Friday, October 11, 2019

Ulasan Filem: Geran

Geran boleh menjadi antara filem paling baik pernah dihasilkan oleh Malaysia sekiranya ia membuang separuh watak dan jalan ceritanya. Tetapi ini mungkin bukan salahnya, tetapi salah masyarakat.

Pada awal abad ini, ada beberapa rakan yang menerbitkan majalah komik membuat tinjauan - apakah pembaca majalah komik mahukan dalam majalah komik? Adakah lebih komik? Lebih artikel hiburan? Cerita hantu? Ruangan pojok? Kisah misteri? Fantasi, sci-fi, cinta?

Jawapan yang diberikan oleh mereka yang sanggup menyertai tinjauan itu ialah "semua sekali".

Akibat dosa lampau itu, pada malam tadi, aku telah menonton satu filem yang sarat dengan semua jenis benda yang mungkin penonton Melayu suka. Geran ada elemen-elemen Bunohan, seluruh francais The Fast and the Furious, siri John Wick, siri Pendekar TV3 (90an), dan Faizal Hussein.

Hasilnya ialah seperti makan hidangan mirip nasi ambeng - ada nasi, tempe, mi goreng (ya, mi goreng!), bergedel, rempeyek, sambal goreng, ayam, serunding, rendang dan macam-macam lagi. Tambah pulak lasagna dan kek coklat.

Pastu kau blender.

Aku orang Bugis, jadi aku tak reti makan makanan Jawa ni. Apatah lagi kalau kau blender. Dan sama macam nasi ambeng, kalau aku cuba 'makan' semua hidangan dia, aku akan sakit perut.

Pada asasnya, Geran ialah filem aksi silat. Kisahnya bermula dengan krisis keluarga Pak Nayan (Namron) apabila anak bongsu Pak Nayan, Mat Arip (Fad Anuar) menggadai geran tanahnya kepada Haji Daud, seorang lintah darat.

Konco-konco Haji Daud pergi menggertak keluarga Pak Nayan, tetapi dalam pulasan plot yang menyegarkan, anak perempuan Pak Nayan, Fatimah (Feiyna Tajudin) telah membelasah mereka semua.

Lagak aksi dalam Geran adalah yang terbaik aku pernah saksikan dalam filem Malaysia. Ada sedikit kekurangan pemilihan sudut kamera dan suntingan, tetapi aku rasa puas menonton aksi pertempurannya.

Malang bagi aku, pembikin filem ini juga memasukkan aksi memandu lasak dalam babak-babak lumba haram yang aku fikir seperti memakan nasi berlaukkan mi goreng.

Walaupun latar perlumbaan juga amat menyegarkan sebab aku nampak kedai-kedai pekan kecil di belakang, dan pembikin tidak cuba menjadikannya 'berperisa antarabangsa' dengan memasukkan Stonehenge (Puteri Gunung Ledang) atau kabus (Motif), atau berpura-pura perlumbaan haram itu berlaku di negara lain.

Loghat yang digunakan juga ialah loghat Utara  - dan ini bukan siri filem Mami Jarum! Macam filem Polis Evo yang ada menggunakan loghat Terengganu, Gedebe dan Budak Kelantan yang menggunakan loghat Kelantan, aku rasa ini bagus. Loghat utara pun tak susah sangat nak faham, jadi tak perlu bergantung pada subtitle.

Kepada yang pentingkan struktur, struktur filem ni ke laut. Dua babak pertama yang banyak bertumpu pada Mat Arip hanya menceritakan kisah yang cukup supaya hero sebenar Ali (Koharullah) boleh berpura-pura Johnny Cage/John Wick dan berlawan dengan orang jahat sepanjang babak ketiga.

Babak ketiga ini juga menjadikan filem ini seolah menjadi filem lain. Dua babak pertama menggunakan suntingan antara babak aksi dengan babak perlahan dengan bersilih ganti, antara satu kumpulan watak yang terlalu besar. Hasilnya, nampak seperti jalan cerita compang-camping. Mungkin sebab banyak sangat kisah yang hendak dimuatkan?

Punyalah sarat isi yang hendak diketengahkan, kisah tentang pergaduhan Pak Nayan dan Haji Daud diceritakan dalam dialog dan satu atau dua imbasan kembali tanpa konteks. Ini nampak seperti sebuah filem lain.

Babak ketiga hanya menumpukan pada seorang watak - Ali - dan ini memberi nafas baru kepada naratif yang berkecamuk. Seperti sebuah permainan video, atau filem aksi gred B Charles Bronson,  Ali hanya perlu membelasah seorang demi seorang yang bermuka jahat sampailah dia terjumpa penjahat sebenar. Ini satu-satunya fungsi Ali, sama seperti Bronson dan Wick, atau watak permainan video lawan-lawan. Ini sebenarnya bagus! Tidak semua watak perlu ada arca watak (character arc). Kalaulah babak ketiga itu sahaja dikembangkan sehingga menjadi sebuah filem lengkap.

Namun, masalah perwatakan tidak hanya pada Ali.

Mat Arip digambarkan sebagai seorang taik judi yang membebankan keluarga. Sampai ke akhir cerita (SPOILERS!) dia tidak pernah ditunjukkan menyesal atau menyelesaikan arca wataknya dalam apa-apa cara. Ya, dia dibelasah dan menjadi tebusan pada akhir cerita, tetapi adakah dia insaf?

Mat Arip juga amat minat berjudi sampai dia berjudi dengan tiga kumpulan berbeza - dua untuk perjudian seni bela diri, dan satu kumpulan lagi untuk perjudian lumba haram. Aku fikir, satu sahaja sudah cukup.

Watak Pak Nayan juga tidak dikembangkan sangat. Pada awal cerita, semua watak, jahat atau baik, berpendapat yang Pak Nayan mampu sahaja melunaskan hutang anaknya, dan sebab dia tok guru kepada anak-anaknya yang paling hebat bersilat, maka buah pukulannya mungkin boleh dikesan oleh skala Richter.

Malah, Pak Nayan sendiri mengherdik anak-anaknya dengan berkata, "Aku orang tua, taulah aku nak buat lagu mana!"

Malangnya, selepas memeriksa baki simpanan Tabung Haji beliau, Pak Nayan memutuskan yang dia tidak mampu menyelesaikan masalah hutang Mat Arip.

Dia juga tidak melibatkan diri dalam mana-mana pertempuran dan hanya bertasbih semasa anaknya menghadapi kumpulan penjahat.

Ada pelbagai plot hole dan persoalan yang tidak dijelaskan. Selepas Ali membelasah konco-konco lintah darat, apa terjadi kepada hutang Mat Arip? Apa jadi pada gerannya? Adakah membelasah pemiutang jalan penyelesaian untuk pinjaman bank dan pinjaman PTPTN?

Adakah kita akan lihat deretan peminjam PTPTN beratur untuk berlawan dengan pegawai PTPTN dengan ketangkasan dan ilmu seni bela diri semakin tinggi di setiap tingkat bangunan PTPTN yang berbeza? Adakah Pengerusi PTPTN, Wan Saiful, seorang pakar seni bela diri?

Aku tak fikir yang memukul pegawai bank ialah cara untuk melunaskan hutang tanpa menggadai tanah pusaka ayah kita.

Satu lagi, dan ini SPOILER besar:



Keluarga Nayan tidak kalah satu pertempuran pun, kecuali Mat Arip - itupun setelah mengalahkan enam orang lain. Jadi, kalau Mat Arip ingin berjudi, atau pinjam duit orang tanpa bayar balik, dia hanya perlu meminta pertolongan abangnya, seperti Ultraman. Dan kalau tidak cukup abangnya, seluruh penduduk kampung mereka ialah pakar-pakar silat yang mampu menewaskan semua orang.

Namun, aku amat terhibur dengan semua babak pertempuran Geran. Terutama, apabila Timah berlawan. Aku fikir semua babak lumba haram tidak perlu dan boleh dibuang. Kisah asal-usul permusuhan Haji Daud dan Pak Nayan juga sebenarnya patut wujud dalam satu filem lain.

Aku juga kurang gemar dengan tajuk filem ini. Geran mengingatkan aku kepada geran Finas, atau geran kereta. Walaupun aku faham yang tanah ialah isu orang Melayu yang malar hijau, tetapi seperti dalam Bunohan yang juga mengisahkan perebutan tanah, "Yang sudah tu, sudahlah."


Geran: 2/5 bintang. Tambah tiga bintang kalau kau menonton selepas tersekat sejam setengah dalam kesesakan lalulintas. Tolak 500 bintang kalau anda hanya menonton 'filem seni'.

Oh ya, ada mid-credit scene yang menunjukkan muka sebenar Haji Daud di Turki. Kita tahu ini negara Turki sebab dia duduk dalam satu bilik/kabin kapal yang dihias dengan bendera Turki dan ada pelbagai lukisan dan buku tentang Turki, Mesir dan negara-negara rantau itu. Haji Daud memalingkan mukanya dan kita dapat lihat bahawa Haji Daud ialah Faizal Hussein!

Aku harap ini bermakna akan ada filem sambungan dalam dunia Geran-verse atau Nayan-verse ini. Mungkin filem kedua (tajuk: Lepas Geran, credit to Nadiah Hamzah yang aku jumpa lepas menonton filem ini) akan menampilkan Ali dan Fatimah (hint, hint) keluar membalas dendam untuk sesuatu seperti John Wick lelaki dan perempuan. Atau Geran Theft Auto, spin-off yang bertumpu kepada Mat Arip dalam cerita lumba haram mirip Fast and Furious.

Geran ialah hiburan ringan yang aku fikir kita perlukan selepas menyelami peperangan kelas dalam Parasite dan Joker.