Tuesday, November 22, 2016

Ulasan Filem: Apprentice

Masa diajak pergi tengok filem Apprentice daripada Singapura beberapa minggu lepas, aku fikir dua benda je:

1. Alaaa, satu lagi filem artsy-fartsy yang akan membuatkan aku tertido.

2. Mesti buat lawak Donald Trump dalam The Apprentice.

Sebaliknya, apa yang aku tengok malam ni ialah sebuah filem yang amat kemas dan menyebabkan keyakinan aku pada filem aku sendiri goyah.

Ya, keyakinan aku pada filem aku sendiri semakin menurun sebab dua hari sebelum ini, aku menonton The Handmaiden karya Park Chan-wook. The Handmaiden ialah filem Korea paling hebat pernah aku tengok, dan aku dah tengok empat - satu kerja yang sukar sebab aku tak suka filem Korea sangat. Aku terpaksa menonton pelbagai filem buruk yang lain supaya keyakinan aku kembali ke aras lama - terlebih yakin.

Lepas tu aku pergi tengok pulak Apprentice. Lepas ni mungkin kena tengok lagi banyak filem buruk untuk jadi orang yang terlebih yakin kembali.

Anyway, Apprentice mengisahkan Aiman (Fir Rahman), seorang mamat penjaga penjara yang mula menjadi apprentice kepada seorang algojo atau hangman bernama Rahim (Wan Hanafi Su). Misteri latarbelakang Aiman mula dibongkar sedikit demi sedikit dan rupanya dia ialah anak kepada seorang penjenayah yang hukuman matinya dilaksanakan oleh Rahim.

Kalau pondan review filem ni, mesti dia tengok watak Aiman pastu jerit, "Mo-TIF?!" dan itu antara misteri filem ini - apa yang Aiman hendak sebenarnya? Balas dendam macam dalam filem Korea? Rebel menentang bapak dia yang memang penjenayah, atau nakkan jawatan algojo yang menjamin gaji lebih banyak?

Aiman tidak menjelaskan identiti dan latarbelakangnya pada tempat dia kerja - satu kesalahan yang berisiko. Jadi wujudlah satu keadaan 'kejar-mengejar setempat' antara Aiman yang mengejar butiran kematian bapanya dan pendirian mereka yang melaksana hukuman mati, Rahim pula mula mengesyaki Aiman selepas pada awalnya melayan Aiman seperti anak sendiri.

Filem ini mempertaruhkan hubungan dan interaksi antara Aiman dan Rahim, yang memang menjadi. Menonton Rahim yang membunuh ayah Aiman, menjadi ayah ganti kepada anak muda itu amat 'warm', sedih, dan mengujakan pada masa yang sama. Ini satu pencapaian penceritaan, arahan dan lakonan yang hebat. Satu emosi rumit dengan pintalan perasaan yang berkelumit antara satu sama lain.

Perasaan dalam penjara yang menjadi salah satu tema filem juga memang dapat dirasai, dengan kongkongan ruang dan penataan cahaya, mencerminkan watak-watak yang semuanya terperangkap dalam penjara masing-masing.

Aiman dengan motif atau tujuan yang kabur, juga rahsia yang dikandungnya mengikat perlakuan dan pergerakannya yang sedia mengikut disiplin ketenteraan yang mencengkam. Rasa bersalah Rahim yang telah melaksanakan hukuman mati ke atas mungkin ratusan banduan - satu perasaan yang disembunyikan dengan baik tetapi akhirnya terserlah dalam beberapa babak. Kakak Aiman yang terperangkap dalam peranan wanita Asia yang mengutamakan keluarga.

Tema kongkongan, ikatan dan pemenjaraan juga ditonjolkan dalam pelbagai alatan plot. Antaranya kabinet yang menjadi tempat Aiman bersembunyi ketika kecil - melambangkan persembunyiannya daripada hakikat dan dunia luar.

Konfrantasi Aiman dan Rahim dibuat dengan amat baik, penuh emosi dan sarat kenyataan sosio-politik tetapi mengekalkan gaya yang amat amat masuk akal. Dengarlah dialog semasa pertembungan mereka yang terakhir - jarang kau dengar Bahasa Melayu digunakan dengan amat berkesan dan bersahaja untuk isu yang rumit.

Pengakhiran cerita ini juga sudah sempurna, dengan konflik Aiman sepanjang cerita dikitarkan sekali lagi dalam masa yang lebih singkat dan padu. Pilihan setiap watak dengan penjara mereka di akhir Apprentice sememangnya buah yang berbaloi ditunggu selama lima tahun pembikinan filem ini.

Ada beberapa benda saja yang aku mahu tetapi tak dapat daripada filem ini. Antaranya, aku mahukan Rahim menjadi seperti Christoph Waltz dalam Inglorious Basterds apabila dia memberitahu Aiman yang dia sudah tahu rahsia Aiman dalam satu plot twist, dan bukannya ditunjukkan bagaimana dia mendapat tahu rahsia Aiman. Tetapi ini cuma personal preference.

Lepas habis tengok, dan mendengar susah-payah serta cabaran yang pengarahnya Boo Junfeng hadapi, serta kepandaian Junfeng menyelesaikannya, aku terus rasa rendah diri - satu emosi yang asing buat aku.

Maksud aku, fuck, ini barulah filem. Skrip aku tulis semua frivolous stories. Tapi lepas tu aku fikir, "Aku nak impress sapa ni?" Dan aku pun sedar yang semua orang tak berguna, jadi aku pun rasa best dengan diri sendiri balik dan boleh rekomen filem ni kat semua orang tanpa rasa terancam.

Pasal isu capital punishment atau hukuman mati, aku sebenarnya fikir sesiapa yang dipenjara wajar diberi pilihan sama ada hendak terus dipenjarakan atau memilih hukuman bunuh menerusi suntikan morfin yang banyak.

Aku tak fikir nyawa itu penting kalau kehidupan kau penuh kesakitan, tapi itu hanya aku dan belum tentu aku akan memilih kematian berbanding hidup penuh kesakitan.

Tak, aku memang akan pilih overdose morfin. Tapi itu hanya aku, dan aku tau apa aku mahu.

Apprentice membuat aku fikir pasal penulisan skrip aku, pasal filem, pasal nasib Interchange yang mungkin terpaksa berlawan dengan filem ini di sesetengah festival, pasal capital punishment dan pasal melepasi halangan membuat projek kreatif dengan cara yang bijak. Ini petanda karya yang bagus. Bukanlah filem terbaik dalam sejarah Asia Tenggara, tetapi memang antara Lima Terpenting.

Pergilah tengok filem Apprentice di beberapa panggung GSC (International Screens) sekitar Malaysia. Filem ni artsy-fartsy, jadi tak banyak panggung. Tolonglah pergi tengok. Layari www.gsc.com.my.