Aku sudah lama ingin menerjemah karya Eckhart Tolle agar senang difahami oleh ramai orang Melayu.
Namun, aku sedar yang apa-apa percubaan untuk mengubah pola pemikiran sesiapa pun akan berakhir dengan berak, atau kalau ini filem Melayu, dengan air mata dan bukak stokin.
Kalau aku kaitkan dengan ajaran Islam, nanti aku kena tangkap dengan orang gila.
Jadi mari aku ulas dalam bentuk yang lebih sekular dan mudah difahami.
Ini tiada kaitan dengan agama. Kalau ada, tidak disengajakan.
Malam ini, aku nak cakap pasal niat. Niat adalah perkara paling penting dalam apa-apa perbuatan.
Niat terjadi dan diilhamkan setiap detik kita membuat apa-apa. Niat tidak hanya terjadi pada awal perbuatan. Malah, niat adalah intipati setiap perbuatan dan perlakuan.
Niat memacu setiap perbuatan dan mengenengahkan setiap jenis tenaga yang kita unjurkan pada dunia.
Niat yang jahat akan mengeluarkan tenaga yang negatif. Niat yang baik akan menghasilkan tenaga yang suci. Tenaga ini akan menggerakkan kita, jadi hati-hati dengan niat, ya?
Niat boleh menjadi buruk dengan sekelip mata jika kita dengan senang mahu dipandang tinggi atau mahu memainkan apa-apa watak palsu agar dilihat super.
Hakikatnya, tiada siapa yang 'super' sebab kalau kita super, maka kita jadi Superman. Superman hanya wujud dalam halaman komik.
Kita juga bukan lemah. Kita amat kuat sebab kita adalah alam semesta. Kita bukan sebahagian daripada alam semesta, kita adalah alam semesta.
Tiada baik, tiada jahat. Tiada betul, tiada salah. Semua adalah label semata-mata yang kita lekatkan sebab kita malas. Malas juga satu label.
Apapun, ingatlah pasal niat, dan ingat yang semua tenaga yang dikeluarkan boleh dituai dan digunakan, ditukar dan diterbalikkan menurut apa sahaja kehendak kita.