah putus haid?
Orang DZA: Itu di luar perjanjian saya.

Awang Gerudi: Mak, bukan kita je yang ada gerudi ni. Orang lain pun ada gerudi jugak!

Ina Inul: Walaupun saya tak pernah berjumpa abang Awang sebelum ni, saya tau seluruh geografi abang Awang.
Awang: Geografi? Maksud awak, biografi?

Prop untuk Awang Gerudi juga hebat. Daripada gerudi emas yang disimpan dalam botol air mineral 500ml yang juga dicat emas, kepada teropong yang digunakan Ina semasa mencari Awang di perarakan Hari Merdeka, kepada bon bercat emas, dan juga pistol replika - semuanya menggamit perhatian.

Semasa menonton filem ini, perhatikan juga watak-watak tidak sengaja di belakang. Antaranya, seorang makcik yang duduk atas motor yang seolah-olah baru sahaja selesai mengorek hidung, dan seorang watak latar yang nampak tidak mampu menahan gelak atau senyuman sepanjang babaknya dirakam.

Kualiti sinematografi agak tidak sekata, dengan beberapa babak keluar fokus, dan malang bagi kami - projektor di pawagam tadi telah salah setting hingga bahagian atas filem ini terpotong sedikit.

Saya harap Z Lokman tidak berhenti mengarah filem, sebab semua filemnya yang saya tonton tahun ini menghiburkan saya selama berminggu-minggu. Mahaguru yang ditayangkan pada bulan November ialah filem paling menghiburkan saya tahun ini, dan Awang Gerudi ialah bekalan yang hebat menjelang (bulan pertama) 2019.

Agak sukar, pada masa sekarang, untuk menikmati filem arahan seseorang yang tampak tiada niat lain semasa membuat filem, selain daripada kasih dan cintanya kepada medium ini. Sesetengah pembikin filem sekarang mungkin membuat filem untuk duit, atau pujian. Saya tidak fikir pakcik Z Lokman membuat filem untuk duit, mahupun pujian.

Saya harap, satu hari nanti akan ada satu biopic dengan pakcik Z Lokman sebagai subjek. Tajuknya saya dah ada - Z Films. Saya harap Oliver Stone sudi mengarah filem itu. Atau Stephen Chow.

Awang Gerudi - 1/5 bintang - tambah 500 bintang jika anda gemar/tahan menonton filem-filem Z Lokman.

Friday, December 21, 2018

Ulasan Filem: The Spiral

Saya pergi menonton filem ini dalam keadaan risau dengan kesihatan kewangan saya dan negara, sambil bimbang juga dengan beberapa teman saya yang sedang bergelut dengan beberapa krisis lain. Saya juga risau dengan elemen-elemen penghasut yang cuba mengacau ketenteraman dengan mengapikan semangat perkauman toksik. Bagaimanakah kerajaan Pakatan Harapan mampu menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang mangsa (ya, mangsa) untuk bekerja ke arah kesejahteraan ekonomi dan tidak tertipu dengan dakyah politikus yang hanya dahagakan uang dan perempuan (dan kadangkala lelaki comel)?

Namun, setelah menonton filem ini, saya keluar panggung dibelenggu dengan persoalan yang jauh lebih mencabar: Kenapa? Atau lebih tepat lagi, Kenapaaaaaaaa?

SPOILER: ULASAN BERIKUT MENGANDUNGI SPOILER FILEM THE SPIRAL DAN KESERONOKAN MENONTON FILEM INI (JIKA ADA) BERGANTUNG JUGA KEPADA SELAKAN LEMBARAN CERITA YANG AGAK MELIUK-LINTUK. JANGAN BACA SEKIRANYA ANDA MAHU MENGALAMINYA SENDIRI.

Filem The Spiral mengisahkan Jon(?) Caine (lakonan Peter Davis) yang membunuh semua orang yang dia jumpa. Dia membunuh Siti Saleha dalam sebuah kelab malam, penjaga-penjaga keselamatan di semua bangunan, dan juga semua orang dalam sebuah kopitiam yang menjual rokok Hillman yang saya kira pastilah rokok seludup walaupun berharga RM20.

Dia diberkas oleh polis wanita bertopeng yang menyuntik diri sendiri dengan sesuatu sebelum terjelepuk ke tanah, bangun semula dan berlawan dengan Caine.

Dr Melanie Surya (Siti Saleha) telah ditugaskan sebagai pakar psikiatri Caine. Dialog antara Caine dan Melanie bagi saya amat merunsingkan, sama tahap dengan perbualan antara Clarice Starling dan Hannibal Lecter dalam Silence of the Lambs, tetapi untuk sebab yang berbeza.

Saya menyalahkan diri sendiri sebab tidak mampu ingat semua bait dialog mereka, tetapi yang wujud dalam kepala saya hanya perbualan seperti ini:

Melanie: You killed people!
Caine: Are you in love?
Melanie: Dunno?

Ini bukanlah dialognya, tetapi saya jamin, kesannya hampir sama. Dialog dalam filem ini saya fikir seperti dalam draf pertama sebuah skrip atau mungkin cerpen. Dalam usaha untuk mengelak daripada menjadi predictable atau senang dijangka, dialognya bertukar menjadi tidak boleh dijangka langsung.

Sementara itu, kekasih Melanie, Dave (Ben Pfeifer) sedang ke kedai bunga, tetapi terserempak kekasih lama beliau. Lantas, Dave terus membawanya ke kedai kopi dan memulakan satu siri eksposisi tentang latarbelakang Dave (seorang kaki botol yang 'diselamatkan' oleh Melanie) dan hajatnya sekarang - ingin melamar Melanie dengan sebentuk cincin dalam glove compartment keretanya - INGAT! INI PLOT POINT PENTING!

Beberapa babak kemudian, Caine melepaskan diri dan membunuh ramai pengawal keselamatan dan juga Shaukat - seorang penggusti profesional tempatan ternama dalam dunia sebenar dan seorang anggota polis dalam The Spiral.

Kemudian, Melanie dan polis wanita bertopeng mendapati yang mangsa di tempat yang diberitahu oleh Caine ialah Caine sendiri yang telah dibunuh tiga bulan sebelumnya. Melanie bergegas ke rumah Dave di mana Caine membunuh lelaki itu di depan Melanie sebelum menghilangkan diri seperti Megatron dalam filem Transformers Michael Bay yang ada tajaan syarikat China (filem ketiga atau keempat, saya dah lupa).

Melanie kemudian meminta untuk diberikan kereta Dave, dan dia terjumpa cincin lamaran dalam kereta itu untuk babak sedih. - INGAT TAK TADI DIA CAKAP ADA CINCIN DALAM GLOVE COMPARTMENT?

Melanie kemudian berjumpa dengan Patrick Teoh yang menerangkan bahawa String Theory mencadangkan ada 11 dimensi kesemuanya dan mengajar Melanie bagaimana untuk masuk dimensi lain dengan menggunakan slaid Microsoft Powerpoint.

Melanie kemudian berusaha untuk masuk dimensi lain dengan menggunakan kaedah astral projection, yang hanya memerlukan dia duduk bersila, atau melakukan yoga. Malangnya, tetapi tidaklah mengejutkan, kaedah ini gagal.

Kisah di belakang cerita ini, satu perkara yang rumit. Ia melibatkan sejarah pengembaraan merentas dimensi selama lebih 1000 tahun, perjumpaan dengan lelaki botak kurus dengan cat di badannya, antara rambut palsu paling buruk dalam sejarah rambut palsu selepas rambut palsu Datuk Rahim Razali dalam Hikayat Merong Mahawangsa, rambut palsu Norman KRU dalam filem Skrip 7707 mahupun misai palsu Azwan Ali dalam Pontianak Harum Sundal Malam.

Kisah ini juga digambarkan dengan tidak kurang daripada tiga animasi 3D atau kesan khas yang saya fikir mungkin hasil projek akhir tahun pelajar animasi 3D yang berbakat. Antaranya termasuk sebuah perpustakaan yang (mungkin) mengandungi semua pengetahuan dalam dunia, KL 30 tahun di masa depan, alam dimensi seperti dalam filem Dr Strange (tetapi dengan bajet jauh lebih kecil).

Akhirnya, penonton dapat tahu yang Caine asalnya ialah seorang pendita yang telah mencapai pengetahuan usang pasal kesemua 11 dimensi dan telah cuba membawa pengetahuan itu kepada manusia dalam dimensi berlainan. Dalam salah satu dimensi tersebut, dia terserempak dengan Katarina, seorang doppelganger Melanie yang telah memerangkapnya dalam kitaran cinta dan benci yang menjadikannya seorang yang berdendam.

Dendam kesumat ini menjadikan Caine seorang pembunuh yang hanya mahu menyeksa dan membunuh semua kewujudan Melanie dalam semua dimensi, seperti watak jahat Jet Li dalam The One.

END OF SPOILERS.

Saya fikir, usaha untuk menyampaikan cerita ini sama dengan percubaan menerangkan String Theory menggunakan hanya slaid Microsoft Powerpoint.

String Theory ialah satu teori fizik yang berat dan mendalam, dan telah memukau pakar-pakar fizik seperti Dr Sheldon Cooper dan Dr Raj Koothrappali. Ia sukar untuk diterangkan dengan begitu sahaja, walaupun sering dibuat oleh Hollywood. Antara paling menjengkelkan ialah filem Interstellar yang menyatakan bahawa cinta ialah satu-satunya benda yang mengatasi ruang dan masa.

"Cinta secara kimianya tiada beza dengan memakan coklat yang banyak" - Setan, The Devil's Advocate.

Cerita The Spiral terlalu padat, sarat dan penuh gangguan tidak perlu. Mengapa hendak ditunjukkan imej Kuala Lumpur yang futuiristik (seperti video promosi hartanah yang hebat!) - ada apa-apa kesan kepada naratif? Adakah ini kehendak penerbit eksekutif? Walaupun kesemua 11 alam berlainan tidak ditunjukkan, kesemua alam yang ada ditunjukkan agak kacau-bilau dan sukar dibezakan. Ada satu dunia di mana watak utama ialah seorang gadis bernama Alice yang diklonkan, tetapi klonnya ialah anaknya sendiri dan doktornya ialah polis wanita bertopeng yang tidak bertopeng dan bukan polis, tetapi doktor. Pening tak?

Walaupun ada babak pertarungan, tetapi tidak sehebat filem Paskal, Polis Evo 2, mahupun Operasi X. Lakonan kayu dengan dialog kaku (yang tidak dapat diramal langsung) ialah kombinasi yang hebat.

Namun, The Spiral tidak teruk secara keseluruhan, dan ini sebenarnya lebih menjengkelkan. Kualiti filem ini turun naik dengan 'projek-projek akhir tahun' nampak seolah-olah ditampal selagi boleh. Kalau buruk secara keseluruhan, akan jadi macam Mahaguru, yang amat menghiburkan. tetapi sebab dia kadangkala buruk dan kadangkala tidak buruk sangat, maka agak sukar untuk terhibur sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, saya harus tabik hormat kepada pembikin filem ini sebab berani menghidangkan sesuatu yang berlainan (kepada peminat filem yang 'membawa kelainan', silalah tonton filem ini), dan ada banyak idea bernas yang tidak dapat/sempat dilaksanakan dengan sempurna. Contohnya, antara babak permulaan filem ini ada kaitan dengan babak akhirnya. Filem ini juga amat berani mencuba genre sains fiksyen.

Saya kira, antara kelemahan masyarakat di Malaysia ialah tidak menggemari sains jadi apabila Kerajaan memaksa pelajar mengambil jurusan ini, ramai yang tidak berminat.

Masalah The Spiral, seperti kata-kata Patrick Teoh semasa menerangkan String Theory (menggunakan Powerpoint), "This is beyond science."

The Spiral: 1/5 bintang - tambah 4 bintang jika anda pelajar Universiti Lim Kok Wing atau terlibat secara terus dengan filem ini.



Image may contain: 8 people, people smiling, people standing
Pelakon dan crew filem The Spiral Memberikan Gred Kepada The Spiral? (Gambar: Facebook The Spiral)