Aku membuat keputusan hidup aku berdasarkan tiga perkara - naluri, otak dan hati.
Aku mewarisi otak bapak aku. Seorang yang pada masa mudanya amat serius dan logikal. Dia tak pernah ada rumah dan tanah sendiri, seorang anak angkat yang terpaksa menumpang di rumah saudara-mara semasa menghabiskan pembelajarannya.
Ini terbalik dengan mak aku, yang berasal daripada sebuah keluarga Jerantut yang besar dan berasa rimas dengan kongkongan masyarakat sekelilingnya.
Kalau bapak aku ikut otak, mak aku ikut hati. Keluarga dia memang macam tu. Datuk aku, dua kali diajak oleh Tun Razak untuk ke KL, supaya boleh menolong mentadbir negara. Pasal datuk aku dulu, dia berjuang untuk kemerdekaan.
Tapi, hati datuk aku tersangkut pada pokok-pokok duriannya. Impian dia cuma untuk hidup sampai ke tua, dikelilingi pokok-pokoknya, dan anak beranak, keluarga yang dijaganya.
Jadi, mak aku - seorang yang melayan perasaan - dan bapak aku, seorang intelektual - memang mempengaruhi hidup aku.
Tapi, ada satu benda yang kalau aku tak endahkan, biasanya memakan diri. Naluri aku. Kalau naluri aku rasa tak best pasal sesuatu, biasanya aku takkan buat. Sorry, beb. Aku ada mekanisma yang melarang aku buat beberapa perkara, dan menyuruh aku buat beberapa perkara.
Bukan otak, bukan hati, tapi naluri.
Perlu diingat, maluri aku tidak bertindakbalas atas nasib dan keadaan orang lain. Hanya diri aku sendiri. Maksudnya, kalau aku tidak menyertai projek kau, jangan pula fikir secara ajaibnya, projek tak jalan. AKu bukan bomoh dengan kuasa luarbiasa. Bukannya wali atau keramat. AKu cuma manusia biasa dengan panduan naluri aku sendiri.
Aku tahu, apa sahaja yang timbul, hanya untuk kegunaan aku, demi kegembiraan aku. Aku mungkin boleh menyertai syarikat yang mempunyai laba 300 juta setahun, tetapi adakah aku akan gembira?
Aku juga mungkin mengelak syarikat yang kerugian 60 juta setahun. Itu mungkin otak, tapi mungkin juga naluri, sebab dalam dunia maklumat sekarang, masalah paling besar adalah mengenalpasti maklumat mana yang betul dan sumber mana boleh dipercayai.
Semua orang berbohong, kata House. Betul juga, kalau dia sendiri tidak menipu.
Hari-hari yang mendatang, aku tak percayakan sesiapa, kecuali diri aku sendiri. Sebab aku dan diri aku, kami dalam kumpulan yang sama. Dalam bot yang sama. Aku tak tahu apa yang bakal mengundang, tapi aku akan hadapi dengan hati yang terbuka dan senyuman yang sedikit luarbiasa (pasal aku nak cover kotoran nikotin pada gigi).