Friday, December 21, 2018

Ulasan Filem: The Spiral

Saya pergi menonton filem ini dalam keadaan risau dengan kesihatan kewangan saya dan negara, sambil bimbang juga dengan beberapa teman saya yang sedang bergelut dengan beberapa krisis lain. Saya juga risau dengan elemen-elemen penghasut yang cuba mengacau ketenteraman dengan mengapikan semangat perkauman toksik. Bagaimanakah kerajaan Pakatan Harapan mampu menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang mangsa (ya, mangsa) untuk bekerja ke arah kesejahteraan ekonomi dan tidak tertipu dengan dakyah politikus yang hanya dahagakan uang dan perempuan (dan kadangkala lelaki comel)?

Namun, setelah menonton filem ini, saya keluar panggung dibelenggu dengan persoalan yang jauh lebih mencabar: Kenapa? Atau lebih tepat lagi, Kenapaaaaaaaa?

SPOILER: ULASAN BERIKUT MENGANDUNGI SPOILER FILEM THE SPIRAL DAN KESERONOKAN MENONTON FILEM INI (JIKA ADA) BERGANTUNG JUGA KEPADA SELAKAN LEMBARAN CERITA YANG AGAK MELIUK-LINTUK. JANGAN BACA SEKIRANYA ANDA MAHU MENGALAMINYA SENDIRI.

Filem The Spiral mengisahkan Jon(?) Caine (lakonan Peter Davis) yang membunuh semua orang yang dia jumpa. Dia membunuh Siti Saleha dalam sebuah kelab malam, penjaga-penjaga keselamatan di semua bangunan, dan juga semua orang dalam sebuah kopitiam yang menjual rokok Hillman yang saya kira pastilah rokok seludup walaupun berharga RM20.

Dia diberkas oleh polis wanita bertopeng yang menyuntik diri sendiri dengan sesuatu sebelum terjelepuk ke tanah, bangun semula dan berlawan dengan Caine.

Dr Melanie Surya (Siti Saleha) telah ditugaskan sebagai pakar psikiatri Caine. Dialog antara Caine dan Melanie bagi saya amat merunsingkan, sama tahap dengan perbualan antara Clarice Starling dan Hannibal Lecter dalam Silence of the Lambs, tetapi untuk sebab yang berbeza.

Saya menyalahkan diri sendiri sebab tidak mampu ingat semua bait dialog mereka, tetapi yang wujud dalam kepala saya hanya perbualan seperti ini:

Melanie: You killed people!
Caine: Are you in love?
Melanie: Dunno?

Ini bukanlah dialognya, tetapi saya jamin, kesannya hampir sama. Dialog dalam filem ini saya fikir seperti dalam draf pertama sebuah skrip atau mungkin cerpen. Dalam usaha untuk mengelak daripada menjadi predictable atau senang dijangka, dialognya bertukar menjadi tidak boleh dijangka langsung.

Sementara itu, kekasih Melanie, Dave (Ben Pfeifer) sedang ke kedai bunga, tetapi terserempak kekasih lama beliau. Lantas, Dave terus membawanya ke kedai kopi dan memulakan satu siri eksposisi tentang latarbelakang Dave (seorang kaki botol yang 'diselamatkan' oleh Melanie) dan hajatnya sekarang - ingin melamar Melanie dengan sebentuk cincin dalam glove compartment keretanya - INGAT! INI PLOT POINT PENTING!

Beberapa babak kemudian, Caine melepaskan diri dan membunuh ramai pengawal keselamatan dan juga Shaukat - seorang penggusti profesional tempatan ternama dalam dunia sebenar dan seorang anggota polis dalam The Spiral.

Kemudian, Melanie dan polis wanita bertopeng mendapati yang mangsa di tempat yang diberitahu oleh Caine ialah Caine sendiri yang telah dibunuh tiga bulan sebelumnya. Melanie bergegas ke rumah Dave di mana Caine membunuh lelaki itu di depan Melanie sebelum menghilangkan diri seperti Megatron dalam filem Transformers Michael Bay yang ada tajaan syarikat China (filem ketiga atau keempat, saya dah lupa).

Melanie kemudian meminta untuk diberikan kereta Dave, dan dia terjumpa cincin lamaran dalam kereta itu untuk babak sedih. - INGAT TAK TADI DIA CAKAP ADA CINCIN DALAM GLOVE COMPARTMENT?

Melanie kemudian berjumpa dengan Patrick Teoh yang menerangkan bahawa String Theory mencadangkan ada 11 dimensi kesemuanya dan mengajar Melanie bagaimana untuk masuk dimensi lain dengan menggunakan slaid Microsoft Powerpoint.

Melanie kemudian berusaha untuk masuk dimensi lain dengan menggunakan kaedah astral projection, yang hanya memerlukan dia duduk bersila, atau melakukan yoga. Malangnya, tetapi tidaklah mengejutkan, kaedah ini gagal.

Kisah di belakang cerita ini, satu perkara yang rumit. Ia melibatkan sejarah pengembaraan merentas dimensi selama lebih 1000 tahun, perjumpaan dengan lelaki botak kurus dengan cat di badannya, antara rambut palsu paling buruk dalam sejarah rambut palsu selepas rambut palsu Datuk Rahim Razali dalam Hikayat Merong Mahawangsa, rambut palsu Norman KRU dalam filem Skrip 7707 mahupun misai palsu Azwan Ali dalam Pontianak Harum Sundal Malam.

Kisah ini juga digambarkan dengan tidak kurang daripada tiga animasi 3D atau kesan khas yang saya fikir mungkin hasil projek akhir tahun pelajar animasi 3D yang berbakat. Antaranya termasuk sebuah perpustakaan yang (mungkin) mengandungi semua pengetahuan dalam dunia, KL 30 tahun di masa depan, alam dimensi seperti dalam filem Dr Strange (tetapi dengan bajet jauh lebih kecil).

Akhirnya, penonton dapat tahu yang Caine asalnya ialah seorang pendita yang telah mencapai pengetahuan usang pasal kesemua 11 dimensi dan telah cuba membawa pengetahuan itu kepada manusia dalam dimensi berlainan. Dalam salah satu dimensi tersebut, dia terserempak dengan Katarina, seorang doppelganger Melanie yang telah memerangkapnya dalam kitaran cinta dan benci yang menjadikannya seorang yang berdendam.

Dendam kesumat ini menjadikan Caine seorang pembunuh yang hanya mahu menyeksa dan membunuh semua kewujudan Melanie dalam semua dimensi, seperti watak jahat Jet Li dalam The One.

END OF SPOILERS.

Saya fikir, usaha untuk menyampaikan cerita ini sama dengan percubaan menerangkan String Theory menggunakan hanya slaid Microsoft Powerpoint.

String Theory ialah satu teori fizik yang berat dan mendalam, dan telah memukau pakar-pakar fizik seperti Dr Sheldon Cooper dan Dr Raj Koothrappali. Ia sukar untuk diterangkan dengan begitu sahaja, walaupun sering dibuat oleh Hollywood. Antara paling menjengkelkan ialah filem Interstellar yang menyatakan bahawa cinta ialah satu-satunya benda yang mengatasi ruang dan masa.

"Cinta secara kimianya tiada beza dengan memakan coklat yang banyak" - Setan, The Devil's Advocate.

Cerita The Spiral terlalu padat, sarat dan penuh gangguan tidak perlu. Mengapa hendak ditunjukkan imej Kuala Lumpur yang futuiristik (seperti video promosi hartanah yang hebat!) - ada apa-apa kesan kepada naratif? Adakah ini kehendak penerbit eksekutif? Walaupun kesemua 11 alam berlainan tidak ditunjukkan, kesemua alam yang ada ditunjukkan agak kacau-bilau dan sukar dibezakan. Ada satu dunia di mana watak utama ialah seorang gadis bernama Alice yang diklonkan, tetapi klonnya ialah anaknya sendiri dan doktornya ialah polis wanita bertopeng yang tidak bertopeng dan bukan polis, tetapi doktor. Pening tak?

Walaupun ada babak pertarungan, tetapi tidak sehebat filem Paskal, Polis Evo 2, mahupun Operasi X. Lakonan kayu dengan dialog kaku (yang tidak dapat diramal langsung) ialah kombinasi yang hebat.

Namun, The Spiral tidak teruk secara keseluruhan, dan ini sebenarnya lebih menjengkelkan. Kualiti filem ini turun naik dengan 'projek-projek akhir tahun' nampak seolah-olah ditampal selagi boleh. Kalau buruk secara keseluruhan, akan jadi macam Mahaguru, yang amat menghiburkan. tetapi sebab dia kadangkala buruk dan kadangkala tidak buruk sangat, maka agak sukar untuk terhibur sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, saya harus tabik hormat kepada pembikin filem ini sebab berani menghidangkan sesuatu yang berlainan (kepada peminat filem yang 'membawa kelainan', silalah tonton filem ini), dan ada banyak idea bernas yang tidak dapat/sempat dilaksanakan dengan sempurna. Contohnya, antara babak permulaan filem ini ada kaitan dengan babak akhirnya. Filem ini juga amat berani mencuba genre sains fiksyen.

Saya kira, antara kelemahan masyarakat di Malaysia ialah tidak menggemari sains jadi apabila Kerajaan memaksa pelajar mengambil jurusan ini, ramai yang tidak berminat.

Masalah The Spiral, seperti kata-kata Patrick Teoh semasa menerangkan String Theory (menggunakan Powerpoint), "This is beyond science."

The Spiral: 1/5 bintang - tambah 4 bintang jika anda pelajar Universiti Lim Kok Wing atau terlibat secara terus dengan filem ini.



Image may contain: 8 people, people smiling, people standing
Pelakon dan crew filem The Spiral Memberikan Gred Kepada The Spiral? (Gambar: Facebook The Spiral)