Aku baca ulasan-ulasan makanan Selangorlicious.
Geram nak pergi cuba, dan juga geram nak tulis ulasan. Masalahnya, aku tau banyak tempat makan kat KL. Selangor ni susah sikit, pasal banyak kawasan dia takde teksi.
Apa yang aku tau, dulu aku amat suka makan nasi ayam kat Puduraya. Ada beberapa kedai nasi ayam kat situ. Apa yang aku minat adalah kepak kecik ayam yang dipanggang sampai kau boleh makan keseluruhan hujung kepak macam keropok.
Nasinya okay saja, pasal nasi ayam mak aku masak adalah nasi ayam terhebat. Sup dia lagi bagus dari mak aku punya sup, pasal mak aku kena buat sup ikut spesifikasi bapak aku.
Bapak aku, degil orangnya. Kalau minum kopi, dia percaya kopi terhebat adalah Nescafe. Aku bagi dia Starbucks, dia maki aku. Kalau makan ayam, dia kena makan kepak. Parti politik terhebat adalah UMNO. Jadi, sup nasi ayam mesti macam yang dia nak, dan sup nasi ayam mak aku tak sedap sebab ini.
Masalah dengan kedai nasi ayam Puduraya adalah kebersihan. Aku pernah jumap bangkai lalat dalam nasi aku. Dan aku rasa, perisa kotoran hitam yang menyelubungi seluruh Puduraya, juga masuk dalam makanan sebagai perisa nasi ayam.
Aku dah lapan tahun tak makan nasi ayam Puduraya. Pasal dah lapan tahun aku tak naik bas kat Puduraya. Aku naik kat Hentian Putra atau Pekeliling.
Aku ingat ada nasi ayam percik di Seremban. Dulu aku sembahyang kat atas kedai hardcore tepi jalan tu. Nasi ayam percik dia agak sedap, tapi aku tak suka lauk yang manis. Bagi aku, dessert manis. Lauk kena masin. Oleh itu, masakan Kelantan adalah jenis masakan terlarang keluarga aku. Aku tak reti masak style Kelantan, pasal aku tak suka benda manis.
Nasi Ayam yang masih aku suka di KL, ada tiga:
1. Yahya Nasi Ayam Hainam (Pantai Dalam/Bukit Angkasa). Bukan Hainan, tapi Hainam. Pasal aku suspek Yahya tu orang Gganu yang takut nak endkan perkataan dengan huruf 'N', takut tertambah 'G'.
Yahya Nasi Ayam Hainam amat hebat sebab dia pakai dua jenis kicap - kicap cair dan kicap yang dicampur tepung sagu atau air liur burung layang-layang (manalah aku tau resipi rahsia dia). Nasinya juga hampir dapat menandingi nasi ayam mak aku.
Ramai orang bodoh jual nasi ayam, tapi nasi dia bodoh. Nasi ayam, mestilah dimasak dengan stok ayam buatan sendiri. PAHAM?
2. Nasi Ayam Pappa Rich
Jangan memandang rendah Nasi Ayam Pappa Rich. Ayamnya distim, dan nasinya hebat. Satu sahaja - kalau ada ayam panggang, lagi bagus.
3. Nasi Ayam Food Court Mana-mana
Mana-mana food court aku pergi, aku akan makan nasi ayamnya. Semua rasa macam Chicken Rice Shop, yang not bad, bagi aku.
Tadi aku makan nasi ayam di Berjaya Times Square. Aku mintak kepak, dan hujung kepaknya boleh dimakan seperti keropok.
Aku akan cuba makan nasi ayam tepi jalan dan mencari Nasi Ayam yang mampu melawan Nasi Ayam Mak Aku - Nasi Ayam Syurga.