AKu dah berjalan jauh untuk mencari hidangan ayam panggang yang terulung - Ayam Syurga Meragut Lalang.
Aku dah mencuba dan memasak banyak ayam panggang. Berikut antara beberapa calon ayam panggang yang terhebat (dan terburuk):
1. Ayam Yahya Nasi Ayam Hainam
Ya, Hainam, bukan Hainan, pasal diorang ni datang daripada Pantai Timur.
Ayam yang dimasak adalah daripada jenis 'crispy roast nuclear kings'. Ayam ini begitu rangup, hujung kepaknya boleh dimakan seperti keropok.
Ada dijual di Pantai Dalam.
2. Ayam Golek Pantai Dalam
AYam golek yang cukup popular. Lebih kurang seribu ekor akan terjual pada bulan puasa.
Sebenarnya, ayam ini tiada apa-apa kelebihan berbanding ayam panggang biasa. Sosnya juga terlalu manis, kerana tukang masaknya orang Kelantan.
Ditemui di Pantai Dalam.
3. Ayam Panggang Dua Suhu
Resipi ayam panggang yang mudah dan ringkas. Hanya lumurkan setengah ketul mentega, lada hitam kasar bersama garam pada luarannya, dan masukkan kentang, mentega, daun sup (cilantro...kot?) dan garam di dalamnya.
Mula-mula, panggang sehangat 250 darjah selama setengah jam, kemudian 120 darjah selama dua jam.
Hasilnya adalah ayam yang menggerunkan.
4. Ayam Maharaja
Aku buat dengan membeli perencah ayam maharaja di pasar mini. Jenis ayam kukus yang tiada tandingan (juga tiada cabaran).
5. Ayam Pengemis
Sama seperti ayam maharaja, cuma menggunakan campuran rempah yang lain.
6. Ayam Ufuk Barat
Ayam dengan pesto dilumurkan, juga ditambah salsa dan beberapa herba Asia. Ayam ini rasanya seperti ikan panggang!
Ayam panggang daripada Barat sering menggunakan rempah rosemary untuk rasa, dan basil serta asid buahan citrus untuk menghilangkan bau hanyir.
Masakan aliran Timur menggunakan kunyit, halia dan bawang putih.
7. Ayam Kering Dua Kali
Dengan menggunakan teknik memanggang itik, ayam ini dilumurkan dengan rempah, digayut hingga kering dan kemudian dipanggang. Selepas itu, ayam ini digayut lagi dan digoreng dalam minyak panas.
Isinya lembut, dan kulitnya rangup.
8. Ayam Tilam Asrama
Pada tahun 1996, beberapa rakan sekolah aku telah mencuri empat ekor ayam dari peti sejuk dewan makan.
Oleh kerana kekurangan dapur dan bahan bakar, maka ayam itu dipanggang atas api yang dinyalakan atas tilam asrama.
Hasilnya? Ayam paling celaka yang kau boleh makan. Hangus, hangit dan beracun.
9. Ayam Chicken Rice Shop
Bagus! Cuma senang muak selepas makan sedikit.
10. Ayam Ayamas
Hanya dua jenis ayam panggang Ayamas yang layak diperkatakan - Golden Roast (dipanggang dengan madu) dan black pepper.
Ayam Ayamas bukanlah bagus sangat, tetapi senang dicari kalau nak bawak ke potluck.
11. Ayam Tahap Kesempurnaan
Ayam panggang yang aku masih cari.
Ayam tahap Kesempurnaan mestilah mempunyai ciri-ciri:
a. kulit yang rangup dan terpisah daripada lemak.
b. Lemak yang sudak cair dan menjadi minyak yang memasak ayam.
c. Tulang yang rapuh, sampai hujung kepak boleh dimakan seperti keropok.
d. daging ayam haruslah lembut dan menyerap semua ramuan yang ada.
e. Tidak berbau hanyir.
Oleh itu, Ayam tahap Kesempurnaan haruslah mempunyai lima falsafah masakan:
- Kayu (rangup)
- Tanah (lembut)
- Api (isi yang menyerap rempah)
- Angin (bau yang harum)
- Emas (warna keemasan)
Apabila lima unsur bersatu, maka akan terciptalah, Ayam Tahap Kesempurnaan.
Ayam Tahap Kesempurnaan: MERIAM! KATAK!