Friday, December 19, 2008

Sang Nila Utama

Dulu, aku ingat Singapura tempat orang jual tuala.

Pasal mak aku sibuk pergi Singapura, pada suatu masa dahulu. Dan dia beli tuala.

Aku juga fikir, semasa aku muda-muda dulu, yang Singapura ialah tempat jual emas dan barang kemas.

Jadi, dalam kepala hotak aku, aku dapat bayangkan Singapura sebagai sebuah pekan kolonial, beca roda dua berisi mat salleh ditarik oleh orang tua memakai tudung saji di kepala, melalui jalan-jalan yang dipenuhi dengan orang yang mengamalkan sistem pertukaran barangan. Emas untuk tuala. Pakai tahil, dengan penimbang kayu.

Aku cuma pergi ke Singapura, pertama kali ke luar negara, pada tahun 2003. Ke, 2004.

Aku tengok, orang Singapura baik-baik perangainya. Semua drebar teksi dia pergi aje ke mana aku nak. Tak macam pemandu teksi Malaysia. Kita pulak kena pergi mana dia nak. Pastu bayar pulak tu. Orang Singapura, takdelah macam setan sangat. Diorang mandi. Tak macam yang aku baca dalam suratkhabar.

Imej yang aku ada masa tu ialah orang Singapura pencuri air. Beli air satu sen, jual balik 60 sen. Lebih kurang la. Dan aku fikir, dengan pengetahuan mentah aku, betapa bodohnya orang Malaysia yang pergi beli air sendiri dengan harga bodoh macam tu.

Aku sebenarnya tak faham hubungan Malaysia-Singapura. Aku mengaku. Aku tahu sejarahnya, serba sedikit. Tapi aku masih tak faham.

Macam pasangan yang dah bercerai. Pastu gaduh.

Singapura beli roket yang hanya boleh serang Johor. Keluar suratkhabar. Angkuhnya kenyataan yang dikeluarkan.

Taknak pulak Malaysia beli roket yang boleh sampai Singapura?

Dulu, masa aku suka bolasepak tempatan, zaman semi-pro, aku akan tengok hampir semua perlawanan antara Singapura dan negeri lain. Pasal aku nak tengok Singapura kalah. Aku pun tak tau apasal aku memang berprasangka terhadap Singapura.

Aku rasa, tak perlu semua ni.

Walau sebenci mana pun aku dengan jiran aku dekat kampung, pasal bawak mulut dan pinjam barang tak bagi balik, aku masih mengucapkan takziah pada keluarganya masa dia mati. Tu yang buat jahat secara terus kepada aku dan keluarga aku tu.

Dan aku takkan berpura-pura yang aku tahu secara menyeluruh semua yang berlaku antara Singapura dan Malaysia. Cuma, yang aku percaya, aku tak perlu nak membenci atau membawa rasa syak wasangka aku terhadap negara itu dan penduduknya.

Cuma, maafkan aku kalau aku tidak mahu membeli air aku sendiri pada kadar yang teruk sebegitu. Kau boleh ambil sebanyak mana air yang kau perlukan. Sebagai manusia, selagi belum menjadi binatang, aku fikir semua punyai hak untuk mendapat air minum yang cukup. Kalau tak minum, nanti dapat batu karang. Sakit tu.

Tapi, aku mungkin akan beli tuala. Kalau ada.