Sunday, September 16, 2012

Maruah Di Tangan Orang Lain: Isu Filem Hina Nabi

Baru-baru ini, ada hal, ada kes pasal sekumpulan orang bukan Islam yang buat satu filem bertajuk 'Innocence of Muslims' atau 'Innocence of Bin Laden'.

Kononnya, filem tu kutuk Nabi Muhammad S.A.W, kutuk Islam dan membuat filem dengan pelakon yang memainkan watak Rasulullah.

Punyalah marah, orang Islam ada yang kononnya menyerang kedutaan dan konsulat di Mesir, Yemen dan Berlin.

Aku harap, orang Islam di sini tak perlu menyerang mana-mana kedutaan. Aku rasa, benda macam ni kita boleh selesaikan dengan cara aman dan tak perlu bunuh-bunuh orang. Itu cara zaman jahiliah. Kita yang kononnya bertamadun ni, yang bersopan, tak payah lah nak emo macam unta kena kembiri.

Aku baru bercakap dengan member aku pasal filem tu. Aku dah tengok Innocence of Muslims dan aku rasa memang dibuat untuk mengapi-apikan orang Islam yang senang diapi-apikan. Aku tak fikir pelakon dan krew tahu filem itu untuk apa, sebab tang nama-nama Muhammad, Khadija semua, dia main letak dubbing. Aku terbaca dalam artikel, masa kat set, watak Muhammad tu nama dia asalnya Master George dan filem tu untuk tunjukkan gaya hidup orang Mesir zaman purba.

Filem tu memang buruk dengan kesan khas yang murahan dan nampak macam dibuat dalam masa 12 jam sahaja. Agendanya pula, aku rasa memang jelas hendak cucuk orang Islam supaya pergi bunuh orang; mengacau sentimen kebencian yang berkelodak.

Kita tak boleh nak mengawal mtindakan orang lain, tapi hati-hatilah dengan tindakan diri sendiri.

Aku selalu kelakar bila orang kat sini bercakap pasal maruah. "Filem ini merendahkan maruah Islam," kata kawan aku. Aku gelak je. Dia marah.

Berkuasa sungguh filem tu sampai boleh merendahkan maruah Islam, ya? Rendah benar ke maruah Islam, kalau pasal filem bodoh tu pun boleh terkelar?

Maruah bukan terletak pada apa orang kata. Bila orang puji atau kutuk, maruah tu tak naik dan tak turun. Martabat pun sama. Maruah yang sebenar, yang jitu, hanya wujud dalam diri sendiri. Bagi aku, maruah itu pandangan diri kita sendiri pada diri sendiri. Maruah Islam adalah pandangan umat Islam sendiri pada agamanya. Bukan pandangan orang lain.

Kita ni, hidup bukan untuk merasa bangga sebab orang puji. Itu riak namanya. Bongkak. Sombong. Itu halatuju hidup yang palsu dan rapuh. Pengakhirannya hanyalah sesuatu yang bodoh.

Maruah kita adalah pegangan kita; integriti kita. Terletak pada kata-kata dan perlakuan kita, bukan pada kata-kata atau perlakuan orang lain - walaupun bercakap pasal kita.

Banyak orang puji aku. Ramai jugak kutuk aku. Adakah maruah aku naik atau turun dengan kata-kata mereka? Tidak sama sekali. Walau dijulang 44 kaki pun, aku masih berdiri atas bumi yang sama. Aku masih menongkat langit yang sama yang aku tongkat sejak aku lahir.

Jadi, kalau kau mahu kembali pada ajaran agama, adakah Islam menuntut kita umatnya pergi bunuh orang yang memfitnah agama kita? Nabi buat apa? Dia hanya menyerang mereka yang menyerang dahulu, dan bila kita cakap pasal serang, aku maksudkan serangan yang setimpal. Tidak adil untuk membunuh orang kalau mereka hanya berkata-kata.

Kalau kau marah, maka tujuan mereka yang buat filem ini sudah tercapai, sebab memang dia nak buat orang marah pun. Dia nak buat orang Islam marah, pastu bunuh orang tak tentu hala, lepas tu dia boleh cakap lagi yang orang Islam ni tak bertamadun dan takde kemanusiaan. Bila ini terjadi, mereka boleh bawak bala tentera, bunuh dan rogol semua orang Islam dalam negara orang Islam sendiri.

Kalau kau bodoh, maka pergilah berarak dan susahkan semua orang pasal filem yang tak seberapa tu. Pertahankanlah 'maruah' kau yang hanya wujud di hujung lidah orang lain, dan tidak dalam diri sendiri.