Sunday, September 2, 2012

Almanak Kuruskan Badan Bumi dan Langit

Aku dah mencatat perjalanan aku menguruskan badan dalam Bahasa Melayu Tinggi (Bahasa Inggeris), tapi masih ada orang Melayu yang tanya aku resipi aku.

Jadi, aku rasa keadaan ini mungkin disebabkan kekurangan bahan rujukan dalam Bahasa Malaysia. Maka, biar aku tulis di sini lagi sekali, menggunakan bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara kita.

1. Jalan Syaitan Tidak Terbatas

Maaf, tiada jalan pintas untuk menguruskan badan. Kejap, memang ADA jalan pintas untuk kuruskan badan, tapi kesannya mungkin mengakibatkan kerosakan hati, jantung, limpa, buah pinggang, mata, kulit, sistem ketahanan badan dan banyak lagi.

Kau tak mau kurus lepas tu mati, bukan? Mati kurus, atau mati katak, juga dikenali sebagai 'mati beragan'. Kalau kau tengok filem klasik Air Mata Duyung lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad, watak protagonis lelaki mati beragan sebab putus cinta dengan ikan duyung. Oh ya, SPOILER ALERT. Oh hohohohohoho!

Jadi, jalan untuk kurus yang sihat dan berkekalan hanya satu - menjaga pengambilan gizi dan bersenam.

2. Tidak Menyesal Memakan Serat

Bersenam hanya menyumbang dalam 15-20% kehilangan berat badan, secara kasar. Selebihnya, mesti dihilangkan menerusi pengambilan kalori negatif. Maksudnya, makanan yang diambil seharian mesti kurang daripada penggunaan tenaga untuk hari itu.

Ada yang mengira kalori, tapi aku memang malas sebab leceh. Apa aku buat, aku rasa lebih mudah - kebanyakan tenaga - maksudnya, kalori - datang daripada gula dan karbohidrat. Jadi, kalau mahu kurangkan pengambilan tenaga harian, harus kurangkan gula dan karbohidrat.

Pertama sekali, fikir dan cari semua bahan makanan yang ada gula atau karbohidrat. Buang semuanya. Ini termasuk gula, nasi, mi, roti, pulut (paling bahaya!) dan tepung.

Gantikan dengan bahan makanan serat tinggi. Kalau nak makan roti, makan roti wholegrain. Nak makan nasi, makan sama ada beras perang (brown rice) atau beras kanji rendah.

Kalau kau nak tau makan macam mana, kau tengok orang sakit kencing manis. Ha, begitulah cara pemakanannya.

Masalahnya, beras perang masih ada karbohidrat. Beras perang hanyalah beras dengan sedikit baki kelongsong yang tidak dibuang. Ulas putihnya masih di dalam.

Roti pulak, walaupun roti wholegrain, ada gluten. Gluten adalah bahan yang memberikan struktur dan tekstur pada roti. Gluten ni, menyebabkan ketagihan, dan membentuk lemak, kalau diikut pada kajian beberapa saintis pemakanan.

Jadi, aku cadangkan pengambilan makanan ruji terulung dalam kategori serat - oat.

Oat ada tiga jenis: oat biasa, rolled oats (oats gulung) dan steel-milled oats (oats kilang besi). Oats paling bagus, steel-milled oats, tapi mahal dan susah nak cari. Jadi, aku biasa ambik oats biasa dan rolled oats yang banyak ada kat kedai.

Oats murah dan mengenyangkan, juga ada beta-glucan yang menyerap lemak, minyak dan kolesterol. Oats , makanan ruji serat tinggi yang hebat!

Cara makannya mudah saja. Aku gantikan nasi dengan oats. AKu makan daging, ayam, sayur, semua dengan oats. Paling best - sambal ikan bilis atau sambal hitam dengan oats. Tapi kena perhatikan jumlah garam, minyak dan lemak dalam lauk yang dimakan bersama oats.

3. Teratai Merah Terlantar di Luar Pagar

Satu lagi benda kau boleh makan, adalah psyllium husk. Kalau oats adalah makanan ruji serat tinggi terulung, psyllium husk atau dedak psyllium, adalah bahan makanan serat terulung.

Tiadalah makanan lain yang dapat menandingi kehebatan psyllium husk. Jap, aku nak makan psyllium husk kejap.

Psyllium ni, pokoknya banyak ditanam di India. Dah lama jadi makanan kesihatan dan Dr Oz daripada rancangan bualbicara Oprah Winfrey Show memang suka mempromosi psyllium husk.

Harganya pun murah - belas-belas ringgit, biasa kalau makan empat sudu sehari, tahan sampai 3 bulan atau lebih.

Kalau nak minum, letak dalam gelas, tuang air minuman kesukaan (asalkan bukan air berkabonat), kacau cepat-cepat dan telan sampai habis dengan cepat. Psyllium Husk akan menyerap air dan lemak, kemudian berak akan menjadi lancar dengan taik yang sihat.

Satu saja syaratnya - kalau ambik dua sudu, kena minum dua gelas air follow-up, kalau tak badan akan kekeringan air.

4. Gerakan Ideo-Motor

Untuk mengaktifkan metabolisme, harus bersenam. Cara aku mudah saja - senaman kardiovaskular atau aerobic selama sejam, diikuti mengangkat besi selama 45 minit. Terpulang pada kau untuk buat macamana, dan dapatkan nasihat pakar.

5. Sejuk Mata Pedang, Dingin Hati

Kalau nak kuruskan badan, hati mesti kering. Kau tak boleh nak ih-ah, ih-ah pasal ni. Kau kena ada perancangan dan harus setia pada perancangan itu sampai kau mati.

98% orang yang turun berat badan, naik semula sebab kembali ke tabiat asal makan macam orang gila. Kalau kau mahu kekal kurus, maknanya kau harus mengamalkan diet pengurus atau diet untuk kekalkan berat badan sampai kau mati.

Kalau kau tak mampu, pergilah mampus.

6. Tinju Maut Pendekar Laut

Ada beberapa kaedah lagi, dan bahan-bahan makanan yang lain. Ini aku simpan lepas aku cuba sendiri. Buat masa sekarang, inilah yang kau cuba buat dulu, pada yang mahu kuruskan badan.

Gunakan kaedah saintifik, dan pakai logik akal. Benda ni bukan magik. Juga ingat - setiap orang ada badan yang lain, dengan reaksi dan kesan berbeza pada benda berbeza. Jadi, cari sendiri apa yang berkesan untuk badan kau.

Untuk aku, aku meletakkan kesemuanya pada pemakanan serat tinggi, senaman dan Psyllium Husk!