AKu rehat kejap daripada buat kerja aku, untuk menumpukan pada karya orang lain pulak.
Novel bawah label Buku Fixi atau Fixi pertama aku baca adalah Pecah, karya Khairulnizam Bakeri (KNB atau kat Twitter dia @nizambakeri je).
Ada lagi dua buku - Kougar (Shaz Johar) dan Cekik (Ridhwan Saidi) yang apabila bergabung, membentuk Maskman! Eh, maksud aku, membentuk tiga novel pertama Fixi seterusnya menentukan rentak projek ini. Sekurang-kurangnya untuk gelombang awal.
Aku baru habis baca Pecah tadi. Berani aku katakan, novel ini senang dilabelkan sebagai novel genre fiction dengan rentak crime thriller atau Bahasa Melayunya, fiksyen bergenre jenayah mengujakan. Kah kah kah. Cerita pasal rompakan bank yang bukan setakat jenayah berenjata, tetapi adalah sebahagian rancangan rumit membabitkan balas dendam, seks, dan sejarah keturunan. Juga, harta karun. Ambik ko!
Walaupun begitu, Pecah ditulis dengan lenggok bahasa dan gaya novel 'sastera'. Jenis yang macam DBP selalu terbitkan, sampailah masanya, DBP berputus asa menerbitkan novel dan lebih giat mencetak buku teks, demi memartabatkan sastera Melayu.
Pertama kali baca, aku memang terasa kehilangan Kamus Dewan aku, pasal kosa kata Pecah amat luas. Lepas dua-tiga bab, aku pun cakap, "Pergi mampus Kamus Dewan (juga terbitan DBP, kan?)" dan terus membaca cerita itu sendiri, sebab plot dan rentaknya agak laju. Perkataan aku tak paham, aku boleh agak maksudnya daripda ayat.
Kalau dulu, aku selalu mengomel dan merengek, pasal novel Melayu biasanya 99% mengelamun. Keluar rumah, mengelamun. Kayuh basikal, mengelamun. Duduk minum kopi, mengelamun. Mengumpat, mengelamun. Berak, mengelamun. Bila nak actionnya, wei?
Aku baca Relung - Sasterawan Negara mana entah tulis - dan walaupun ada adegan bunuh harimau, diceritakan dalam bentuk mengelamun.
Bukan salah, dan bukan buruk. Gila ko, aku nak cakap novel-novel sastera buruk. Tak, cuma aku baca, banyak novel sastera sepesen je. Macam lekat dan terbatas pada tahun 60an.
Pecah memecahkan tradisi bukan sahaja dengan menggabungkan gaya bahasa novel sastera dengan genre fiction. Pecah bermula dengan penuh aksi, seolah-olah ingin dibuat filem jenis caper atau heist yang sekarang dipopularkan oleh Guy Ritchie. Sepanjang novel itu juga banyak dimuatkan aksi-aksi yang menyegarkan. Macam baca thriller omputih, tapi dengan Bahasa Melayu yang kuat.
Sebagai seorang penulis novel pertama yang datang seolah-olah dari padang kiri (muahahaha!), Nizam memang membawa kelainan. Namun, perlu diingat yang aku ni bukan baca buku sangat. Aku baca komik. Haruki Murakami tu sapa? Mitch Albom tu, jual kuih bom ke? Aku tak kenal. Kafka, bagi aku, sama macam couscous. Neil Gaiman, Alan Moore, Brian Michael Bendis, aku tau. Brian Michael Bendis dengan Warren Ellis jawab tweet aku ari tu, dan aku senyum selama dua hari. Senyum aku terhenti pada hari ketiga sebab ada orang tak bayar duit aku. Dah bayar dah, jadi okay lah. Hahaha.
Jalan cerita Pecah penuh berselirat dengan beberapa misteri dan jalinan plot yang best. Aku sebenarnya lebih tertarik dengan beberapa watak daripada watak yang lain, jadi aku menunggu pendedahan kisah mereka.
Nizam telah menjalin cerita yang berlapis. Dapat aku rasakan cintanya pada karya medium novel ini. Sesuatu yang dibuat dengan rasa cinta dan hormat pada medium itu sendiri sememangnya lebih sedap dibaca daripada karya dengan motivasi lain.
Plotnya memang kaya - sekaya bahasanya - dan bilangan watak yang agak ramai buat aku rasa best membaca. Sensibiliti Barat yang digunakan juga memudahkan pembacaan, mengikut susur-galur novel thriller yang lain.
Aku suka penilitian dalam Pecah. Ada Ayam Goreng McD dan Double Cheeseburger dinyatakan dalam cerita, sebab aku fikir makanan itu penting, walaupun aku lebih suka Quarter-Pounder with Cheese.
Namun, aku rasa pengakhiran novel ini sedikit mengejut. Salah satu misteri cerita yang dipegang sampai akhir, penyelesaiannya seperti memandu atas jalan di tepi pantai dan tertekan brek apabila rusa melintas. Walaupun aku tak tau apa pasal mesti ada rusa kat tepi pantai. Tapi, kat Kuantan, yang ada pantai, memang ada orang bela rusa dengan pinjaman badan-badan kerajaan.
Dan, walaupun aku amat menggemari karya yang dapat memperkayakan dan memperkosakan, eh, memperkasakan kosa kata aku, aku rasa Nizam tak perlu terlalu bersastera, mungkin. Aku takut khalayak (chewah!) akan bimbang membaca novel ini kerana bahasanya agak kaya. Mungkin juga ada yang akan tertarik, sebab bahasanya. Ada orang, suka makan kek. Ada orang tak suka.
Ah! Itu bukan sesuatu yang Nizam atau aku perlu risaukan. Sakit kepala itu, milik Amir Muhammad, yang harus menjual buku ini. Dan mungkin tak sakit pun. Pasal, kalau kau dapat baca buku ni, maka kau akan kelihatan segak dan berpelajaran tinggi, walaupun hanya lulus SPM.
Aku sarankan agar kamu semua membaca Pecah, walau hanya jika novel ini membawa nafas baru kepada genre fiksyen dan novel sastera. Malah, aku rasa kalau dibuang plot jenayahnya, dan ditambah dalam 30,000 patah perkataan dipenuhi watak-watak yang mengelamun, aku rasa novel Pecah ini layak diterbitkan DBP dan dinobatkan sebagai 'novel sastera'. Aku sebenarnya lebih suka novel ini seadanya.