Sunday, February 3, 2013

Tinju Maut Dunia Paus

Masa aku mula-mula datang KL, aku jumpa ramai penulis Melayu yang lebih omputih daripada omputih.

Bukan saja daripada segi bahasa, tapi daripada segi kandungan, pemikiran dan lain-lain.

Aku duk baca dan perhati apa yang diorang tulis. Aku fikir, itu bukan jalan yang aku nak lalu. Pasal apa? Pasal kalau ko nak menulis macam omputih, pasal omputih, dengan watak-watak omputih, bertempat di negara omputih, buat apa omputih nak baca cerita kau? Baik omputih baca penulis omputih.

Robert J Sawyer ialah seorang penulis sains fiksyen omputih. Dia orang Kanada. Dia antara penulis sains fiksyen tersohor di dunia, tapi dia bermula di Kanada.

Aku baca banyak temuramah dengan dia, sebab aku suka dua buku dia - The Terminal Experiment dan Calculating God. Dia cakap, dia jadi masyhur sebab 'positioning'.

"Zaman aku mula-mula start dulu," kata Robert J Sawyer dalam Bahasa Malaysia, kat Mahbub, "Semua penulis Kanada berhijrah ke US, sebab US best, US ramai penulis sci-fi. Apalah yang ada kat Kanada ni.

"Jadi yang tinggal kat Kanada, cuma dalam 4-5 penulis sci-fi. Jadi, bila ada majalah atau apa-apa rancangan pasal sci-fi Kanada, mereka akan panggil aku atau yang 4 ekor lagi ni. Atau semua sekali, dan aku mesti ada."

Robert mendirikan monopoli secara tak sengaja dengan menjadi antara beberapa kerat penulis sci-fi di Kanada. Akhirnya, buku-buku karyanya menjadi kemestian penggemar dan pengumpul sci-fi. Mana ada koleksi sci-fi yang lengkap kalau tak ada buku sci-fi penulis Kanada, ataupun komik opera angkasa lepas Eropah seperti Metabarons, Technopriest dan The Incal.

Jadi aku rasa tindakan penulis-penulis berbakat dalam Bahasa Inggeris yang mahu melabelkan diri sendiri sebagai lebih omputih daripada omputih, sebagai keputusan yang agak canggung.

Aku sendiri, aku tak pernah terfikir untuk menulis kisah cinta di New York, pasal aku tak pernah pergi New York - malah, aku tak pernah menjejakkan kaki ke luar Asia Tenggara. Semua percutian aku ke Thailand yang bagi aku jauh lebih eksotik daripada New York, London atau Paris.

Kalau aku menulis pasal watak MaryJane berjumpa Donald McDonald di New York, mesti tak realistik. Kalau aku bercuti setahun pun kat sana, aku yakin aku takkan dapat menangkap intipati pemikiran dan pandangan unik orang New York.

Aku cuma tahu pasal aku, sebab 90% masa setiap hari aku luangkan untuk fikir pasal diri sendiri dan 10% pasal seks.

Tapi, tiada paksaan dalam penulisan, mahupun Islam. Aku rasa semua penulis patut tulis apa dia nak tulis, kemudian habiskan penulisan mereka. Siapkan semuanya.

Dengan kata-kata itu, aku pun nak habiskan ada cerpen buat pengeluar pengisian sektor telekomunikasi ni. Aku dah jumpa lubang untuk menjual penulisan aku bukan hanya melalui buku, dan filem, tetapi juga teknologi maklumat.

Doakan aku kaya, pasal aku tak pasti berapa banyak aku boleh jana pendapatan daripada usaha dan platform yang ini.