Aku membesar dalam keluarga yang bercakap Bahasa Malaysia loghat Pahang.
Loghat Pahang ni, dia slow, dia perlahan, dia ada ritma. Ada lenggok.
"Nok ke mana di tu?" (Awak hendak ke mana tu?) dengan sebutan sebegini: "Nowk ke manee Di tuUUuu?"
"Matnya di nok buat gitu? Wii baleee!" (Apa tujuan (mat = matlamat?) awak buat macam tu? Habislah!)
Kalau pergi ke Jerantut, loghatnya lain dengan loghat Pekan, dengan dialek Rompin. Orang Pahang memang jenis yang santai, tak suka ribut-ribut. Kalau berdrama pun, jenis drama yang membara dengan perlahan.
Ini lain, pada pandangan aku, dengan orang Kelantan yang terus beraksi agresif, juga orang utara yang sama kerasnya. Orang Johor, kalau marah, ritmanya tersusun dan tegas.
Apapun, aku membesar dalam loghat Pahang yang malas dan santai.
Selepas beberapa lama, aku mula membaca dan bahan bacaan Inggeris memang paling menghiburkan. Rancangan TV juga banyak membantu aku menguasai bahasa tersebut.
Aku mula bertutur dalam Bahasa Inggeris hingga menjadi bahasa utama aku. Aku mula berfikir yang Bahasa Malaysia sukar untuk dijadikan bahasa yang dinamik dan juga bahasa akademik.
Aku fikir sebegini hinggalah aku terjumpa penulisan Ahmad Kamal Abu Bakar yang menulis tentang ahli falsafah, penyair dan pendita yang aku hanya baca dalam Bahasa Inggeris.
Agak lucu bila aku baca perihal Sartre dalam Bahasa Malaysia, juga Nietzche (betul ke ejaan ni), Goethe, Plato dan yang lain.
Aku dapati bahasa hanyalah tunggangan idea, dan kalau diperhalusi betul-betul, mampu menyampaikan idea dengan mustajab kepada pendengar berbeza.
Dalam dunia dengan media yang semakin rumit, aku rasa penguasaan lebih daripada satu bahasa amat penting untuk kekal relevan.
Pengkhususan dan penumpuan aku pada Bahasa Inggeris telah memberi manfaat kepada aku, dan aku mahu pertajamkan penulisan Bahasa Malaysia aku, baik dalam prosa moden mahupun klasik.
Sejak beberapa tahun lepas, aku telah diberi tugas penerjemahan yang, pada masa aku tiada pekerjaan dan menjadi hamba berhutang, telah meletakkan sepinggan nasi dan sepiring lauk atas meja aku, atau meja kedai.
Aku tidak rasa ada canggungnya kalau berbahasa Malaysia. Bahasa itu sendiri tidak bersalah.
Antara kebimbangan mereka yang melontar Bahasa Malaysia jauh-jauh adalah imej dan keinginan untuk tampak profesional. Aku kira ini tidak adil. Gunalah apa sahaja bahasa, yang penting mesejnya sampai.
Ada juga yang kurang selesa sebab mereka jarang menggunakan Bahasa Malaysia dalam pertuturan mahupun persuratan. Jadi penggunaannya janggal. Aku akui yang aku juga rasa menulis dalam Bahasa Malaysia sebagai sesuatu yang tidak datang dengan sendiri.
Apa yang aku usahakan adalah membaca buku-buku Bahasa Malaysia yang aku senangi. Aku suka membaca teks-teks lama dan aku suka pantun. Aku suka cerpen-cerpen Bahasa Malaysia selepas Perang Dunia Kedua dan sebelum 1980an.
Penulis berbahasa Malaysia kesukaan aku adalah Uthaya Sankar SB. Mesejnya lantang, pendiriannya tegas, namun kehalusan bahasa dijaga.
Untuk menulis dalam Bahasa Malaysia moden, aku dapati jenis prosa yang telus seperti naskah skrip pentas Namron (Matderihkoloperlih, Lembu) sebagai contoh ulung.
Aku tidak akan berhenti belajar dan memperhalusi bahasa aku, walaupun dalam mencarut, sebab masa untuk aku berhenti belajar adalah pada ketika nyawa putus dari badan.