Tuesday, September 11, 2018

Ulasan Filem: One Two Jaga

Saya amat suka menonton filem ini, dan antara sebab utama ialah gambaran KL yang asli dan tepat. Kebanyakan filem berkisar sekitar Kuala Lumpur bagi saya banyak membuang identiti bandar ini dan penduduknya.

Kuala Lumpur agak 'gritty', setaraf dengan bandar-bandar besar Asia yang lain. Pembangunan rancak sepanjang beberapa dekad yang lepas mendirikan banyak bangunan dan di antara bangunan-bangunan itu, ada rekahan untuk penduduknya hidup. Kehidupan dalam jurang ini bukanlah sesuatu yang bersih mahupun teratur, dan ini digambarkan dengan berkesan oleh One Two Jaga (OTJ) melalui pilihan lokasi, kaedah penggambaran dan production design.

Dalam jurang ini juga hidupnya mereka yang datang ke sini demi mencari sesuap nasi. Mereka yang membantu membangunkan Malaysia - pendatang sama ada dengan atau tanpa izin. Kisah mereka biasanya tenggelam dan tidak diberi perhatian. Saya cuma teringat Pendatang Dengan Izin - sebuah telemovie yang disiar menerusi slot Cerekarama - lakonan arwah Harun Salim Bachik yang pernah cuba mengetengahkan isu pendatang.

OTJ mengisahkan beberapa watak yang terkait antara satu sama lain menerusi suratan takdir. Sugiman/Iman (Ario Bayu) cuba menolong adiknya Sumiyati (Asmara Abigail) pulang ke Indonesia setelah tidak dapat menerima hakikat yang dia dipaksa bekerja seperti hamba. Mereka dibantu oleh Pak Sarip (Azman Hassan) dan anaknya Adi (Amerul Effendi). Adi pula makin rapat dengan anak Sugiman - Joko (Izuan Fitri) dan menunjukkan selok-belok bagaimana mayat pendatang yang meninggal dunia diuruskan - dibakar dalam semak.

Sementara itu, Hassan (Rosdeen Suboh) dan Hussein (Zahiril Adzim) ialah dua anggota polis dengan moraliti berbeza. Hussein ialah anggota baru yang mempunyai integriti walaupun sedikit keras kepala. Hassan yang sudah berkeluarga mengambil wang perlindungan daripada pendatang dan bekerjasama dengan James (Chew Kin Wah), seorang ahli kongsi gelap yang in turn mempunyai hubungan dengan seorang Dato' (Nam Ron). James dan kaki pukulnya Zul (Along Eyzendy) pula sedang menjejak wang yang hilang dicuri oleh pendatang Filipina Rico (Timothy Castillo) dan Marzuki (Iedil Putra).

Lakonan barisan pelakon ini ialah antara yang terbaik dalam mana-mana filem tempatan. Watak mereka nampak hidup, dan banyak dimensi. Paling jelas, watak Hassan yang walaupun seorang anggota polis yang korup, tetapi saya tidak dapat mengelak bersimpati dengan pandangannya pada dunia. Apalah sangat 'mengepau' dua tiga ratus ringgit sedangkan penjenayah sebenar melarikan berbillion dan pembangun yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menjalankan projek pembangunan dan mengaut untung ratusan juta ringgit dihormati, diberi pangkat dan dicium tangan mereka oleh mereka yang dirompak di siang hari.

Rakyat Malaysia selama ini ditipu, disamun dan dirogol oleh mereka yang kaya. Bayangkan apakah nasib mereka yang bukan warganegara, tetapi datang ke sini tanpa perlindungan malah dimangsakan oleh sistem dan mereka yang sepatutnya menjaga perikemanusiaan semua mengikut undang-undang negara?

Watak Hussein pula, mungkin nampak seperti seorang yang cukup kukuh moral dan integritinya. Namun... adakah pendekatan yang amat teguh itu menjernihkan atau mengeruhkan keadaan? Saksikan filem ini sampai habis dan nilaikan sendiri.

Pertuturan dan delivery setiap bait dialog dibuat dengan berkesan. Tiada kecanggungan yang ketara. Ya, agak sedih apabila 'tiada kecanggungan' ialah tahap yang amat hebat pada filem tempatan, tetapi itulah hakikatnya.

Gerak kamera, seperti dinyatakan pada awal ulasan ini, amat berkesan. Rasa seperti menonton siri NYPD Blue.

Para penmgusaha filem ini berjaya menangkap feel dan imej KL yang gritty. Setting ini cukup ranum untuk dibuat kisah-kisah rakyat (sama ada warganegara atau tidak) di kota, dan ini sesuatu yang memang dijangka setelah lebih separuh rakyat Malaysia sekarang tinggal di kawasan urban.

Semasa filem ini mula ditayang, saya bercuti di Thailand. Semasa di sana, saya terfikir, kenapa keaslian semangat kotaraya KL kurang dieksploitasi oleh pembikin filem tempatan? Kalau buat cerita gangster pun nampak macam makan kat Tupai-Tupai, gangster apanya? Tapi yalah, tempat macam itu biasa orang UMNO yang pergi. So, gangster la kot.

Pulangnya saya ke Malaysia, saya dapati fokus sesetengah pihak pasal filem ini ialah betapa audience tak mahu menontonnya, malah ada ura-ura anggota polis ingin memboikot filem OTJ. Saya rasa agak aneh sebab selama ini, adakah anggota polis memenuhi pawagam dan menonton filem tempatan? Kalau ya, saya ingin sarankan supaya mereka tangkap penonton yang bercakap di dalam panggung dan dihukum sebat sampai mati.

Apapun, silalah menonton One Two Jaga sebab filem ini best. Dan awek Asmara Abigail tu cun!

One Two Jaga - 4/5 stars.