Wednesday, June 5, 2013

Pesan Atuk Boron (Lelaki Paling Bosan dalam Sejarah Peradaban Dunia)

Zaman aku muda-muda dulu, aku nak buat komik. Kalau bukan komik, aku nak buat kartun.

Jadi, aku pun lepak dengan artis-artis komik, penulis dan pelukis komik. Juga pembuat animasi, special effects, etc.

Borak punya borak, aku tanya, "Apa kau nak buat, sebenarnya? Kenapa kau nak buat komik/kartun?"

Ada banyak jawapan, tapi satu hamba Allah ni cakap, "Aku buat kartun untuk menggemparkan industri kartun Malaysia."

Aku diam kejap, pastu aku kutuk dia.

"Lepas kau gemparkan industri kartun Malaysia, apa kau nak buat?"

Dia senyap. Kemudian mengaku dia tak pernah fikir lagi jauh daripada itu.

Pertama sekali, kartun dan animasi kat Malaysia ni masih belum capai tahap industri.

Industri hiburan Malaysia, secara keseluruhan, pada tahun 2010, bernilai RM20 billion, kata sesetengah orang dalam suratkhabar pada tahun itu. Perlu diingat, walaupun pada masa tu, aku tak fikir angka ini senang untuk disahkan.

Daripada RM20 billion ni, jualan muzik langsung hanya dalam RM40-50 juta, walhal 15 tahun lepas, angkanya RM200 juta. Filem? Entah. Ada la dalam RM70-100 juta di pawagam pada tahun yang baik (berdasarkan 70++ filem ditayang setahun, walaupun purata kutipan biasanya kurang RM1 juta satu filem baru-baru ini), angka yang sama kat Astro First KOT, dan jualan DVD yang... bergantung pada lanun cetak rompak.

Tolak benda-benda obvious ni, kita kata la satu billion - ini pun dah amal jariah dah ni. Yang RM19 billion lagi daripada bahagian mana?

Aku fikir, yang lain tu banyaknya live events. Acara di lokasi. Konsert-konsert, acara jenis JomHeboh. Kemudian, TV. TV banyak buat duit, bai. Ratus-ratus juta. Berbillion.

Pun masih tak cukup RM20 billion.

Aku kira-kira, mana datang angka RM20 billion tu? Ada menteri sapu RM15 billion ke? Tu masalahnya menatang ni. Aku takde data yang sahih dan sumber yang sah. Nak harap KEKKWA, dulu Rais Yatim pegang. Tulis nama dia pun nanti kena saman. Apa la orang tua tu.

Apa pun, point aku ialah: industri kartun dan animasi ni kecik. Kalau semua orang nak gegarkan, ranaplah dia. Macam semua duduk kat pondok, pastu bila ada lima ekor menyamar monyet, runtuhlah pondok tu. Semua nak menggempar industri.

Bukan tak boleh, bagus sebenarnya, tapi aktiviti menggempar ni, biasanya selfish. Nak buat pasal nak rasa diri sendiri best. Ini penghakiman aku. Aku fikir, mana-mana cabang seni harus kembali ke teras asalnya - komunikasi dengan manusia.

Dalam komunikasi, ada masa kita bercakap, tapi 90% sebenarnya kita harus luangkan untuk mendengar. Kalau semua orang habiskan 90% masa bercakap, siapa nak dengar?